A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Tablet Levonorgestrel 0.75 mg

Tablet Levonorgestrel 0.75 Mg

Pengenalan

Levonorgestrel merupakan progestogen sintetik. Pada dos yang dipertingkatkan, levonorgestrel boleh mencegah kehamilan dengan melewatkan pengeluaran ovum (telur) dari ovari, mengganggu proses persenyawaan atau mengganggu implantasi ovum yang telah disenyawakan pada dinding rahim.

Persenyawaan sebenarnya jarang berlaku sejurus sahaja selepas hubungan seks. Sebaliknya ia lebih kerap terjadi beberapa jam selepas ovulasi. Dalam tempoh masa diantara hubungan seks dan persenyawaan, sperma masih lagi dalam perjalanan ke salur fallopian sebelum bertemu dengan telur. Jadi inilah asasnya pil pencegah kehamilan bertindak dengan menghalang persenyawaan dan implantasi hasil dari tindakan hormon progestin.

Terdapat beberapa produk tablet levonorgestrel 0.75mg yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah menggunakan pelbagai nama dagangan untuk pasaran di Malaysia.

Kegunaan Ubat

Tablet levonorgestrel 0.75mg diambil selepas sesuatu hubungan seks untuk mencegah berlakunya kehamilan. Penggunaannya bertujuan mengelakkan kehamilan yang tidak dirancang sekiranya berlaku hubungan seks yang tidak dilindungi oleh sebarang kaedah pencegah kehamilan atau berlakunya kegagalan alat / kaedah pencegah kehamilan, contohnya kondom yang terkoyak.

LEVONORGESTREL 0.75MG HANYA MENGHALANG TERJADINYA KEHAMILAN DAN TIDAK MEMPUNYAI KESAN TERHADAP KEHAMILAN YANG TELAH BERLAKU.

Levonorgestrel 0.75mg tidak disyorkan sebagai kaedah utama untuk mencegah kehamilan. Kegunaannya perlu dihadkan kepada kes-kes terpencil di mana berlaku kegagalan kaedah mencegah kehamilan yang biasa/rutin. Levonorgestrel 0.75mg juga boleh digunakan sebagai kaedah tambahan jika seseorang itu tidak pasti sama ada kaedah mencegah kehamilan yang biasa digunakannya adalah berkesan.

Kontraindikasi

  • Levonorgestrel 0.75mg tidak boleh diambil oleh wanita yang hamil atau disyaki hamil.
  • Sekiranya diambil oleh wanita yang sedang hamil, Levonorgestrel 0.75mg tidak berkesan untuk mencegah kehamilan tersebut. Kemungkinan untuk terjadinya keguguran terhadap kehamilan adalah sangat rendah.

Perhatian

  • Levonogestrel dikumuhkan ke dalam susu ibu. Oleh itu, dicadangkan untuk menyusukan bayi dengan segera sebelum mengambil levonogestrel 0.75mg dan jarakkan penyusuan bayi sekurang-kurangnya 8 jam selepas pengambilannya.
  • Wanita yang hamil atau mengadu sakit pada bahagian bawah abdomen selepas mengambil tablet levonorgestrel 0.75mg perlu diperiksa untuk menentukan sama ada berlaku kehamilan di luar rahim.
  • Levonorgestrel mungkin mengganggu kitaran haid. Jika kedatangan haid lewat seminggu daripada tarikh yang dijangka, kemungkinan berlakunya kehamilan perlu dipertimbangkan.

Arahan Khas Pengambilan Ubat

  • Dos pertama ubat levonogestrel ini perlu dimakan dalam tempoh masa 72 jam selepas hubungan seks dengan dos kedua dimakan 12 jam kemudiannya.
  • Keberkesanan levonogestrel menjadi lebih tinggi sekiranya dos pertama dimakan dalam masa terdekat selepas berlaku hubungan seks.
  • Jika muntah dalam masa dua jam selepas ubat diambil, dos berkenaan mesti di makan semula bagi memastikan keberkesanan ubat.
  • Ubat ini boleh diambil bersama makanan atau tanpa makanan.

Kesan Sampingan

Seperti ubat-ubatan lain yang mengandungi progestogen, tablet levonorgestrel 0.75mg boleh menyebabkan kesan sampingan seperti mual, muntah, pendarahan di antara waktu haid, ketegangan pada buah dada, sakit kepala, pening kepala dan kelesuan.

Interaksi Ubat

Keberkesanan levonorgestrel mungkin berkurangan jika diambil bersama dengan ubat-ubatan tertentu seperti ampicillin, rifampicin, chloramphenicol, neomycin, sulphonamide, tetracycline, barbiturate dan phenylbutazone.

Kawalan Dari Segi Undang-Undang

Di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952, tablet levonorgestrel 0.75mg disenaraikan sebagai racun Kumpulan C di mana pembeliannya perlu melalui pengamal perubatan dan ahli farmasi berdaftar.

Gambar

Tablet Levonorgestrel 0.75 Mg2Tablet Levonorgestrel 0.75 Mg3 Tablet Levonorgestrel 0.75 Mg4 Tablet Levonorgestrel 0.75 Mg5

Ini adalah contoh rupa bentuk tablet yang mengandungi levonorgestrel 0.75mg. Biasanya ubat levonogetrel dibekalkan dengan 2 tablet setiap pek pembungkusan bagi memudahkan pengambilannya. Rupa bentuk ubat mungkin berbeza mengikut jenama.

Rujukan

  1. Levonorgestrel tablets, 0.75 mg. Information for Pharmacists. Diambil pada 14 Mac 2014 daripada http://www.levo4u.com/pdf/pharmacist_info.pdf
  2. Official Portal National Pharmaceutical Control Bureau, Ministry of Health Malaysia. Information on Product Searches. http://portal.bpfk.gov.my/index.cfm?&menuid=47 (kemaskini terakhir pada 19 Mac 2014)
  3. Postinor-2. MIMS Malaysia. Diambil pada 6 Mac 2014 daripada http://www.mims.com/malaysia/drug/info/Postinor-2/
  4. First Schedule – Poisons List. Poisons Act 1952. Diambil pada 14 Mac 2014 daripada http://www.pharmacy.gov.my/v2/sites/default/files/document-upload/poisons-list_0.pdf dan http://www.pharmacy.gov.my/v2/sites/default/files/document-upload/garispanduan.pdf
Semakan Akhir : 17 Julai 2014
Penulis : Hazimah bt. Hashim
Akreditor : Noraini bt. Sa’ari

Artikel Berkaitan

Produk Pemutih/Pencerah Kulit

Produk pemutih/pencerah kulit yang dibenarkan dalam pasaran adalah merujuk kepada krim, losyen atau sediaan lain yang digunakan secara luaran sahaja. Ianya sama sekali tidak termasuk produk yang digunakan secara suntikan atau dimakan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,422,890

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia