A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Ubat Umum
  6. /
  7. Ubat: sebelum @ selepas...

Ubat: sebelum @ selepas makan

Pengenalan

Ubat merupakan bahan kimia yang digunakan untuk mencegah, mengawal dan merawat penyakit. Ubat boleh digunakan dengan pelbagai cara; sama ada dimakan, disapu, disuntik, disedut atau dimasukkan ke dalam rongga badan.

Ubat makan terdiri dalam bentuk dosej farmaseutikal seperti berikut:

Dosej Farmaseutikal
Ciri-ciri
Bentuk
Tablet Terdiri daripada pelbagai bentuk (leper, cembung, petak dan sebagainya)

Tablet beralur (scored tablet) boleh dipotong

 tablet
Pil Berbentuk sfera

Tidak boleh dipotong

 pil
Kapsul Terdiri daripada dua bahagian iaitu kelongsong badan dan penutup

Tidak boleh dipotong

 Kapsul
Kapsul gelatin lembut (softgel) Terdiri daripada sarung berisi cecair berbentuk bulat atau bujur

Tidak boleh dipotong

 Kapsul gelatin lembut (softgel)
Sirap Berbentuk cecair

Perlu disukat dengan menggunakan alat penyukat sebelum diminum

 Sirap
Cecair ampaian (suspension) Berbentuk cecair

Perlu digoncang sebelum digunakan

Perlu disukat dengan menggunakan alat penyukat sebelum diminum

 Cecair ampaian (suspension)
Serbuk atau granul Berbentuk seperti tepung, debu atau kristal

Perlu dilarutkan dalam cecair seperti air masak atau jus buah-buahan

 Serbuk atau granul

Makanan mempengaruhi kesan ubat terhadap badan dan sesetengahnya mempunyai kesan yang tidak dijangka melalui beberapa mekanisme. Sebagai contoh mekanisme perembesan asid perut, penyerapan sesetengah ubat dipercepatkan oleh rembesan hempedu, kadar pengosongan perut dan sebagainya.

Oleh itu amat penting untuk memahami masa pengambilan ubat yang betul bagi menjamin pesakit mendapat kesan optimum rawatan dan mengelak pesakit mendapat kesan yang tidak diingini.

Sesetengah ubat memerlukan masa pengambilan yang spesifik sama ada sebelum makan atau selepas makan bagi memastikan keberkesanannya. Secara amnya:

  1. Ubat yang perlu diambil sebelum makan
    1. Ubat yang diarahkan diambil sebelum makan bermaksud ubat perlu diambil semasa perut kosong.Ini kerana makanan boleh mempengaruhi penyerapan sesetengah ubat. Ia perlu diambil 1 jam sebelum makan ATAU 2 jam selepas makan.
      Contoh:Ampicillin dan Azithromycin (Antibiotik), Perindopril dan Captopril (Ubat Antihipertensi).
    2. Ubat yang ada kaitan dengan penghadaman perlu diambil sebelum makan agar kesan terapeutik ubat dapat dicapai sebaik sahaja makanan memasuki perut. Ia perlu diambil 30 minit sebelum makan.
      Contoh: Metoclopramide (Ubat Tahan Muntah).
    3. Manakala bagi sesetengah ubat antidiabetik (ubat untuk rawatan diabetes) pula ia perlu diambil 30 minit sebelum makan. Ini bagi memastikan insulin dirembeskan semasa pesakit makan. Ini penting bagi memastikan kesan terapeutik ubat dapat dicapai sebaik sahaja makanan memasuki perut. Selain itu ia juga untuk menjamin keberkesanan rawatan serta mengelakkan risiko penurunan paras gula dalam darah (hipoglisemia).
      Contoh: insulin, glibenclamide dan gliclazide
  2. Ubat yang perlu diambil selepas makan
    1. Ubat yang diarahkan diambil selepas makan bermaksud ubat tersebut tidak boleh diambil semasa perut kosong.Ubat ini boleh menyebabkan gangguan atau iritasi pada perut jika diambil semasa perut kosong.
      Contoh: Mefenamic Acid (Ponstan), Acetylsalicylic Acid (Aspirin).
    2. Terdapat juga ubat yang diserap dengan lebih baik dengan kehadiran makanan.Oleh itu, ubat ini juga disarankan diambil selepas makan.
      Contoh: Ritonavir dan Saquinavir (Ubat Rawatan HIV), Multivitamin.
    3. Manakala bagi ubat cuci atau ubat yang disapu pada mulut bagi merawat jangkitan mulut perlu diberi selepas makan bagi memastikan ubat itu kekal bagi satu tempoh tertentu dan tidak dihilangkan oleh makanan.
      Contoh: Cecair nystatin, miconazole gel.
  3. Ubat yang boleh diambil sebelum atau selepas makan

    1. Kebanyakkan ubat boleh diambil sebelum atau selepas makan. Oleh itu, pesakit tidak perlu risau tentang pengambilannya sebelum atau selepas makan. Ini adalah kerana makanan tidak mempengaruhi penyerapannya dan tiada kesan iritasi pada perut.
      Contoh: Paracetamol (Ubat demam), Chlorpheniramine (Ubat selesema / gatal)

Pesakit juga dinasihatkan untuk mengambil ubat bersama-sama air kosong supaya ubat senang ditelan dan mengelakkan kesan interaksi ubat dan makanan. Elakkan mengambil ubat bersama-sama susu atau air manis seperti kopi, teh dan lain-lain minuman kecuali diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi.

Kesimpulan

Secara umumnya, pengambilan ubat mengikut rutin makan harian pesakit mampu untuk meningkatkan kepatuhan pesakit terhadap rawatan. Namun begitu, pesakit perlu dinasihatkan sama ada ubat tersebut perlu dimakan sebelum atau selepas makan.

Arahan berkenaan cara mengambil sesuatu jenis ubat biasanya dicetak pada label ubat dan dalam risalah keterangan produk ubat tersebut. Pesakit dinasihatkan untuk mematuhi arahan pengambilan pada label ubat. Jika ada sebarang pertanyaan berkaitan pengambilan ubat, sila berbincang dengan doktor atau ahli farmasi anda.

Rujukan

  1. McLahlan A & Ramzan I (2006) Meals and medicines. Australian Prescribers, 29, 40-42.
  2. NHS (2015) Why must some medicines be taken with or after food? Retrieved Mac 10, 2016, from http://www.nhs.uk/chq/Pages/866.aspx?CategoryID=73
Semakan Akhir : 14 Jun 2016
Penulis : Khairul Naim bin Zainal Abidin
Akreditor : Munira bt. Muhammad

Artikel Berkaitan

ATT Vaksin

Pengenalan Tetanus (kancing gigi) merupakan penyakit yang disebabkan oleh racun

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,727,722

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia