A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Ujian Makmal Biokimia
  6. /
  7. Ujian Penunjuk Diabetes Mellitus

Ujian Penunjuk Diabetes Mellitus

Apakah itu diabetes mellitus?

Penyakit diabetes mellitus merupakan satu penyakit dimana kuantiti gula dalam darah adalah tinggi. Sehingga kini, hampir 3.5 juta orang di Malaysia telah dikenalpasti menghidap penyakit ini.

Jenis-jenis penyakit diabetes mellitus?

  • Diabetes bersandar insulin, lebih dikenali sebagai diabetes jenis pertama
  • Diabetes bebas insulin, lebih dikenali sebagai diabetes jenis kedua
  • Diabetes ketika hamil

Apakah ujian-ujian makmal yang digunakan untuk mengesan penyakit diabetes mellitus?

Pemeriksaan Gula Darah Rawak

Ujian ini mengukur kandungan gula di dalam darah secara rawak. Ini bermaksud darah boleh diambil bila-bila masa dan pengaruh oleh makanan tidak diambil kira. Julat yang normal untuk gula darah rawak adalah 7.8 mmol/L – 11.1 mmol/L. Keputusan ujian gula darah rawak biasanya tidak digunakan sebagai ujian diagnostik untuk penyakit diabetes mellitus.

FBS (Gula darah berpuasa)

Pengambilan darah untuk ujian ini dilakukan selepas 8-12 jam berpuasa ataupun semalamam berpuasa. Pengambilan air kosong adalah dibenarkan semasa tempoh berpuasa ini. Paras gula darah akan meningkat semasa tempoh berpuasa. Tetapi, untuk individu yang sihat, paras ini akan diseimbangkan balik ke tahap normal oleh hormon insulin. Pesakit diabetes mellitus pula akan mempunyai masalah pengimbangan balik tahap gula mengakibatkan paras gula darah kekal tinggi.

Tahap gula darah berpuasa di atas 7.0 mmol/L merupakan kriteria yang diterima untuk disahkan menghidap penyakit diabetes mellitus. Jika seseorang mempunyai simptom mengidap penyakit diabetes mellitus , kejadian sekali untuk FBS yang melebehi 7.0 mmol/L boleh dianggap cukup untuk diagnosa penyakit. Sekiranya pesakit itu tanpa sebarang simptom, kejadian dua kali diperlukan untuk doktor mengesahkan penyakit kencing manis.

OGTT (Ujian Tolenransi Gula)

Ujian ini biasanya dilakukan pada individu yang mempunyai nilai paras gula darah berpuasa yang biasa tetapi mempunyai simptom-simptom klinikal penyakit kencing manis seperti glycosuria (paras gula tinggi dalam air kencing), polyuria (sentiasa ingin membuang air kencing) dan polydipsia (sentiasa rasa dahaga).

Ujian ini dilakukan dengan mengambil sampel darah samaada dua kali atau tiga kali. Sampel darah pertama yang diambil adalah untuk mengukur nilai gula darah berpuasa. Kemudian, minuman glukosa yang mengandungi 75g larutan glukosa diberi. Sampel darah kedua, 1-HPP (1 jam selepas makan) dan sampel darah ketiga, 2-HPP (2 jam selepas makan) diambil pada 60 dan 120 minit selepas meminum air glukosa. Amalan sekarang hanya mengambil sampel darah berpuasa dan sampel darah 2-jam selepas makan.

Prinsip ujian ini adalah untuk menilai keupayaan tubuh untuk menyerap dan menyeimbangkan glukosa yang diminum.

Individu sihat & normal
(mmol/L)

Kekurangan tolenransi glukosa
(mmol/L)

Penyakit Kencing Manis
(mmol/L)

FBS

< 7.0

< 7.0

? 7.0

2-HPP

< 7.8

7.8 – 11.1

? 11.1

Apakah ujian-ujian makmal yang digunakan untuk memantau rawatan penyakit diabetes mellitus?

HbA1c(Hemoglobin berglukosa)

Ujian ini digunakan untuk memantau keberkesanan kawalan glukosa darah anda. Ujian ini mengukur purata tahap glukosa darah untuk tiga bulan terdahulu. Ujian ini tidak memerlukan individu berpuasa dan sampel darah boleh diambil pada bila-bila masa sahaja.

Hemoglobin merupakan protein dalam sel-sel darah merah yang membawa oksigen. HbA1c terbentuk apabila glukosa bergabung dengan hemoglobin. Oleh kerana sel-sel darah merah berada di sistem pengedaran sekurang-kurangnya 120 hari, ujian HbA1c memberi ukuran tepat kandungan glukosa darah dalam tempoh tiga hingga empat bulan sebelumnya.

Individu dengan kawalan glukosa darah yang baik perlu mempunyai paras HbA1c kurang daripada 6.5%.

Frucktosamin

Ujian ini digunakan untuk memantau tahap glukosa darah pesakit-pesakit yang mempunyai keabnormalan sel darah merah. Ini termasuk individu yang mempunyai penyakit anemia, anemia sel sabit dan pesakit thalasaemia.

Perbezaan antara ujian ini dan ujian HbA1c ialah ujian ini mengukur protein berglukosa dan bukannya hemoglobin berglukosa. Oleh kerana protein hanya kekal dalam darah selama 14-21 hari, ujian ini mengukur purata glukosa darah untuk tempoh ini.

Ujian ini kadangkala juga diminta untuk wanita hamil yang mempunyai penyakit diabetes semasa hamil. Ini kerana perubahan paras glukosa boleh berlaku dengan mendadak dalam kehamilan.  Ujian ini juga boleh dilakukan untuk memantau keberkesanan rawatan baru jika terdapat perubahan dalam ubat-ubatan yang diberikan.

Julat yang normal untuk fructosamin adalah 1.5-2.5 mmol/L.

Glukosa air kencing

Ujian ini mengukur kandungan gula yang ditemui dalam air kencing, satu keadaan perubatan yang dipanggil glycosuria. Ujian ini biasanya dilakukan menggunakan jalur ujian yang akan menghasilkan perubahan warna selepas tindak-balas dengan glukosa. Ujian ini juga boleh dilakukan dari rumah dengan menggunakan kit ujian komersial.

(a)
(b)

(c)

  1. Masukkan jalur ujian ke dalam air kencing
  2. Ikut masa dengan tepat
  3. Bandingkan dengan warna ujian standard yang disertakan

Glukosa biasanya tidak dijumpai dalam air kencing. Hanya individu yang mempunyai tahap glukosa darah yang tinggi akan menghasilkan limpahan glukosa ke dalam air kencing. Walau bagaimanapun, wanita mengandung dan individu yang mempunyai fungsi buah pinggang terjejas mungkin mempunyai kesan glukosa dalam air kencing mereka. Ini menjadikan pengukuran glukosa air kencing sukar untuk ditafsir. Oleh itu, paras glukosa darah masih menjadi ujian pilihan untuk diagnosa dan pemantauan penyakit diabetes mellitus.

Bagaimana pemantauan tahap gula darah boleh dilakukan dari rumah?

Tahap gula darah boleh dipantau dengan mudah dari rumah dengan menggunakan sebuah alat yang dipanggil glukometer. Alat ini menggunakan sampel darah yang biasanya diambil dari cucukan jari. Ketepatan glukometer bergantung kepada beberapa faktor;

  • Variasi di dalam teknik penggunaan oleh pesakit
  • Kewujudan bahan-bahan yang menggangu ukuran seperti kepekatan lemak yang tinggi dan sesetengah ubat
  • Kewujudan penyakit anemia(menyebabkan keputusan yang tidak tepat)
  • Kerosakan alat gukometer dan jalur pengukur
  • Kekurangan korelasi antara alat glukometer yang berjenama lain-lain

Oleh itu, adalah dinasihatkan bahawa analisa glukosa darah di makmal dilakukan secara rutin pada pesakit diabetes mellitus. Ini untuk memberikan gambaran yang lebih baik tentang kawalan glukosa darah pesakit tersebut.

Rujukan

  1. (1997-2011).Diambil June 20, 2013, dari Malaysian Diabetes Association: http://www.diabetes.org.my
  2. (1995-2013). Diambil June 20, 2013, dari American Diabetes Association: http://www.diabetes.org/
  3. Evelyn SC Koay, N. W. (1996). A Primer of Chemical Pathology. Singapore: World Scientific Publishing Co Pte Ltd.

 

Semakan Akhir : 3 Januari 2014
Penulis : Kanchana a/p Kanthasamy

 

Artikel Berkaitan

Urin 24 Jam

Definisi Urin 24 jam adalah urin yang dipungut oleh seseorang

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,220,127

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia