A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kurap

Kurap atau tinea corporis adalah sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh jangkitan sejenis kulat (fungi) yang dipanggil dermatophyte.

Kurap atau tinea corporis adalah sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh jangkitan sejenis kulat (fungi) yang dipanggil dermatophyte.

Tiga jenis dermatophyte yang dikenal pasti menyebabkan kurap adalah dari jenis Trichophyton, Microsporum dan Epidermophyton. Selain daripada menjangkiti kulit, kulat-kulat ini juga boleh menjangkiti  kuku dan rambut.

Jangkitan boleh berlaku melalui sentuhan; sama ada dengan manusia atau haiwan yang berkurap atau dengan sebarang  objek yang mempunyai kulat di atasnya (fomites). Ia juga boleh berjangkit  secara autoinokulasi iaitu jangkitan daripada kawasan lain pada tubuh individu yang sama contohnya berjangkit di bahagian tangan atau badan akibat digaru dengan kuku jari yang dijangkiti kulat.

Keadaan kulit yang sentiasa lembap akibat pemakaian baju yang diperbuat daripada fabrik yang tidak menyerap peluh atau iklim yang lembap dan panas  menggalakkan pertumbuhan dan  jangkitan kurap.

Gejala & Tanda

Apabila diamati dengan mata kasar, kulit yang berkurap mempunyai plak kemerah-merahan yang  bersisik dan kadang-kala terdapat bintik-bintik merah atau bisul-bisul halus di sekelilingnya. Tanpa rawatan, plak ini boleh membesar dan kadang-kala akan membentuk gelang kemerah-merahan di sekelilingnya.

Gambar-gambar di atas menunjukkan tompok-tompok merah, bersisik dan mempunyai sempadan yang jelas di badan seorang pesakit yang menghidap penyakit kurap yang serius.

Rupa bentuk  seperti gegelang inilah yang menyebabkan ia juga dikenali sebagai ‘ringworm’  walaupun  sebenarnya  penyakit ini tidak ada kena mengena dengan jangkitan cacing. Kurap boleh menjangkiti mana-mana bahagian tubuh termasuklah bahagian  lipatan badan dan kawasan-kawasan yang sering berpeluh dan  tertutup seperti di punggung, peha, perut dan sebagainya.

Jangkitan kurap juga boleh dikenal pasti  dengan menggunakan beberapa teknik penyiasatan seperti kaedah skin scraping dan kultur kulat. Untuk melakukan skin scraping, kulit berpenyakit akan dikikis di bahagian sempadannya untuk mendapatkan sisik-sisik kulit.  Bahan yang dikikis akan diletakkan ke dalam titisan  cecair potassium hydroxide  di atas slaid kaca dan terus diamati menerusi mikroskop untuk mengecam  kulat  tersebut.

Kulat juga boleh dikenalpasti dengan menghantar bahan kikisan daripada kulit ke makmal dan ia akan dikulturkan di dalam media kultur khas. Selepas beberapa hari, jenis koloni kulat yang tumbuh dapat dikenal pasti.

Komplikasi

Kadang-kala, pengecaman jangkitan kurap tidaklah semudah yang disangka. Masalah ini boleh berlaku kerana kurap boleh menyerupai pelbagai penyakit kulit yang lain seperti psoriasis, discoid eczema, urticaria, Bowen’s disease, kusta, sifilis sekunder dan sebagainya (lihat gambar).

Sekiranya kurap telah disapu dengan krim yang mengandungi steroid terlebih dahulu, rupanya boleh berubah dan ini akan menyukarkan proses pengecaman. Kurap seperti ini dipanggil tinea incognito.

Penyakit-penyakit kulit yang boleh menyerupai kurap:

a) Psoriasis

 

b) Discoid eczema

c) Urticaria

d) Bowen’s disease

e) Leprosy

Rawatan

Penyakit kurap boleh dirawat dengan penggunaan ubat antikulat. Jenis rawatan bergantung kepada beberapa faktor seperti tahap kulit yang dijangkiti, kekerapan jangkitan berulang selepas dirawat, kurap yang tidak sembuh dengan rawatan sapuan krim dan sebagainya. Sekiranya kurap hanya melibatkan kawasan kulit yang terhad, ubat dalam bentuk krim adalah yang paling sesuai. Krim-krim yang mengandungi bahan aktif seperti imidazole, allylamine, tolnaftate dan cicloprox boleh digunakan. Teknik sapuan krim yang betul harus digunakan – ubat perlu disapu di atas plak dan melebihi sempadan kurap. Rawatan perlu dilakukan dua kali sehari selama dua hingga empat minggu, bergantung pada jenis ubat yang digunakan.

Jika terdapat banyak kawasan yang dijangkiti kurap, ubat antikulat dalam bentuk kapsul atau pil adalah pilihan yang lebih praktikal. Di antara ubat antikulat yang kerap digunakan adalah fluconazole, itraconazole dan terbinafine. Walau bagaimanapun, ubat-ubat ini mempunyai kesan sampingan yang tersendiri. Ia boleh berinteraksi dengan ubat-ubat lain dan mengakibatkan komplikasi terutamanya pada sesetengah individu. Oleh itu, pastikan ubat-ubat ini diperoleh daripada pengamal perubatan yang arif tentang penggunaannya. Anda juga dinasihatkan untuk mengelakkan daripada membeli ubat-ubatan tanpa preskripsi terutamanya jika anda juga mengambil ubat-ubat yang lain.

Pencegahan

Rawatan awal dan tepat amat penting untuk mempastikan jangkitan kurap sembuh dan tidak berulang. Walau bagaimanapun, jangkitan ini masih boleh berulang  sekiranya seseorang itu juga mempunyai penyakit kencing manis yang tidak terkawal, mempunyai daya imuniti yang rendah, menerima rawatan kali pertama dengan dos atau jangka masa yang tidak mencukupi dan pelbagai faktor lain. Elakkan daripada berkongsi tuala, pakaian atau kasut dengan orang lain dan pastikan kawasan kulit yang terlibat tidak sentiasa lembap.

Rujukan

  1. Hay RJ, Ashbee HR.(2010). Burns T, Breatneach S, Cox N, Griffiths C. (Eds). Rook’s Textbook of Dermatology.(pp.1657- 1707). United Kingdom: Wiley-Blackwell
  2. Verma S, Heffernan MP. (2008)Wolff K, Goldsmith LA, Katz SI, Gilchrest BA, Paller AS, Leffell DJ. (Eds).Fitzpatrick’s Dermatology in General Medicine. (pp 1807-1821).USA: McGraw-Hill
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis/Penterjemah : Dr. Mazlin Baseri
Akreditor : Datin Dr. Asmah bt. Johar
Penyemak : Dr. Nazatul Shima bt. Abd Rahim

Artikel Berkaitan

Dermatitis Sentuh

Dermatitis sentuh adalah sejenis ekzema yang disebabkan oleh faktor luaran.

Ketuat – Dewasa

Ketuat disebabkan oleh jangkitan virus, human papillomavirus (HPV). Ia boleh melibatkan bahagian kulit dan mukosa seperti di bahagian alat kelamin lelaki dan perempuan.

Kayap

Kayap juga dikenali sebagai herpes zoster dalam istilah perubatan. Ianya sejenis penyakit kulit dan saraf yang disebabkan oleh jangkitan Virus Varicella Zoster (VZV)

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,220,922

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia