Home > Laman Utama > Umum

Umum

Soalan 1

Bahagian dalam mulut anak saya ada ulser dan gusinya bengkak sehingga dia tidak mahu makan/minum susu. Apakah yang perlu saya lakukan?

Jawapan 1

Kemungkinan anak anda mengalami jangkitan virus herpetic gingivo stomatitis yang disebabkan oleh virus herpes ataupun herpangina yang disebabkan oleh virus Coxsackie A. Memandangkan ianya disebabkan oleh virus, penyakit ini kebiasaaannya akan sembuh sendiri. Hanya rawatan sokongan diperlukan.
Berikan perhatian yang lebih kepada anak anda dengan cara berikut:

  • Galakkan anak anda makan dengan memberi anak anda makanan dan minuman yang berasaskan susu yang mereka gemari. Contohnya agar-agar, aiskrim, yogurt dan sebagainya.
  • Beri minum secukupnya untuk mengekalkan hidrasi
  • Elakkan botol susu sekiranya anak menolak (kerana mungkin terdapat ulser di dalam mulut atau tekak). Sebaliknya gunakan picagari atau sudu.
  • Berikan air garam bagi membilas mulut anak (1/2 sudu garam bagi 1 gelas air suam). Ia boleh melegakan kanak-kanak sekiranya mereka berupaya membilas mulut tanpa menelannya kerana tertelan air garam boleh buat anak loya atau muntah

Jika anda khuatir tentang tahap kesihatan anak anda, sila bawa anak anda ke klinik kesihatan supaya status hidrasi anak anda boleh dipantau dan dirujuk kepada pakar kanak-kanak (jika perlu). Anak anda perlu juga dibawa kepada Doktor gigi untuk memastikan penjagaan kesihatan mulut yang optimum. Semua tindakan yang dilakukan dapat mengurangkan tanda dan gejala yang dihidapi anak anda.
Untuk pembacaan lebih lanjut sila rujuk >> Ulser Afta Berulang

Semakan Akhir: 23 September 2014