A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Ubat Umum
  6. /
  7. Vitamin D dan Cahaya...

Vitamin D dan Cahaya Matahari

Pengenalan

Vitamin D merupakan sejenis vitamin yang larut dalam lemak. Terdapat dua bentuk vitamin D yang utama iaitu ergocalciferol (vitamin D2) dan cholecalciferol (vitamin D3). Vitamin D2 boleh disintesiskan oleh tumbuhan dan kulat manakala vitamin D3 boleh disintesiskan sendiri oleh manusia apabila kulit kita terdedah kepada sinaran ultraungu B (UVB) dalam cahaya matahari. Oleh itu, vitamin D juga dikenali sebagai vitamin “sunshine”.

Cahaya matahari Sebagai Sumber Vitamin D

Cahaya matahari merupakan sumber vitamin D yang percuma dan mudah diperolehi. Kebanyakan orang bergantung kepada pendedahan cahaya matahari untuk memenuhi keperluan vitamin D mereka. Sinar UVB dengan gelombang 290-320 nanometer boleh menembusi kulit yang terdedah kepada cahaya matahari dan ini boleh menukarkan provitamin D3 dalam kulit kepada vitamin D3 (Institute of Medicine [IOM], 2010).

Pendedahan muka, tangan, kaki atau belakang badan kepada cahaya matahari (tanpa menggunakan pelindung matahari) selama 5-30 minit antara 10:00 pagi ke 3.00 petang untuk sekurang-kurangnya dua kali seminggu biasanya akan membekalkan vitamin D yang dapat memenuhi keperluan harian (Holick, 2007).

Sinaran ultraungu yang menggalakkan sintesis vitamin D boleh disekat oleh awan dan jerebu (termasuk yang dihasilkan oleh pencemaran yang teruk). Walau bagaimanapun, pendedahan kepada cahaya matahari di dalam bilik melalui tingkap tidak dapat menghasilkan vitamin D kerana sinar UVB tidak dapat menembusi kaca. Oleh itu, individu yang kekurangan aktiviti luaran perlu memastikan pengambilan vitamin D yang mencukupi daripada sumber-sumber yang lain seperti makanan atau suplemen kesihatan. Vitamin D boleh didapati daripada lemak ikan (seperti salmon, tuna), minyak hati ikan, hati lembu, kuning telur dan cendawan. Walau bagaimanapun, vitamin D tidak boleh diperolehi dalam kuantiti yang mencukupi daripada makanan biasa. Makanan yang telah diperkayakan dengan vitamin D seperti produk tenusu iaitu susu, keju, mentega dan sebagainya merupakan sumber utama dalam diet.

Pigmen dalam individu yang berkulit gelap memberikan sedikit perlindungan daripada cahaya matahari, tetapi ini juga boleh mengurangkan sintesis vitamin D. Oleh itu, individu berkulit gelap memerlukan pendedahan cahaya matahari yang lebih banyak berbanding dengan individu berkulit cerah untuk mengekalkan penyerapan vitamin D yang optimum.

Peranan Vitamin D: Membantu Dalam Penyerapan Kalsium Dan Pencegahan Osteoporosis

Vitamin D bersama dengan kalsium memainkan peranan yang penting dalam pembentukan dan penjagaan tulang dan gigi yang sihat. Kalsium adalah mineral yang paling banyak dalam badan manusia dan 99% kalsium badan disimpan dalam tulang dan gigi yang menyumbang kepada kekuatannya. Vitamin D meningkatkan penyerapan kalsium dalam usus dan mengekalkan kepekatan kalsium dan fosfat yang mencukupi dalam darah, yang seterusnya menyumbang kepada pembentukan tulang (IOM, 2010).

Kalsium akan diserap semula daripada tulang manusia selepas tulang dipecahkan. Proses ini dikenali sebagai resorpsi tulang. Selain itu, kalsium juga akan diambil ke dalam tulang baru secara berterusan. Keseimbangan ini berubah megikut usia. Resorpsi kalsium boleh melebihi pengambilan kalsium ke dalam tulang baru dalam warga tua, terutamanya di kalangan wanita menopaus disebabkan oleh pengurangan jumlah hormon estrogen dalam badan. Kekurangan hormon estrogen boleh meningkatkan penyerapan semula tulang dan mengurangkan pemendapan kalsium ke dalam tulang baru. Ini seterusnya boleh meningkatkan risiko osteoporosis dalam jangka masa panjang (IOM, 2010).

Selain itu, kedua-dua Vitamin D dan kalsium memainkan peranan yang penting dalam pencegahan osteoporosis. Osteoporosis menyebabkan tulang menjadi lemah, rapuh dan mudah patah. Osteoporosis adalah sejenis “penyakit senyap” kerana osteoporosis biasanya tidak menunjukkan sebarang tanda pada peringkat awal. Tanda-tanda seperti sakit belakang, postur membongkok, kehilangan ketinggian atau tulang patah dengan mudah (contohnya selepas jatuh atau kecederaan kecil) boleh berlaku selepas tulang menjadi lembut akibat perkembangan osteoporosis.

Kerosakan tulang juga boleh berlaku sekiranya pengambilan kalsium tidak mencukupi atau kalsium yang diambil tidak diserap dengan baik. Ini boleh menyebabkan badan menggunakan kalsium yang disimpan dalam badan untuk mengekalkan fungsi biologi yang normal. Oleh itu, pengambilan vitamin D yang tidak mencukupi boleh mengakibatkan osteoporosis kerana kekurangan vitamin D boleh menjejaskan penyerapan kalsium (Heaney, 2003). Pengambilan vitamin D dan kalsium yang mencukupi melalui diet yang sihat setiap hari serta bersenam dengan kerap boleh mengurangkan risiko osteoporosis pada masa hadapan (U.S. Food and Drug Administration [USFDA], 2008).

Faktor-faktor lain yang boleh meninggikan risiko osteoporosis adalah jantina wanita, kurus, kurang aktif, berusia, merokok, minum alkohol yang berlebihan dan mempunyai sejarah ahli keluarga yang mengalami osteoporosis.

Kekurangan Vitamin D Dan Kuantiti Pengambilan Harian Yang Disyorkan

Kekurangan vitamin D boleh menyebabkan penyakit riket pada kanak-kanak dan osteomalacia pada orang dewasa di mana tulang menjadi lembut dan lemah disebabkan oleh pemendapan kalsium serta fosfat yang tidak mencukupi ke dalam matriks tulang. Pengambilan vitamin D yang mencukupi setiap hari adalah penting untuk mengelakkan komplikasi kekurangan vitamin D. Menurut National Coordinating Committee on Food and Nutrition (NCCFN), Kementerian Kesihatan Malaysia (2005, ms 129), pengambilan vitamin D yang disyorkan megikut kumpulan-kumpulan umur (Recommended Nutrient Intakes (RNI)) adalah seperti berikut:

Kumpulan Umur
RNI (µg/sehari)
RNI (IU/sehari)
Bayi
0 – 5 bulan
6 – 11 bulan
5
5
200IU
200IU
Kanak-kanak
1 – 3 tahun
4 – 6 tahun
7 – 9 tahun
5
5
5
200IU
200IU
200IU
Remaja (Lelaki)
10 – 18 tahun
5 200IU
Remaja (Perempuan)
10 – 18 tahun
5 200IU
Dewasa (Lelaki)
19 – 50 tahun
51 – 65 tahun
> 65 tahun
5
10
15
200IU
400IU
600IU
Dewasa (Wanita)
19 – 50 tahun
51 – 65 tahun
> 65 tahun
5
10
15
200IU
400IU
600IU
Wanita hamil 5 200IU
Wanit menyusu 5 200IU

Kesimpulan

Vitamin D boleh diperolehi dengan mudah melalui pendedahan cahaya matahari tetapi ini boleh dihadkan oleh faktor-faktor persekitaran, faktor-faktor genetik dan gaya hidup. Vitamin D daripada diet mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan harian seseorang. Pengambilan produk suplemen kesihatan dengan kuantiti vitamin D yang diperlukan mengikut kumpulan umur seperti yang dinyatakan di atas boleh membantu dalam pengekalan tahap vitamin D yang optima. Sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan atau jika anda mengambil sebarang ubat-ubatan / produk-produk herba / produk-produk suplemen kesihatan yang lain, sila dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil suplemen kesihatan vitamin D.

Rujukan

  1. Institute of Medicine, Food and Nutrition Board. Dietary Reference Intakes for Calcium and Vitamin D. Washington, DC: National Academy Press, 2010.
  2. National Coordinating Committee on Food and Nutrition (2005).Recommended Nutrient Intakes for Malaysia. Putrajaya: Ministry of Health Malaysia.
  3. Holick, M.F. (2007). Vitamin D deficiency.New England Journalof Medicine, 357, 266-81.
  4. Heaney R.P. (2003). Long-latency deficiency disease: insights from calcium and vitamin D. American Journal of Clinical Nutrition,78, 912-9.
  5. U.S. Food and Drug Administration (2008).Food Labeling: Health Claims; Calcium and Osteoporosis, and Calcium, Vitamin D, and Osteoporosis
Semakan Akhir : 05 November 2014
Penulis/Penterjemah : Ravin Chin a/l Thillainathan
Akreditor : Datin Shantini Thevanderan

Artikel Berkaitan

Gamat

Pengenalan Gamat yang juga dikenali sebagai Timun Laut atau Sea

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,453,147

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia