Home > Umum > Radiologi > Kaedah Pemeriksaan > PEMERIKSAAN X-RAY LUTUT

PEMERIKSAAN X-RAY LUTUT

Apa Itu Pemeriksaan X-ray Lutut?

  • Pemeriksaan yang dijalankan oleh Juru X-ray ke atas bahagian lutut.
  • Ia tidak menyakitkan.
  • Bahagian yang terlibat dalam pemeriksaan x-ray lutut ialah lutut termasuk bahagian tulang lutut, tulang paha (tulang di atas lutut), tibia dan fibula (tulang kaki yang lebih rendah), patela (tempurung lutut), dan tisu lembut.

pemeriksaan_x-ray_lutut_1

Gambar 1: Ilustrasi menunjukkan salah satu kaedah pemposisian x-ray lutut.

Sumber: http://kidshealth.org/parent/system/medical/xray_knee.html#

Bagaimana Untuk Mendapatkan Pemeriksaan Ini Dan Di Mana?

  • Apabila anda datang berjumpa dengan doktor yang merawat anda doktor tersebut akan menentukan sama ada anda memerlukan pemeriksaan ini.
  • Sekiranya perlu doktor tersebut akan membuat permohonan pemeriksaan menggunakan Borang Permohonan Pemeriksaan Radiologi.
  • Pemeriksaan ini terdapat di hospital-hospital dan klinik-klinik KKM yang menyediakan perkhidmatan pengimejan diagnostik.

Bila Pemeriksaan Lutut Diperlukan?

  • Pemeriksaan x-ray lutut boleh membantu mencari punca-punca dan tanda-tanda biasa apabila terdapatnya gejala-gejala seperti sakit, ketegangan, bengkak, atau kecacatan lutut. Ia boleh mengesan patah tulang atau dislokasi sendi.
  • Jika pembedahan lutut akan dijalankan, x-ray lutut akan diambil terlebih dahulu untuk membantu perancangan dalam pembedahan dan juga akan diambil selepas pembedahan.

Sebelum pemeriksaan

  • Anda dinasihatkan supaya tidak membawa dan memakai barang berharga.
  • Pesakit kanak-kanak boleh ditemani oleh ahli keluarga dewasa.
  • Pastikan anda tidak mengandung atau disyaki mengandung. Sila maklumkan kepada Juru X-ray sekiranya anda mengandung atau disyaki mengandung.
  • Anda akan diberi penerangan awal mengenai prosedur yang akan dijalankan.
  • Anda mungkin perlu menukar pakaian kepada pakaian hospital.

Semasa pemeriksaan

  • Dua projeksi asas yang biasa dilakukan adalah:

– Anteroposterior (AP) – bagi melihat sendi lutut dari sisi hadapan.

– Lateral (x-ray yang dilakukan dari bahagian sisi sendi lutut).

  • Pemeriksaan kebiasaanya akan dijalankan secara berbaring atau berdiri.
  • Alat perlindungan sinaran akan diberikan semasa pemeriksaan.
  • Pemeriksaan ini mengambil masa lebih kurang 10 minit sahaja.
  • Projeksi tambahan mungkin akan dilakukan jika diperlukan.

Selepas pemeriksaan

Anda akan dibenarkan pulang selepas pemeriksaan dijalankan.

pemeriksaan_x-ray_lutut_2

Gambar 2: Contoh imej x-ray lutut yang normal.

Sumber: http://orthoanswer.org/foot-ankle/fracture-foot-ankle/investigations.html

Laporan Pemeriksaan

  • Semua imej yang dihasilkan akan diteliti oleh pakar radiologi dan laporan akan disediakan.
  • Keputusan pemeriksaan akan dihantar terus kepada doktor yang merawat anda.

Rujukan

  1. http://kidshealth.org/parent/system/medical/xray_knee.html#
  2. http://eorif.com/knee-xray
  3. http://radiology-anatomy.blogspot.com/2013/04/knee-joint-x-ray-anatomy.html

 

Semakan Akhir : 2 Jun 2016
Penulis : Khairun Nisa’a binti Khairul Zaman
Akreditor : Daud bin Ismail