Viagra

Apakah dia Viagra?

Viagra merupakan sejenis produk yang mengandungi sildenafil yang tergolong dalam ubat jenis phosphodiesterase (PDE) inhibitors

Apakah kegunaan Viagra?

Viagra digunakan dalam rawatan kegagalan ereksi atau mati pucuk. Keadaan ini berlaku apabila seseorang tidak dapat mengekalkan ketegangan zakar semasa aktiviti seks.

Sekiranya anda mengambil Viagra sebagai rawatan untuk kegagalan ereksi, anda perlu tahu bahawa Viagra tidak menyembuhkan kegagalan ereksi atau meningkatkan nafsu seks.

Viagra hanya boleh diperolehi melalui preskripsi doktor sahaja.

Bagaimanakah ia berfungsi?

Viagra berfungsi dengan merehatkan saluran darah pada zakar apabila ghairah. Ini membenarkan darah mengalir ke zakar, seterusnya membolehkan anda mendapat ereksi secara semulajadi.

Apakah dos untuk Viagra?

Dos Viagra untuk dewasa adalah sebanyak 50mg dan diambil satu kali sehari, satu jam sebelum aktiviti seks. Dos boleh bertambah kepada 100mg atau dikurangkan kepada 25mg. Dos maksima yang boleh diambil adalah 100mg sebanyak satu kali sehari. Dos permulaan bagi orang dewasa yang berumur 65 tahun ke atas ialah sebanyak 25mg dan boleh bertambah kepada 50 hingga 100 mg bergantung kepada keberkesanan dan kesesuaian.

Bagaimanakah cara pengambilan Viagra?

Ambil Viagra mengikut arahan doktor. Doktor akan menentukan dos yang bersesuaian bergantung kepada keadaan serta respons anda.

Ambil viagra satu jam sebelum anda melakukan aktiviti seks. Telan ubat tersebut dengan segelas air.

Jangan ambil viagra melebihi dari satu kali dalam sehari.

Ikut arahan yang diberikan oleh doktor dan ahli farmasi anda dengan betul.

Tempoh yang diambil untuk Viagra menunjukkan kesan adalah berbeza bagi setiap individu, tetapi lazimnya mengambil masa di antara setengah jam ke satu jam untuk bertindak. Ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk bertindak sekiranya diambil bersama makanan berat. Viagra hanya akan berkesan apabila anda berasa ghairah.

Apakah langkah berhati-hati yang perlu diambil sebelum mengambil viagra?

Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi anda tentang perkara berikut:

  • Sebarang alahan kepada ubat-ubatan atau apa-apa jenis bahan (cthnya. makanan, pengawet, pewarna)
  • Sebarang ubat-ubatan yang diambil (ubat preskripsi dan supplemen)
  • Anda mempunyai masalah jantung dan saluran darah
  • Anda mengalami masalah hilang penglihatan secara tiba-tiba pada sebelah atau kedua-dua belah mata.
  • Anda mengalami masalah kesihatan seperti berikut: kencing manis, masalah ginjal atau hati, leukimia, multiple myeloma, sebarang masalah atau kecacatan pada pangkal zakar, masalah pendarahan, ulser perut dan rabun warna.
  • Sekiranya anda menerima sebarang rawatan untuk mati pucuk
  • Sekiranya anda mempunyai lain-lain masalah kesihatan

Langkah Beringat: Pengambilan bersama lain-lain Ubat

  • Maklumkan kepada ahli farmasi/doktor anda sekiranya anda mengambil lain-lain ubat termasuklah ubat-ubatan yang dibeli tanpa preskripsi dari farmasi, pasaraya atau kedai makanan kesihatan
  • JANGAN AMBIL VIAGRA SEKIRANYA ANDA MENGGUNAKAN UBAT YANG MENGANDUNGI NITRATE UNTUK RAWATAN ANGINA (ubat untuk sakit dada)
  • JANGAN AMBIL UBAT ‘AMYL NITRATE’ (DIKENALI SEBAGAI ‘POPPERS’ SEMASA ANDA MENGAMBIL VIAGRA)
  • Sesetengah ubat mungkin akan bertindakbalas dengan viagra. Sebagai contoh: Cimetidine, antifungal ketoconazole dan itraconazole), antibiotik (contohnya erythromycin dan rifampicin). Dapatkan nasihat dari ahli farmasi atau doktor anda.

Apakah kesan sampingan Viagra?

Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi segera sekiranya anda mendapati simptom berikut menjadi lebih teruk atau tidak sembuh

  • Sakit kepala, pening
  • Flushing (rasa panas pada bahagian muka, leher dan dada)
  • Masalah penghadaman
  • Hidung tersumbat
  • Perubahan pada penglihatan seperti penglihatan menjadi kabur, penglihatan menjadi biru, atau peka terhadap cahaya
  • Cirit-birit
  • Jangkitan pada saluran kencing
  • Ruam

Sekiranya anda mengalami sebarang simptom yang merisaukan, segera berjumpa doktor anda.

Apakah keadaan yang di mana pengambilan viagra adalah tidak dibenarkan

  • Anda menggunakan amyl nitrate
  • Anda mempunyai masalah jantung atau saluran darah yang menyebabkan aktiviti seks adalah tidak digalakkan
  • Anda mempunyai alahan kepada sildenafil
  • Anda mempunyai masalah hati yang teruk
  • Anda hilang penglihatan pada sebelah atau kedua-dua belah mata
  • Anda mempunyai penyakit pada mata yang dikenali sebagai retinitis pigmentosa

 

Semakan Akhir : 20 April 2012
Penulis : Liew Yook Hong
Penyemak : Siti Nurul Fathihah bt. Baharudin