A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Tekanan Darah Tinggi

  1. Apakah penyakit tekanan darah tinggi?

Penyakit tekanan darah tinggi atau penyakit hipertensi adalah penyakit kronik yang boleh membawa kepada komplikasi teruk. Seramai 37% populasi Malaysia mengidap penyakit tekanan darah tinggi. Secara amnya penyakit tekanan darah tinggi tidak mempunyai penyebab khusus tetapi faktor seperti sejarah ahli keluarga yang mempunyai penyakit darah tinggi, obesiti, tekanan (stress) dan diabetes telah dikaitkan kepada punca penyakit ini. Pengidap tekanan darah tinggi lazimnya tidak mempunyai sebarang gejala (symptom) khusus. Tekanan darah yang tinggi akan menyebabkan organ-organ seperti jantung, otak dan ginjal didedahkan kepada tekanan tinggi yang kronik. Pendedahan kepada tekanan darah tinggi ini akan mengakibatkan komplikasi saluran darah sempit di otak dan jantung menyebabkan stroke (angin ahmar) dan serangan jantung. Kegagalan ginjal (buah pinggang) juga boleh berlaku jika tekanan darah yang tinggi tidak dikawal. Penyakit tekanan darah tinggi boleh dielakkan dengan mengamalkan cara hidup sihat.

 

  1. Bilakah individu itu dikatakan mengidap penyakit darah tinggi dan apakah tindakan yang perlu dilakukan?

Seseorang itu dikatakan mengidap penyakit tekanan darah tinggi apabila bacaan tekanan darah sistolik >140 atau diastolik > 90, (>140/90). Bacaan tekanan darah tidak perlu kedua-duanya (sistolik dan diastolik) tinggi memadai salah satu bacaan tinggi secara berterusan selama 3-6 bulan. Diagnosa penyakit tekanan darah tinggi hanya boleh dilakukan oleh doktor setelah pemantauan tekanan darah dan penilaian risiko kardiovaskular dijalankan. Penentuan kepada penyakit darah tinggi tidak bergantung kepada gejala (simptom) yang di alami oleh individu tersebut. Contohnya sakit kepala atau leher tidak semestinya disebabkan oleh tekanan darah tinggi. Oleh kerana secara amnya penyakit tekanan darah tinggi tidak mempunyai gejala khusus, individu hendaklah membuat pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya 6 bulan sekali di klinik kesihatan yang berdekatan. Doktor akan memberi rawatan yang sesuai jika diagnosa penyakit tekanan darah tinggi telah dikenal pasti.

 

  1. Bilakah bacaan tekanan darah dikatakan tinggi dan apakah cara untuk memastikan tekanan darah sentiasa normal?

Bacaan tekanan darah yang normal dan tidak memerlukan rawatan, bacaannya adalah seperti berikut iaitu tekanan darah sistolik < 140 dan diastolik < 90 (<140/90). Walau bagaimanapun, tahap tekanan darah sistolik 120 – 139 atau diastolik 80 – 89 (120–139/80–89) dianggap pra-tekanan darah tinggi (pre-hypertensive) dan memerlukan rawatan perubahan cara hidup (non-pharmacological) untuk memastikan tekanan darah dapat dikawal dan tidak memerlukan rawatan ubat-ubatan. Untuk pengidap penyakit tekanan darah tinggi, bacaan tekanan darah yang perlu dicapai secara amnya adalah <140/90 menggunakan rawatan ubat-ubatan (pharmacological therapy) dan bukan ubat-ubatan (non-pharmacological therapy). Pemantauan tahap tekanan darah akan dilakukan oleh doktor secara berkala. Matlamat rawatan adalah untuk mencapai tahap tekanan darah normal. Individu perlu menjalankan cara hidup sihat dan pengendalian stress yang berkesan supaya tekanan darah akan sentiasa berada di tahap normal.

 

  1. Apakah rawatan penyakit tekanan darah tinggi dan kesan sampingannya?

Penyakit tekanan darah tinggi boleh dirawat oleh doktor yang berdaftar. Rawatan berbentuk pil dan ia boleh didapati dari premis kesihatan kerajaan dan swasta. Mekanisma rawatan adalah pelbagai dan ia termasuk rawatan perlindungan kepada ginjal/buah pinggang (renal protective therapy). Sebarang rawatan hendaklah dipantau oleh doktor dan ubat tidak boleh dibeli di kedai farmasi tanpa pemantauan rapi. Tidak dinafikan sebarang rawatan perubatan mempunyai kesan sampingan termasuklah rawatan tekanan darah tinggi. Namun begitu kesan sampingan adalah sedikit, tidak merbahaya, bersifat sementara dan boleh dirawat oleh doktor. Jika pesakit mendapat sebarang kesan sampingan dengan rawatan yang diberi, pesakit hendaklah bejumpa doktor supaya ia boleh dirawat dengan segera. Pesakit tidak digalakkan untuk meninggalkan rawatan kerana ini akan menyebabkan tekanan darah meningkat dengan mendadak dan boleh menyebabkan stroke (angin ahmar) atau kematian. Tambahan, pesakit juga tidak digalakkan untuk bertukar doktor dengan kerap (doctor shopping) kerana langkah ini boleh menyebabkan komplikasi lanjut dan pengendalian penyakit tekanan darah tinggi yang sub-optima. Pengendalian penyakit tekanan darah tinggi memerlukan pengurusan rawatan komprehensif dan multidisiplin. Oleh itu adalah penting untuk pesakit mematuhi temujanji rawatan susulan di klinik kesihatan atau hospital kerajaan dan swasta.

 

  1. Apakah peranan supplemen dan rawatan komplementari tradisional (traditional complementary medicine) di dalam mengawal tekanan darah tinggi?

Sehingga kini, tiada bukti saintifik perubatan (evidence based medicine) yang menyarankan penggunaan rawatan perubatan tradisional dan supplemen untuk mengawal tekanan darah tinggi. Penggunaan rawatan sedemikian masih memerlukan kajian lanjut. Pesakit yang ingin menggunakan perubatan tradisional dan supplemen untuk merawat tekanan darah tinggi hendaklah merujuk kepada Doktor untuk memastikan ia berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan selamat digunakan.

Pesakit yang sedang menggunakan rawatan perubatan tradisional dan supplemen hendaklah berjumpa Doktor supaya tekanan darah dapat dipantau dan sebarang kesan sampingan dapat dirawat sewajarnya. Ini adalah kerana kesan sampingan yang dialami oleh pesakit tidak sama di antara satu individu dengan individu yang lain.

 

  1. Apakah komplikasi penyakit tekanan darah tinggi?

Penyakit tekanan darah tinggi merupakan salah satu penyakit kronik. Essential hypertension atau  primary hypertension adalah penyakit tekanan darah tinggi (hypertensi) yang paling kerap berlaku.Penyakit tekanan darah tinggi juga boleh disebabkan oleh masalah buah pinggang, penyakit endokrin dan lain-lain.

Tekanan darah tinggi yang kronik akan menyebabkan perubahan atherosclerosis pada dinding salur darah. Ini akan mengakibatkan salur darah menjadi sempit pada jantung, otak dan salur darah utama. Pengaliran darah menjadi tidak lancar dan boleh mengakibatkan stroke (angin ahmar) dan serangan jantung (heart attack myocardial infarction). Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal juga akan menyebabkan buah pinggang mengalami tekanan tinggi yang kronik. Ini akan menyebabkan kerosakan kepada tisu buah pinggang dan selanjutkan akan mengakibatkan kegagalan buah pinggang.

Pesakit yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi hendaklah mendapat rawatan lanjut daripada Doktor di klinik kesihatan atau hospital terdekat.

 

  1. Apakah perkara-perkara yang boleh menyebabkan peningkatan kepada tekanan darah?

Tekanan darah boleh meningkat dalam keadaan tertentu seperti stress, gelisah, penat, kesakitan, berdebar-debar, ketakutan dan sebaik selepas melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna individu itu mempunyai penyakit tekanan darah tinggi kerana tekanan darah ini akan kembali normal. Diagnosa penyakit tekanan darah tinggi (hipertensi) dibuat apabila tekanan darah tinggi berterusan selepas pemantauan dilakukan dalam jangkamasa 3-6 bulan.

Untuk mendapatkan bacaan tekanan darah yang tepat, beberapa perkara harus diambil kira dengan memastikan alat pengambilan tekanan darah adalah dalam keadaan baik. Anda juga hendaklah berada dalam keadaan yang tenang dengan posisi badan yang betul dan tidak merokok atau mengambil kefein dalam tempoh 15 minit sebelum pemeriksaan tekanan darah. Oleh itu keadaan berdebar-debar dan tidak cukup rehat semasa pengambilan tekanan darah akan mempengaruhi bacaan tekanan darah tersebut.

Merokok, pengamalan cara hidup sedenteri (tidak aktif), stress dan pemakanan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Anda digalakkan membuat pemeriksaan tekanan darah di premis kesihatan yang terdekat sekurang-kurangnya 6 bulan sekali.

 

  1. Bagaimana cara untuk mengawal tekanan darah tinggi?

Cara untuk mengawal tekanan darah tinggi adalah:

  • Mengamalkan cara hidup yang sihat seperti bersenam secara berkala.
  • Amalkan permakanan sihat dan seimbang
  • Kurangkan pengambilan makanan yang mengandungi garam dan kolesterol berlebihan
  • Kekalkan jisim berat badan unggul (BMI <23)
  • Pengurusan stress secara berkesan
  • Tidak merokok
  • Mengamalkan cara hidup aktif
  • Menjalankan pemeriksaan tekanan darah secara berkala

Selain dari langkah-langkah di atas, pesakit yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi hendaklah patuh kepada rawatan ubat-ubatan yang diberi oleh Doktor.

 

  1. Apakah Tanda Dan Gejala Penyakit Tekanan Darah Tinggi?

Penyakit tekanan darah tinggi (hipertensi) adalah salah satu penyakit kronik yang ditakuti oleh orang ramai dan berbahaya jika tidak dikesan dan dikawal. Malah seseorang itu tidak mengetahui dirinya menghidap penyakit tekanan darah tinggi kerana tiada gejala dan tanda khusus yang dialami. Walau bagaimanapun gejala seperti sakit kepala yang teruk dan sakit tengkuk mungkin disebabkan oleh tekanan darah yang tinggi. Tetapi individu yang mengalami gejala ini hendaklah berjumpa Doktor untuk mendapatkan kepastian iaitu dengan mengambil bacaan tekanan darah. Penyakit tekanan darah tinggi yang tidak terkawal akan menyebabkan komplikasi stroke (angin ahmar) dan serangan jantung.

 

  1. Apakah faktor risiko untuk mendapat penyakit tekanan darah tinggi?

Penyakit tekanan darah tinggi (hipertensi) dikaitkan dengan beberapa faktor risiko. Faktor risiko terbahagi kepada faktor risiko yang boleh diubah dan faktor risiko yang tidak boleh diubah.

Contoh faktor risiko yang tidak boleh di ubah adalah:

  • Sejarah keluarga (genetik)
  • Gender (lelaki lebih berisiko berbanding dengan perempuan)
  • Umur (peningkatan umur memberi risiko kepada tekanan darah tingg)

Contoh faktor risiko yang boleh diubah:

  • Merokok
  • Diabetes
  • Obesiti
  • Tahap kolesterol yang tinggi
  • Pengambilan alcohol
  • Pengambilan garam berlebihan
  • Stress
  • Cara hidup sedenteri (tidak aktif)

Faktor risiko di atas boleh diubah melalui pengamalan cara hidup sihat dari aspek pemakanan dan aktiviti fizikal. Pengurusan stress juga membantu mengawal tekanan darah

 

  1. Apakah amalan cara hidup sihat yang di sarankan untuk mengekalkan tekanan darah normal

Amalan cara hidup sihat yang disarankan adalah:

  • Mengekalkan berat jisim badan unggul BMI <23 dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan sihat serta aktiviti ffizikal yang bersesuaian
  • Aktiviti fizikal secara berterusan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu
  • Berjalan kaki secara deras adalah satu-satunya cadangan aktiviti fizikal yang praktikal (10,000 langkah)
  • Tidak merokok
  • Kurangkan pengambilan makanan yang berkolesterol tinggi
  • Kurangkan pengambilan garam secara berlebihan
  • Elakkan pengambilan alcohol
  • Pengurusan stress dan emosi secara berkesan

Cadangan-cadangan di atas boleh membantu menggurangkan risiko menghidap penyakit tekanan darah tinggi. Ia juga boleh membantu pengidap tekanan darah tinggi mencapai tahap bacaan normal selain dari bantuan rawatan ubat-ubatan. Sekiranya pengidap penyakit tekanan darah tinggi atau sebarang individu menghadapi masalah untuk melaksanakan cadangan-cadangan di atas, mereka bolehlah pergi ke klinik kesihatan atau hospital berdekatan untuk mendapat khidmat nasihat daripada Doktor, pegawai sains pemakanan, pegawai dietetik dan pegawai fisioterapi.

 

  1. Bagaimanakah cara untuk menilai tahap tekanan darah?

Penilaian tekanan darah boleh dibuat menggunakan BP set seperti yang terdapat di klinik kesihatan dan hospital kerajaan dan swasta. Bacaan tekanan darah hendaklah diintepretasi oleh Doktor. Sebarang tindakan selanjutnya akan diberi oleh Doktor yang membuat pemeriksaan. Saringan tekanan darah tinggi menggunakan BP set hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam jangkamasa 6–12 bulan.

Individu juga boleh membeli BP set dari kedai farmasi dan membuat pengukuran tekanan darah sendiri (self-monitoring BP) tetapi semua bacaan tekanan darah yang diambil hendaklah direkodkan. Intepretasi bacaan hendaklah dirujuk kepada Doktor.

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,422,506

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia