Home > Warga Emas > Pendekatan dari Segi Gejala > Masalah Kencing > Warga Emas dan Kencing Tidak Lawas

Warga Emas dan Kencing Tidak Lawas

Pengenalan

Ramai warga emas mengalami masalah kencing tidak lawas. Ianya lebih ketara dikalangan lelaki berbanding wanita.

Epidemiologi

  • Dianggarkan sebanyak 30-40% warga emas lelaki mengalami masalah ini. Risiko mendapat gejala ini bertambah dengan peningkatan umur seseorang.

  • Kira-kira satu pertiga dari mereka yang mendapat gejala ini akan pulih, satu pertiga stabil disatu tahap dan satu pertiga mengalami kemerosotan gejala.

  • Bagi lelaki, kencing tidak lawas mungkin merupakan tanda kanser prostat (hyperlink to kanser prostat).

  • Bagi wanita, gejala ini biasanya melibatkan wanita yang sudah mengalami menopause

Apakah gejala dan tanda kencing tidak lawas?

  • Aliran air kencing mengecil

  • Aliran air kencing tersekat-sekat

  • Air kencing menitis selepas buang air kecil

  • Rasa tidak puas selepas buang air kecil

Diagnosa

Gejala kencing tidak lawas adalah tidak khusus kepada penyakit tertentu. Diantara penyakit yang boleh menghasilkan gejala ini adalah:

  • Pembengkakan kelenjar prostate (hyperlink)

  • Otot pundi kencing yang lemah dan tidak stabil

  • Jangkitan kuman di saluran air kencing (hyperlink)

  • Jangkitan kelenjar prostat

  • Batu karang di saluran atau pundi air kencing (hyperlink)

  • Kanser prostat (hyperlink)

  • Kanser pundi air kencing (hyperlink)

  • Penyakit saraf seperti multiple sclerosis dan kecederaan saraf tulang belakang

Komplikasi

Masalah retensi air kencing

  • Keadaan ini menyebabkan seseorang tidak dapat kencing langsung.

  • Jika berlaku secara akut, ia akan menyebabkan kesakitan yang amat sangat di bahagian ari-ari.

  • Jika berlaku secara perlahan-lahan, ia akan menyebabkan otot-otot pundi kencing merenggang dan menjadi lemah. Jika berlanjutan, seseorang itu akan mengalami masalah kawalan dan pembuangan air kencing.

  • Rawatan masalah ini ialah dengan memasukkan tiub  kedalam pundi air kencing untuk menyalurkan air kencing keluar.

Jangkitan saluran air kencing

  • Jangkitan  saluran air kencing boleh berlaku secara berulang kali.

  • Jangkitan  ini biasanya disebabkan oleh ketidakupayaan untuk mengosongkan pundi air kencing dengan sepenuhnya. Air kencing yang bertakung menjadi penyebab kepada pembiakan bakteria.

  • Gejala-gejala jangkitan salur kencing adalah seperti kesakitan semasa kencing, perasaan terdesak untuk kencing yang datang secara tiba-tiba , kesakitan di bahagian ari-ari dan air kencing bertukar warna serta berbau.

Batu karang

  • Batu karang boleh berlaku jika pundi air kencing  tidak dapat  dikosongkan dengan sempurna.

  • Gejala-gejala batu karang adalah seperti kesakitan di bahagian ari-ari, kesakitan semasa kencing  dan  kencing berdarah.

Rawatan

Rawatan spesifik untuk kencing tidak lawas adalah bergantung kepada jenis penyakit yang dialami.

  • Terdapat rawatan ubat-ubatan atau pembedahan untuk mereka yang mengalami kebengkakan kelenjar prostat. Rawatan utama melibatkan penggunaan ubat-ubatan seperti ubat jenis ‘alph-1 blocker’ dan ubat anti-androgen (hormone seks lelaki). Pembedahan pula, melibatkan pembuangan kelenjar prostat secara separuh atau sepenuhnya. Rawatan pembedahan biasanya dipilih hanya apabila rawatan ubat-ubatan tidak cukup untuk menangani gejala masalah kencing pesakit.

  • Ubat antibiotik diberikan kepada mereka yang mempunyai masalah jangkitan kuman saluran air kencing.

  • Senaman otot pelvic dapat membantu mereka yang mengalami masaalah tidak dapat mengawal air kencing akibat kelemahan otot-otot pundi air kencing.

Pencegahan

  • Minum air dengan secukupnya.

  • Amalkan gaya hidup yang sihat dengan mengurangkan makanan berlemak dan meningkatkan pengambilan buah-buahan.

  • Mendapatkan berat badan yang unggul dan mengelakkan kegemukan

  • Bersenam selalu

  • Mengurangkan stress

  • Melakukan hubungan seksual yang sihat dan selamat. Elakkan dari mendapat penyakit kelamin dengan mengelakkan hubungan seksual rambang. Penyakit kelamin seperti gonorrhea menyebabkan radangan dan jangkitan prostat dan salur air kencing.

  • Jaga kebersihan diri dan persekitaran untuk mengelakkan jangkitan.

  • Elakkan kecederaan di kawasan perineal seperti semasa berbasikal dan menunggang kuda

  • Jangan tahan air kencing

  • Elakan pengambilan alkohol berlebihan kerana ia boleh memburukkan lagi gejala masalah kencing

  • Bejumpa doktor sekiranya mempunyai sebarang gejala masalah kencing.

Rujukan

  1. Speakman MJ, Kirby RS, Joyce A, Abrams P, Pocock R (May 2004). “Guideline for the primary care management of male lower urinary tract symptoms”BJU Int. 93 (7): 985–90. doi:10.1111/j.1464-410X.2004.04765.x. PMID 15142148

  2. Juliao AA, Plata M, Kazzazi A, Bostanci Y, Djavan B (January 2012). “American Urological Association and European Association of Urology guidelines in the management of benign prostatic hypertrophy: revisited”Current Opinion in Urology 22 (1): 34–:10.1097/MOU.0b013e32834d8e87. PMID 22123290

  3. http://www.prostate.net/prostatitis/prevention-of-prostatitis/

Semakan Akhir : 25 Ogos 2014
Penulis : Dr. Ruziaton Binti Hasim
Akreditor : Dr. Cheah Wee Kooi