A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Fakta Ubat
  6. /
  7. Ubat Antidiabetik Dan Kehamilan

Ubat Antidiabetik Dan Kehamilan

Bagi wanita yang mengalami diabetes semasa kehamilan, plasenta menghasilkan hormon yang boleh menganggu tindakan insulin yang berfungsi untuk mengawal paras gula dalam darah. Maka, ia menyebabkan paras gula dalam darah meningkat dan boleh menjejaskan kesihatan bayi.

Ubat Antidiabetik Dan Kehamilan

Pendahuluan

Hampir 7% daripada wanita yang hamil boleh mengalami diabetes semasa kehamilan. Bagi wanita yang mengalami diabetes semasa kehamilan, plasenta menghasilkan hormon yang boleh menganggu tindakan insulin yang berfungsi untuk mengawal paras gula dalam darah. Maka, ia menyebabkan paras gula dalam darah meningkat dan boleh menjejaskan kesihatan bayi. Lebih teruk lagi, ia juga boleh meningkatkan risiko kematian bayi dalam kandungan semasa minggu-minggu terakhir kehamilan.

Sesetengah wanita berisiko tinggi untuk mendapat diabetes semasa kehamilan atas sebab-sebab tertentu. Sebagai contoh, wanita yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap diabetes ataupun pernah menghidap diabetes dalam kehamilan sebelum ini. Selain itu, masalah berat badan berlebihan dengan indeks jisim tubuh melebihi 30 kg/m2 atau glikosuria (kehadiran gula dalam air kencing) juga boleh meningkatkan risiko untuk menghidap diabetes semasa hamil.

Sasaran untuk ibu hamil

Berikut merupakan sasaran paras gula untuk ibu hamil:

Masa Paras gula (mmol/l)
Sebelum sarapan 3.5 – 5.9
Sebelum makan tengah hari dan malam 3.5 – 5.9
1 jam selepas makan < 7.8
2 jam selepas makan 4.4 – 6.7
2-4 jam selepas makan > 3.9

Jenis Antidiabetik Untuk Ibu Hamil

Bagi individu yang telah disahkan menghidapi diabetes semasa kehamilan, pesakit lazimnya dinasihatkan untuk menyemak sendiri paras gula dalam darah. Antara rawatan awal yang mungkin disarankan oleh doktor adalah amalan gaya hidup sihat seperti mengambil diet yang seimbang mengikut keperluan kalori setiap individu dan mengamalkan senaman yang bersesuaian untuk mengurangkan berat badan yang berlebihan.

Sekiranya paras gula dalam darah masih tidak terkawal, doktor mungkin menasihatkan pesakit untuk mengambil ubat-ubatan sebagai tambahan kepada amalan gaya hidup sihat. Untuk ibu hamil, pengambilan ubat antidiabetik dalam bentuk tablet adalah tidak digalakkan disebabkan faktor keselamatan. Oleh yang demikian, rawatan menggunakan insulin adalah pilihan yang paling sesuai dan selamat untuk ibu hamil bagi mengawal paras gula dalam darah.

Insulin adalah ubat yang kebiasaannya disuntik bawah kulit di sesetengah bahagian tubuh badan seperti perut, peha dan lengan. Ia digunakan untuk mengekalkan paras gula dalam darah pada paras yang normal. Jenis dan dos insulin adalah adalah berbeza bagi setiap individu bergantung kepada kawalan paras gula dalam darah.

Berikut disenaraikan beberapa contoh insulin yang boleh digunakan dalam rawatan diabetes semasa kehamilan :

Kategori

Insulin

Waktu pengambilan Contoh  

 

Fast acting

5 hingga 15 minit sebelum makan / serta merta selepas makan

Aspart (Novorapid)

Lispro (Humalog)

 

 

 

Intermediate acting

 

Sebelum sarapan (pagi) atau sebelum tidur (malam)

 

 

 

Insulin Neutral Protamine Hagedorn (NPH)

·         Insulatard

 

 
 

Insulin Biphasic Isophane

·         Insuman Basal

 
Premixed 30-60 minit selepas makan

Mixtard 30/70

Novomix

 

Kesan Sampingan Antidiabetik Kepada Ibu Hamil

Amalan suntikan insulin mengikut arahan doktor boleh mengawal paras gula dalam darah pada paras yang normal. Walau bagaimanapun, ibu hamil yang mengambil insulin adalah berisiko untuk mendapat kesan sampingan seperti berikut :

  • Paras gula yang rendah dalam darah (hypoglycemia)
  • Sakit kepala
  • Selera makan bertambah dan peningkatan berat badan
  • Simptom selesema

Tip Untuk Wanita Yang Mengalami Diabetes Semasa Kehamilan

  • Elakkan pengambilan snek atau pencuci mulut terutamanya yang mempunyai kandungan gula yang tinggi, contohnya kek, ais krim, gula-gula, coklat dan sebagainya.
  • Makanlah lebih sayur-sayuran dan buah-buahan. Walau bagaimanapun, kurangkan pengambilan buah yang manis (contohnya durian atau pisang) dan sayur yang berkanji (contohnya ubi kentang atau keladi).
  • Walaupun pengambilan gula perlu dikurangkan, ambil karbohidrat dalam kuantiti yang mencukupi untuk menjamin tenaga bagi ibu dan bayi dalam kandungan.
  • Ambil suntikan insulin seperti yang diarahkan oleh doktor dan ahli farmasi.
  • Bincang dengan ahli farmasi sekiranya anda kurang pasti dengan teknik menyuntik insulin yang betul.
  • Awasi tanda-tanda paras gula yang rendah seperti pening, menggigil, berpeluh, lapar atau keliru.

Rujukan

  1. Micromedex
  2. MIMS Gateway Service Portal
  3. Clinical Practice Guideline: Management of Type 2 Diabetes Mellitus by Ministry of Health Malaysia, 4th Edition, May 2009
  4. Gestational Diabetes Mellitus (Diabetes Care by American Diabetes Association, Volume 26, Supplement 1, January 2003)
  5. Mayoclinic : Gestational Diabetes (http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/gestational-diabetes/basics/definition/con-20014854)
  6. WebMD : Types of insulin (http://www.webmd.com/diabetes/guide/diabetes-types-insulin)


Semakan Akhir : 25 November 2015
Penulis : Hazlin bt. Othman
Akreditor : Munira bt. Muhammad

Artikel Berkaitan

Insulin

Persediaan Insulin Teknik suntikan Komplikasi Untuk mengetahui lebih lanjut sila

Dukung Anak

Pengenalan Dukung Anak atau nama saintifiknya Phyllanthus adalah spesies tumbuhan

Oral Antikulat

Antikulat dan kegunaan Jangkitan kulat kedengaran membahayakan dan agak keterlaluan,

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,438

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia