Pengenalan
Ubat antikemurungan (antidepresi) ialah ubat yang digunakan untuk melegakan tanda-tanda kemurungan atau kesugulan yang merupakan satu gangguan psikologi. Ini termasuklah perubahan tingkah laku seperti bermuram, cepat marah, gangguan tidur, hilang berat badan dan kurang selera makan. Ia juga mempunyai kesan penenang. Terdapat empat jenis ubat antidepresi iaitu:
- Trisiklik (Tricyclic)
- RIMAs (Reversible Inhibitors of Monoamine Oxidase type A)
- SSRIs (Selective Serotonin Reuptake Inhibitors)
- SNRIs (Serotonin and Noradrenaline Reuptake Inhibitors)
Bagaimana ia bertindak?
Mekanisme tindakan yang tepat tidak diketahui, namun ubat ini berkeupayaan menambah aktiviti bahan kimia di dalam otak yang dikenali sebagai neuron. Neuron menghantar isyarat dari satu sel otak kepada sel otak yang lain. Bahan kimia yang terbabit dengan emosi dan kemurungan dikenali sebagai serotonin dan noradrenalin. Ubat antidepresi menggalakkan aktiviti neuron dengan menyekat mekanisme pam membran yang bertanggungjawab untuk penyerapan serotonin dan noradrenalin ini.
Bagaimana anda mengambil ubat ini?
- Ambil ubat setiap hari seperti yang diarahkan. Jangan ubah dos ubat sendiri.
- Kesan terapeutik ubat hanya boleh dilihat selepas dua minggu.
- Kesan sampingan ubat akan berkurangan setelah beberapa lama ubat tersebut diambil.
- Rujuk kepada doktor atau ahli farmasi sekiranya kesan sampingan tidak disenangi. Doktor mungkin mencadangkan ubat dari jenis kumpulan yang lain.
Kesan Sampingan
Trisiklik
Kesan sampingan ubat trisiklik yang biasa adalah kering mulut, menggeletar, peningkatan degupan jantung, sembelit, mengantuk dan kenaikan berat badan. Di kalangan warga emas, ubat ini mungkin menyebabkan kekeliruan, kesukaran untuk membuang air kecil, rasa hendak pitam dan jatuh. Elak dari menggunakan trisiklik sekiranya mempunyai masalah jantung. Bagi kaum lelaki, mereka mungkin mengalami mati pucuk atau ejakulasi yang lambat.
RIMAs
Elakkan mengambil ubat RIMAs dengan makanan yang mengandungi Tyramine (contoh: keju, minuman beralkohol, coklat, dadih, kicap) kerana ia boleh menyebabkan tekanan darah meningkat. Jika anda mengambil ubat RIMA, doktor atau ahli farmasi akan memberikan anda senarai makanan yang perlu dielakkan. Selain itu, antara kesan sampingan lain termasuk mulut kering, gangguan tidur pada waktu malam, kesan mengantuk pada waktu siang yang boleh mengganggu pemanduan.
SSRIs
Kesan sampingan pada perut adalah biasa dan ianya berkait rapat dengan dos ubat. Ini termasuklah rasa mual, muntah, perut tidak selesa (dyspepsia), sakit perut, cirit birit, sembelit, tiada selera makan dan kehilangan berat badan.
SNRIs
Kesan sampingan ubat ini adalah serupa dengan SSRIs.
Langkah Berjaga-jaga
-
Memandu atau menggunakan jentera
Terdapat ubat antikemurungan yang menyebabkan kesan mengantuk dan melambatkan tindakbalas anda. Sila rujuk kepada doktor anda sekiranya pekerjaan anda melibatkan pengendalian mesin atau pemanduan.
-
Gejala gian
Ubat antikemurungan selalunya tidak menyebabkan ketagihan tetapi sesetengah orang mungkin mengalami gejala gian apabila mereka berhenti mengambil ubat SSRIs or SNRIs. Kesannya termasuklah perut tidak selesa, gejala selsema, keresahan, pening, mimpi ngeri pada waktu malam dan mengalami perasaan seperti terkena kejutan elektrik. Bagi mengurangkan kesan sampingan ubat ini, doktor akan menurunkan dos ubat secara berkala. Jangan berhenti mengambil ubat ini secara mendadak. Walau bagaimanapun, pengambilan ubat ini tidak boleh diberhentikan secara mendadak.
-
Kehamilan
Elakkan daripada menggunakan sebarang jenis ubat antidepresi sewaktu hamil, terutamanya dalam tempoh 3 bulan pertama kehamilan kerana ia menyebabkan risiko kecacatan pada bayi yang bakal dilahirkan. Pada kebiasaannya rawatan alternatif akan dipertimbangkan kecuali dalam keadaan kemurungan yang teruk dan boleh mengancam nyawa ibu atau anak, penggunaan ubat antidepresi tidak dapat dielakkan.
Kaedah Penyimpanan
Simpan ubat anda di dalam bekas asal dan bertutup, jauh daripada capaian kanak-kanak. Simpan pada suhu bilik dan jauhkan daripada kelembapan dan keadaan panas yang melampau.
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Dr. Nour Hanah bt. Othman |
Penyemak | : | Siti Nurul Fathihah bt. Baharudin |
: | Atika Mahfuza binti Mahbub |