Diabetes

Perlukah saya menjalani ujian saringan Diabetes?

Ya, sekiranya :

  1. Anda mempunyai tanda-tanda diabetes (keletihan, selalu haus, kerap kencing, susut berat badan, kabur penglihatan)
  2. Bagi mereka yang tidak mempunyai tanda-tanda, saringan perlu di jalankan bagi semua dewasa yang berlebihan berat badan (BMI>23kg/m2 atau ukuran pinggang ≥80cm untuk wanita dan ≤90cm bagi lelaki) dan mempunyai faktor-faktor risiko yang berikut :
    1. Sejarah penyakit kardiovaskular
    2. Sejarah keluarga menghidap diabetes
    3. Hipertensi
    4. Keabnormalan kolesterol dalam darah
    5. Sejarah ‘Impaired Glucose Tolerance’ atau ‘Impaired Fasting Glucose’
    6. Tidak aktif aktif secara fizikal
    7. Wanita yang mengalami Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS)
    8. Wanita dengan sejarah diabetes semasa hamil

Bagaimana caranya membuat ujian saringan Diabetes?

Anda boleh membuat ujian Pemeriksaan Glukosa Darah Rawak dengan cara mengambil sedikit darah di hujung jari. Ia boleh dilakukan bila-bila masa sahaja mengikut keselesaan anda.

Mengapakah perlu untuk memeriksa paras glukosa darah secara berkala?

Diabetes Mellitus Jenis 2 adalah salah satu masalah kesihatan utama di Malaysia. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendapati, 20.8% orang dewasa (berumur lebih 30 tahun) mengalami diabetes.

Orang dewasa dengan penyakit diabetes mudah mengalami beberapa penyakit dan komplikasi seperti serangan jantung, penyakit ginjal (buah pinggang), kebutaan, strok (angin ahmar) dan “diabetic foot”.

Mengawal glukosa dalam darah boleh mencegah serangan jantung, strok (angin ahmar), kerosakan ginjal (buah pinggang), amputasi kaki dan kebutaan.

Adakah saya menghidap diabetes?

Sekiranya Pemeriksaan Glukosa Darah Rawak > 5.6 mmol/l, ujian darah selanjutnya diperlukan.

Di mana saya boleh membuat ujian untuk diabetes?

Anda boleh menjalani ujian Diabetes di:

  • Hospital dan klinik kerajaan
  • Hospital dan klinik swasta
  • Makmal perubatan/patologi swasta

Berapa kerap ujian saringan perlu di lakukan?

  • Saringan perlu di lakukan setiap tahun
  • Bagi mereka yang tidak mempunyai faktor risiko, ujina saringan perlu di lakukan bermula dari umur 30 tahun

Apakah yang harus saya buat jika paras glukosa darah saya tinggi?

Anda perlu :

  • Merujuk kepada doktor anda, atau
  • Pergi ke klinik kerajaan atau swasta yang berhampiran

Ujian pengesahan seterusnya akan dijalankan.

Bagaimana cara untuk mengekalkan paras glukosa darah yang normal?

Amalkan gaya hidup sihat

  • Kurangkan berat badan jika berat badan anda berlebihan.
  • Makan secara sihat – kurangkan karbohidrat dan lemak dalam makanan.
  • Sentiasa aktif – mulakan senaman yang berjadual, sekurang-kurangnya 30 minit, 5 kali seminggu

Maklumat lanjut

Clinical Practice Guidelines on the Management of Type 2 Diabetes Mellitus 5th Edition, Malaysia, 2015.

Kumpulan sokongan

Persatuan Diabetes Malaysia (PDM)

Malaysian Endocrine and Metabolic Society (MEMS)

National Diabetes Institute (NADI)

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Othman Warijo
    Dr. A. Khalek Abd Rahman
    Ali bin Puteh
Penyemak : Dr. Nor Faizah bt. Ghazali