A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pengenalan

Tiroid merupakan kelenjar yang berbentuk rama-rama yang terletak di bahagian hadapan leher yang bertanggungjawab di dalam penghasilan hormon tiroid. Kelenjar tiroid menggunakan zat iodin (sumber yang diperolehi daripada diet pemakanan seperti garam dan makanan laut) dalam menghasilkan hormon tiroid.

Hormon tiroid adalah amat penting dalam mengawal metabolisme dan fungsi tubuh badan manusia seperti tumbesaran dan mengawal metabolisme protein dan lemak dalam badan.

Terdapat 2 jenis hormon tiroid iaitu tiroksin (T4) dan triiodotironin (T3), masing-masing mewakili 99.9% dan 0.1% hormon tiroid. Selepas dirembes keluar dari kelenjar tiroid, jumlah T4 yang banyak akan ditukarkan kepada T3, yang merupakan hormon yang paling aktif daripada segi biologi dalam memberi kesan metabolisme ke atas sel-sel badan.

Gambar : Kelenjar tiroid

Penyebab

Masalah tiroid boleh diklasifikasikan kepada 2 kumpulan utama iaitu :

  1. Masalah yang berpunca daripada fungsi penghasilan hormon tiroid yang tidak normal
    1. Hipertiroidisme (kelenjar tiroid terlebih aktif)
      Antara penyebab-penyebab utama adalah seperti penyakit Graves, goiter multinodular toksik, nodul tiroid yang menghasilkan hormon tiroid berlebihan dan pengambilan iodin secara berlebihan
    2. Hipotiroidisme (kelenjar tiroid kurang aktif)
      Antara penyebab-penyebab utama adalah seperti tiroiditis Hashimoto, dan masalah keradangan pada kelenjar tiroid (tiroiditis)
  2. Masalah yang berpunca daripada struktur kelenjar tiroid itu sendiri
    1. Goiter
      Ia bukan sejenis penyakit tetapi merupakan suatu keadaan di mana kelenjar tiroid membengkak
    2. Nodul tiroid
      Bermaksud terdapat ketulan yang abnormal di dalam kelenjar tiroid dan boleh disebabkan oleh ‘benign cysts’ dan ‘benign tumor’ serta jarang-jarang berlaku iaitu barah tiroid
    3. Barah tiroid adalah lebih banyak berlaku di kalangan wanita dewasa jika dibandingkan dengan lelaki ataupun remaja. Terdapat beberapa jenis barah tiroid. Ia bergantung kepada jenis sel barah itu berasal.

Gejala

Hipertiroidisme merupakan keadaan di mana kelenjar tiroid terlebih aktif dengan menghasilkan hormon tiroid yang berlebihan. Gejala-gejala hipertiroidisme adalah seperti :

  1. Tangan menggeletar (tremor)
  2. Rasa gementar
  3. Degupan jantung yang laju
  4. Mudah berpeluh dan panas
  5. Susut berat badan
  6. Lesu dan cepat berasa letih

Hipotiroidisme merupakan keadaan di mana kelenjar tiroid kurang aktif dengan menghasilkan hormon tiroid yang rendah. Gejala-gejala hipotiroidisme adalah seperti :

  1. Lesu
  2. Sukar untuk menumpukan perhatian dan tahap pemikiran yang lembab
  3. Kulit kering
  4. Sembelit
  5. Sentiasa berasa sejuk
  6. Pendarahan haid yang banyak dan lama bagi wanita

Goiter merupakan pembengkakan pada kelenjar tiroid dan boleh mempunyai gejala-gejala hipertiroidsme, hipotiroidisme ataupun eutiroid (fungsi tiroid yang normal).

Gambar : Kelenjar tiroid

Nodul tiroid pula boleh terdapat satu nodul ataupun berbilang. Apabila nodul terlalu besar, ia boleh menekan struktur-struktur berhampiran dan boleh menyebabkan gejala seperti kesukaran bernafas atau suara menjadi kasar

Barah tiroid  terjadi apabila terdapat gejala-gejala seperti ketulan pada kelenjar tiroid, suara menjadi kasar, kesukaran bernafas atau menelan, noda-noda  limfa yang membengkak di bahagian leher, batuk atau sakit tekak yang berterusan dan sakit pada leher yang berterusan.

Komplikasi

Hipotiroidisme yang tidak dirawat boleh menyebabkan masalah-masalah berikut :

  1. Risiko penyakit jantung kerana kandungan kolesterol yang tidak baik (LDL) akan meningkat.
  2. Masalah mental seperti kemurungan dan pemikiran yang lembab.
  3. Masalah saraf seperti kebas-kebas dan sakit-sakit di bahagian saraf yang terlibat.
  4. Myxedema – merupakan keadaan yang serius dan boleh meragut nyawa di mana pesakit boleh datang dalam keadaan koma.
  5. Masalah kemandulan bagi wanita (infertiliti).
  6. Masalah perkembangan dan tumbesaran bayi dalam kandungan daripada segi fizikal dan mental.

Hipertiroidisme yang tidak dirawat boleh menyebabkan masalah-masalah berikut :

  1. Masalah jantung seperti “atrial fibrillation” dan lemah jantung boleh terjadi akibat degupan jantung yang terlalu laju dan tidak terkawal.
  2. Masalah tulang rapuh (osteoporosis) akibat gangguan ke atas metabolisme kalsium di dalam badan.
  3. Masalah mata boleh berlaku bagi penyakit Grave di mana bola mata akan terbonjol, merah dan bengkak.
  4. “Thyroid storm”- keadaan yg amat serius dan boleh meragut nyawa di mana terdapat gejala-gejala seperti demam panas, denyutan jantung yang laju dan keadaan tidak sedarkan diri.

Goiter yang terlalu besar boleh menyebabkan masalah kesukaran bernafas atau menelan di samping masalah dari segi kecantikan/kosmetik.

Barah tiroid boleh berlaku semula walaupun selepas pembedahan membuang kelenjar tiroid dijalankan, lebih-lebih lagi dalam tempoh 5 tahun selepas pembedahan. Pemeriksaan dari semasa ke semasa perlu dilakukan bagi mengesan barah tiroid daripada berlaku semula. Barah tiroid yang berlaku semula boleh dirawat sepenuhnya.

Rawatan

Masalah tiroid boleh dirawat menggunakan ubat-ubatan atau pembedahan. Ia bergantung kepada jenis masalah tiroid tersebut.

Bagi masalah hipotiroidisme, hormon tiroid boleh diganti dengan pengambilan pil sintetik hormon tiroid secara oral.

Bagi masalah hipertiroidisme, penghasilan hormon tiroid oleh kelenjar tiroid dapat dikurangkan melalui  ubat-ubatan yang diambil secara oral. Bagi mengawal gejala-gejala yang disebabkan oleh hipertiroidisme seperti denyutan jantung yang laju, terdapat ubat-ubatan yang boleh diberi secara oral juga. Jika masalah hipertiroidisme tidak dapat dikawal secara ubat-ubatan, rawatan ablasi radioaktif dapat digunakan untuk mematikan tisu kelenjar tiroid secara selektif.

Rawatan secara pembedahan adalah perlu bagi masalah tiroid yang terdapat kemungkinan  merupakan barah tiroid. Pembedahan juga boleh dijadikan sebagai rawatan jika goiter terlalu besar hingga menyebabkan gejala seperti kesukaran bernafas atau kesukaran untuk menelan juga untuk kes nodul tiroid yang menghasilkan hormon tiroid berlebihan yang tidak dapat dikawal dengan ubat-ubatan.

Rujukan

  1. www.medicinenet.com
  2. American Cancer Society
  3. www.mayoclinic.org

 

Semakan Akhir : 21 Mei 2015
Penulis : Dr. Mohamad Hamim b. Mohamad Hanifah
Akreditor : Dr. Zainal Abidin b. Mohamed@Ismail

 

Artikel Berkaitan

Ulser Kornea

Kornea adalah lapisan jernih terluar bahagian hadapan mata yang berbentuk

Kanser Kolorektal

Kanser kolorektal atau kanser usus besar adalah kanser yang berlaku di bahagian kolon atau rektum. Kolon adalah usus besar manakala rektum adalah bahagian yang menghubungkan kolon dan dubur.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,227,618

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia