A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Tranexamic Acid

Pengenalan

Tranexamic Acid merupakan salah satu bahan kimia yang tersenarai dalam Senarai Racun Berjadual di bawah Akta Racun 1952. Ubat ini juga tersenarai di bawah Jadual Pertama Senarai Racun dalam akta tersebut dan semua sediaannya adalah termaktub di bawah ‘Kumpulan B’ (penggunaannya memerlukan preskripsi doktor) melainkan yang dikecualikan. Pengecualian tersebut adalah apabila kandungan Tranexamic Acid terdapat dalam produk kosmetik yang telah mendapat notifikasi dari pihak Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Ubat dan Kosmetik 1984.

Mekanisme tindakan Tranexamic Acid ialah dengan merencat penguraian fibrin dalam darah; sejenis protein tidak larut yang membentuk satu jaringan pada darah beku. Apabila proses penguraian fibrin ini direncat, maka tempoh pembekuan darah dapat dipanjangkan seterusnya dapat menghentikan pendarahan yang berlebihan.

Terdapat dua jenis sediaan utama Tranexamic Acid iaitu suntikan dan kapsul. Serbuk Tranexamic Acid di dalam sediaan kapsul boleh di larutkan dalam air mengikut sukatan tertentu untuk dijadikan ubat kumur.

Kegunaan Tranexamic Acid

Secara umum, kegunaan Tranexamic Acid adalah untuk mencegah serta mengawal pendarahan berlebihan selepas menjalani prosedur atau pembedahan tertentu; terutamanya dalam kalangan pesakit yang mempunyai risiko pendarahan yang tinggi. Sebagai contoh, mereka yang menghidap penyakit Hemofilia; sejenis penyakit genetik yang penghidapnya mempunyai proses pembekuan darah yang tidak normal.

Ubat ini juga digunakan untuk wanita yang mempunyai masalah aliran haid yang banyak dan berpanjangan. Walaubagaimanapun, penggunaan Tranexamic Acid bagi rawatan tersebut perlulah dirujuk dan dipantau oleh pakar sakit puan sekiranya simptom berlarutan.

Selain itu ubat ini juga digunakan untuk pesakit yang mengalami pendarahan yang berpanjangan pada hidung, rongga mulut atau gusi terutamanya selepas mencabut gigi.

Kesan-Kesan Sampingan

Antara kesan sampingan biasa ubat Tranexamic Acid ini adalah pening kepala, sakit sendi, sakit dan kekejangan otot, saluran hidung tersumbat, sakit perut dan rasa badan yang lesu.

Kesan sampingan yang serius dan memerlukan rawatan segera pula adalah seperti:

  1. Kesan alahan (ruam, gatal kulit, sukar bernafas, bengkak pada muka, bibir atau lidah)
  2. Sakit pada kaki
  3. Bengkak dan sakit-sakit di seluruh badan
  4. Sakit dada
  5. Dada berasa ketat dan sukar bernafas
  6. Keliru
  7. Batuk berdarah
  8. Kurang atau susah membuang air kecil
  9. Masalah penglihatan (gangguan penglihatan warna, kabur)
  10. Rasa kebas pada lengan atau kaki
  11. Sawan
  12. Pening yang teruk
  13. Pendek pernafasan
  14. Muntah-muntah dan kelesuan yang luar biasa

Jika mengalami sebarang kesan sampingan yang dinyatakan di atas, pesakit atau pengguna perlulah mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor atau ahli farmasi bagi kesan sampingan yang umum, manakala bagi kesan sampingan yang serius, pesakit perlu dirujuk kepada khidmat perubatan kecemasan dengan kadar segera.

Kontraindikasi & Langkah Berjaga-jaga

Ubat Tranexamic Acid tidak boleh digunakan sekiranya mempunyai sejarah alahan terhadap ubat ini, mempunyai penyakit tromboembolik, mengalami gangguan penglihatan warna, golongan wanita yang mempunyai masalah pendarahan haid yang tidak teratur, individu yang mengalami pendarahan otak, darah dalam air kencing atau pendarahan disebabkan oleh masalah buah pinggang, ibu-ibu yang mengandung, dan individu yang menggunakan ubat kontraseptif kombinasi estrogen dan progesterone.

Individu yang mempunyai masalah pembekuan darah atau situasi yang meningkatkan risiko pembekuan darah juga tidak boleh menggunakan ubat Tranexamic Acid ini. Sebagai contoh pesakit yang mempunyai masalah injap jantung atau masalah degupan jantung.

Selain itu, ubat Tranexamic Acid ini menyebabkan pening kepala dan akan bertambah teruk jika diambil bersama alkohol atau ubat-ubatan lain.

Isu-isu Semasa dan Penggunaan Tranexamic Acid Tanpa Pengawalan

Bermula dengan pemerhatian tidak sengaja seorang penyelidik pada tahun 1979, terdapat beberapa laporan yang menyatakan Tranexamic Acid boleh membantu mengurangkan dan memperbaiki keadaan kulit yang dipanggil Melasma. Melasma merupakan satu keadaan kulit yang disebabkan oleh hiperpigmentasi yang menghasilkan tompokan-tompokan gelap pada kulit di bahagian muka.

Sehubungan itu, terdapat sebilangan individu yang mengambil kesempatan berlandaskan dakwaan sesetengah laporan tersebut yang menyatakan bahawa Tranexamic Acid ini adalah satu agen pemutihan kulit yang selamat.

Jika dilihat dari sisi penjualan ubat ini bagi tujuan pemutihan kulit, laporan dari Cawangan Penguatkuasaan Farmasi menunjukkan terdapat penjualan Tranexamic Acid dilakukan oleh individu yang tidak mempunyai lesen serta tidak bertauliah dan ini boleh membahayakan pengguna serta salah disisi undang-undang. Pelbagai sediaan dan cara penggunaan telah ditawarkan oleh penjual-penjual yang tidak bertanggungjawab ini seperti suntikan, kapsul malah ada yang mencadangkan ubat ini dicampurkan dalam minuman jus buah-buahan atau mencampurkan dengan air untuk disapukan kepada muka.

Pengambilan seperti ini tidak disyorkan oleh pengilang malah tiada bukti klinikal yang menunjukkan tindakan seperti itu lebih berkesan dan boleh mencerahkan kulit secara umum. Malah tidak berbaloi jika dilihat daripada harga jualan ubat ini yang mencecah 6 kali ganda harga cadangan jualan runcit daripada pengeluar.

Nasihat Kepada Pengguna

Para pengguna diseru agar mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu sebelum menggunakan produk Tranexamic Acid. Perlu juga ditegaskan bahawa penjualan dan penggunaan ubat ini secara oral dan suntikan hanyalah melalui preskripsi dan pengawasan pihak doktor yang bertauliah sahaja. Jangan mudah terpedaya dengan promosi jualan di internet dan media sosial berkaitan ubat Tranexamic Acid ini untuk tujuan pencerahan kulit. Sehingga kini tiada data saintifik yang muktamad yang menunjukkan bahawa ubat ini berkesan sebagai agen mencerahkan kulit secara total dan selamat.

Pengguna harus bijak memilih sumber maklumat untuk mengetahui secara lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan demi keselamatan dan kesihatan diri, keluarga dan masyarakat sekeliling.

Rujukan

  1. British National Formulary 69; March – September 2015
  2. http://online1.mimsgateway.com.my/
  3. Lexicomp Drug Information Handbook. 24th Edition; 2015-2016
  4. Medscape: Drugs & Diseases: Tranexamic Acid
  5. Tranexamic Acid: Package Insert Information for the User; Cyclokapron 100mg/ml Solution for Injection. Pfizer Canada Inc
  6. www.Webmd.com: Use, Side effects & Interactions of Tranexamic Acid
Semakan Akhir : 30 Jun 2016
Penulis : Rose Aniza bt. Rusli
Akreditor : Lijah bt. Othman

Artikel Berkaitan

Penyakit Bawaan Virus Varicella-Zoster

Virus Varicella-Zoster (VZV) adalah virus yang mengakibatkan dua jenis penyakit iaitu varicella (demam campak) dan herpes zoster (kayap). Demam campak kebiasaanya dijangkiti pada zaman kanak-kanak,manakala kayap pula adalah jangkitan lanjut demam campak yang mungkin berlaku pada usia tua.

Kepatuhan kepada Ubat Anda

Kepatuhan (komplians) kepada ubat ialah mematuhi arahan dan nasihat berkaitan ubat-ubatan anda yang akan diberikan oleh kumpulan profesional kesihatan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,228,356

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia