A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Ubat Antidiarea

Apa itu ubat antidiarea?

Ubat antidiarea adalah ubat yang digunakan untuk merawat cirit-birit iaitu keadaan di mana anda mengalami najis yang cair lebih dari 3 kali sehari. Cirit-birit disebabkan oleh pelbagai punca yang mungkin berjangkit dan tidak berjangkit. Ia berkemungkinan berpunca daripada bakteria, virus atau parasit, sesetengah ubat, ketidakserasian makanan serta kemungkinan penyakit yang juga turut memberi kesan kepada perut, usus besar dan usus kecil. Individu yang mengalami cirit-birit biasanya turut mengalami demam dan/atau sakit perut, angin, loya dan keinginan untuk membuang air besar dalam kadar segera.

Jenis-jenis antidiarea dan fungsi umum?

Terdapat beberapa pendekatan bagi merawat cirit-birit. Antaranya dengan menggunakan ubat-ubatan. Terdapat beberapa jenis ubat antidiarea iaitu:

  1. Agen rehidrasi oral

    Agen rehidrasi oral merupakan agen antidiarhea yang utama digunakan untuk merawat diarhea. Pengekalan keseimbangan cecair dan elektolit didalam badan adalah sangat penting. Agen rehidrasi oral bertindak bagi menggantikan cecair dan elektrolit yang hilang daripada badan akibat cirit-birit.

  2. Loperamide

    Loperamide merupakan agen antimotiliti. Ubat ini bertindak dengan memperlahankan pergerakan dalaman perut dengan itu akan mengurangkan kelajuan makanan melaluinya. Makanan berada di dalam perut lebih lama dan membolehkan air diserap semula ke dalam badan. Keadaan ini menyebabkan najis menjadi lebih keras dan kekerapan untuk membuang air besar juga berkurang.

  3. Diphenoxylate – atropine

    Diphenoxylate – atropine juga merupakan agen antimotiliti yang bertindak dengan memperlahankan pergerakan usus.

  4. Bismuth subsalicylate

    Bismuth subsalicylate merupakan agen yang tidak spesifik. Ia bertindak dengan menyeimbangkan pergerakan cecair melalui usus. Ia juga mengurangkan bengkak serta mengelakkan bakteria dan virus tertentu yang menyebabkan cirit-birit daripada membiak di dalam perut dan usus.

  5. Agen antibakteria

    Agen antibakteria boleh digunakan untuk merawat cirit-birit yang disebabkan oleh bakteria seperti campylobacter. Walau bagaimanapun, agen antibanteria tidak diperlukan dalam kebanyakan kes cirit-birit.

  6. Ubat antirembesan

    Ubat antirembesan merupakan kumpulan rawatan yang baru. Ia digunakan bersama rawatan rehidrasi. Ubat ini mengurangkan jumlah air yang dikeluarkan ke dalam perut semasa episod cirit-birit. Ia boleh digunakan bagi kanak-kanak berumur kurang dari 3 bulan dan juga dewasa.

Bagaimana mengambil antidiarea?

Ubat antidiarea perlu diambil seperti berikut:

  1. Kapsul Loperamide 2mg

    Cirit-birit akut : DEWASA : 4mg stat, diikuti dengan 2mg selepas setiap najis cair (sehingga 5 hari). Kebiasaannya 6-8mg setiap hari dan tidak melebihi 16mg sehari.

    Cirit-birit kronik : Permulaan 4-8mg setiap hari di dalam dos yang dibahagikan bergantung kepada respon. Tidak melebihi 16mg sehari.

  2. Tablet Diphenoxylate dan Atropine Sulphate

    DEWASA : Permulaan 4 tablet diikuti dengan 2 tablet 4 kali sehari sehingga cirit-birit terkawal.

  3. Bismuth subsalicylate

    Oral : Subsalicylate (dos adalah berdasarkan cecair 262mg/15ml atau tablet 262mg) : 2 tablet atau 30ml setiap 30 minit ke 1 jam sehingga 8 dos dalam masa 24 jam mengikut keperluan.

  4. Garam rehidrasi oral

    DEWASA : 200-400ml (1-2 paket) setiap kali membuang air besar

    KANAK-KANAK : 200ml (1 paket) setiap kali membuang air besar. Dalam keadaan dehidrasi yang teruk 100ml/kg untuk 3-4 jam.

    BAYI : 1 – 1.5 kali daripada kuantiti makan biasa (50ml setiap kali membuang air besar bagi bayi kecil)

  5. Pengembara/pelancong yang mengalami cirit-birit mungkin boleh mendapat faedah daripada rawatan antibiotik. Kebiasaanny, cirit birit selama tiga hari dapat dipendekkan kepada sehari dengan rawatan antibiotik. Walau bagaimanapun, penilaian pegawai perubatan perlu dibuat segera sekiranya mengalami demam, muntah atau kesakitan badan yang luar biasa, cirit-birit bercampur darah, atau cirit-birit yang teruk yang tidak sembuh dalam 48 jam. walaubagaimanapun Loya dan muntah tanpa cirit-birit tidak perlu dirawat dengan antibiotik.

Selain ubat cirit-birit, pengambilan banyak cecair dengan gula dan garam adalah penting bagi mengelakkan dehidrasi. Garam dan gula di dalam makanan membantu usus untuk menyerap cecair. Susu dan hasil tenusu harus dielakkan dalam masa 24 hingga 48 jam kerana ia akan menjadikan cirit-birit lebih teruk. Pemilihan makanan permulaan yang digalakkan apabila ingin makan semula adalah sup.

Peringatan penting

Jangan berikan loperamide kepada kanak-kanak kurang daripada 6 tahun melainkan dengan arahan pegawai perubatan. Individu yang mempunyai alahan kepada aspirin atau ubatan salisilat tidak boleh mengambil bismuth subsalicylat dan jangan berikan bismuth subsalicylate kepada kanak-kanak bawah 12 tahun.

Anda perlu mendapatkan rawatan perubatan sekiranya anda mengalami kesakitan yang teruk pada abdomen atau rectum, demam, darah di dalam najis, cirit-birit teruk melebihi 3 hari atau symptom dehidrasi. Sekiranya mendapati mengambil dos berlebihan dari yang disarankan, hendaklah pergi ke klinik atau hospital berdekatan untuk rawatan kecemasan.

Kesan Sampingan

Kesan sampingan perlu diberi perhatian terutama orang yang berumur dan yang mempunyai masalah kesihatan. Antara kesan sampingan yang mungkin terjadi adalah pening, mengantuk, keletihan atau sembelit. Berhenti daripada mengambil ubat tersebut dan berjumpa pegawai perubatan dengan segera sekiranya salah satu daripada kesan sampingan serius berlaku seperti sembelit yang teruk, loya, muntah, kesakitan abdomen/perut, ketidakselesaan perut/abdomen.

Pencegahan

Langkah-langkah berikut dapat diamalkan bagi mengelakkan penyakit cirit-birit :

  1. Kerap membasuh tangan , terutamanya selepas ke tandas dan sebelum makan.
    • Gunakan gel tangan yang berasaskan alcohol.
    • Ajarkan kanak-kanak untuk tidak memasukkan objek ke dalam mulut mereka.
  2. Sekiranya melancong ke kawasan kurang membangun, ikuti langkah berikut untuk mengelakkan cirit-birit:
    • Minum hanya air yang dibotolkan dan JANGAN gunakan ais, melainkan ais itu diperbuat daripada air yang dibotolkan atau sulingan.
    • JANGAN makan sayur-sayuran yang tidak dimasak atau buah-buahan yang tidak mempunyai kulit.
    • JANGAN makan kerang mentah atau daging yang kurang masak.
Semakan Akhir : 04 Disember 2014
Penulis/Penterjemah : Aiza Adlina bt. Abdullah
AKreditor : Muslisah bt. Musa

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,235,183

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia