A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Ortopedik
  8. /
  9. Systemic Lupus Erythematosus &...

Systemic Lupus Erythematosus & Wanita yang Mengandung

Systemic Lupus Erythematosus (SLE), atau lupus, ialah suatu penyakit autoimun

Systemic Lupus Erythematosus (SLE), atau lupus, ialah suatu penyakit autoimun di mana badan menghasilkan antibodi yang menyerang tisu badan sendiri, menyebabkan radang atau inflamasi di banyak bahagian badan seperti kulit, sendi dan organ dalaman seperti otak, paru-paru, jantung dan buah pinggang. 

SLE biasanya menyerang wanita dalam lingkungan usia reproduktif. Kemajuan dalam rawatan SLE telah meningkatkan tahap kesihatan para wanita ini. Oleh kerana ini, kehamilan di kalangan wanita yang menghidap SLE kini  menjadi perkara biasa dan secara amnya tidak bermasalah. Walau bagaimanapun, kehamilan di kalangan wanita yang menghidap SLE masih dikaitkan dengan kadar morbiditi dan kematian  ibu dan janin yang lebih tinggi. Untuk memastikan kehamilan anda berjalan dengan lancar, anda akan memerlukan pengawasan yang rapi oleh pakar dari pelbagai disiplin, termasuk pakar rheumatologi dan pakar obstetrik.

Bolehkah Saya Mengandung Jika Saya Menghidap SLE?

SLE secara lazimnya tidak mempengaruhi kesuburan anda, tetapi  kesuburan anda boleh terganggu sekiranya anda telah menerima ubatan tertentu atau jika anda juga menghidapi penyakit ‘antiphospholipid syndrome’. Dalam situasi begini, anda mungkin boleh menghadapi masalah kehamilan atau keguguran.

Wanita SLE tidak ditegah daripada mengandung, tetapi semua kehamilan perlulah dirancang dan dibincang bersama pakar rheumatologi dan pakar lain yang menjaga penyakit anda (contohnya pakar nefrologi atau kardiologi). Anda hendaklah berbincang dengan pakar anda mengenai keinginan anda untuk mengandung kerana doktor perlu memastikan bahawa anda berada dalam tahap kesihatan yang optimum untuk mengandung. Anda perlu memberitahu doktor anda sebaik sahaja anda disahkan mengandung. Para doktor akan membantu anda sepanjang waktu kehamilan.

Anda perlulah berada pada tahap kesihatan yang optima sebelum mengandung. Sekiranya anda merokok atau minum minuman keras, anda perlu berhenti sebelum mengandung. 

Anda juga dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor anda berkenaan tahap aktiviti penyakit anda untuk memastikan anda tidak mempunyai sebarang halangan untuk mengandung.  Terdapat segelintir wanita yang tidak digalakkan untuk mengandung kerana kehamilan itu boleh memudaratkan kesihatan mereka:

  • ‘pulmonary hypertension’
  • penyakit buah pinggang yang serius
  • penyakit paru-paru yang serius
  • tahap penyakit SLE yang sangat aktif dan serius
  • penyakit yang baru sahaja ‘flare’ atau meradang

Anda mestilah tidak mempunyai gejala penyakit SLE atau penyakit yang aktif untuk sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum hamil.

Adakah Penyakit Saya Akan Menjadi Teruk Semasa Saya Mengandung?

Secara amnya, jika penyakit anda dikawal dengan baik semasa anda mengandung dan anda tidak menghidapi penyakit buah pinggang yang serius atau ‘pulmonary hypertension’, anda tidak mungkin akan mengalami komplikasi semasa mengandung. Kehamilan anda akan dipantau dengan rapi oleh pakar rheumatologi dan obstetrik, dan anda akan diberikan temujanji yang lebih kerap. Oleh itu, anda perlu menghadiri setiap temujanji doktor. Anda berisiko mendapat ‘flare’ di mana penyakit SLE meradang selepas bersalin. Anda juga akan dipantau dengan rapi selepas bersalin. Anda tidak digalakkan untuk memberhentikan ubatan anda, melainkan anda dinasihatkan oleh doktor anda untuk berbuat demikian. Walau bagaimanapun, sekiranya penyakit anda meradang, gejalanya biasanya tidak serius dan mudah dirawat dengan penyelarasan ubatan anda.

Di samping rawatan doktor, anda digalakkan mengamalkan cara hidup yang sihat, seperti pemakanan yang sihat dan senaman yang sesuai, semasa mengandung untuk memastikan kehamilan ini berjalan dengan lancar dan sebaiknya.

Apakah Komplikasi Yang Boleh Berlaku Semasa Saya Mengandung?

Wanita yang mengandung mempunyai risiko ‘pre-eclampsia’, lahir bayi pra-matang, keguguran dan bayi yang tidak membesar dengan elok dalam kandungan. ‘Pre-eclampsia’ ialah keadaan tekanan darah yang tinggi yang dihidapi oleh wanita semasa mengandung. Risiko ‘pre-eclampsia’ dalam wanita yang menghidapi SLE ialah 1 dalam 5 kehamilan.

Terdapat dua kumpulan antibodi yang tertentu yang boleh membawa  mudarat kepada janin:  antibodi ‘antiphospholipid’ dan antibodi anti-Ro dan anti-La.

Segelintir wanita SLE menghasilkan antibodi ‘antiphospholipid’ ini. Antibodi ini menyebabkan darah wanita menjadi lebih ‘lekit’ daripada biasa dan boleh mengakibatkan wanita ini mendapat gejala darah beku (thrombosis), keguguran, ‘pre-eclampsia’ dan kerencatan tumbesaran bayi dalam kandungan. Anda akan diberikan ubat yang khusus seperti aspirin dan heparin untuk mengurangkan risiko mendapat komplikasi ini sekiranya antibodi-antibodi tersebut dikesan hadir dalam darah anda. 

Janin yang terdedah kepada antibodi anti-Ro dan anti-La mengalami masalah ‘neonatal lupus syndrome’ selepas kelahiran. Bayi boleh mendapat ruam kulit yang menyerupai ruam kulit SLE dalam orang dewasa, atau mengalami masalah kadar denyutan jantung yang perlahan.

Sepuluh peratus daripada bayi (1 dalam 10 bayi) yang terdedah kepada antibodi anti-Ro dan anti-La akan mengalami ruam tersebut selepas kelahiran (Gambar 1).  Anda tidak perlu khuatir kerana kesihatan bayi tidak terjejas walaupun ruam ini mungkin kelihatan menakutkan. Ruam ini akan hilang dalam tempoh 6 bulan dan tidak akan mendatangkan sebarang kesan yang berpanjangan kepada bayi. Bayi ini juga tidak dijangka mendapat SLE apabila dewasa kelak.

Gambar 1: ruam ‘neonatal lupus syndrome’

Denyutan nadi jantung yang perlahan adalah keadaan yang lebih merbahaya kerana nyawa bayi boleh terancam. Akan tetapi, masalah ini kurang kerap berlaku berbanding dengan ruam: risiko bayi mendapat masalah ini adalah dua peratus iaitu 1 dalam 50 bayi. Antibodi berpindah dari sistem darah ibu merentasi uri mulai minggu ke-18 kehamilan, dan melekat pada ‘sistem pendawaian’ jantung bayi mengakibatkan gangguan kepada cara jantung bekerja. Anda akan perlu menjalani ujian imbasan ultrasound jantung dan pantauan kadar denyutan nadi bayi dalam kandungan dengan lebih kerap sepanjang kehamilan.

Perlukah Saya Memberhentikan Ubatan Saya Semasa Mengandung?

Anda dinasihatkan untuk berbincang dengan pakar rheumatologi anda tentang ubatan yang anda makan kerana sesetengah ubatan boleh memberi kesan terhadap kesuburan dan perkembangan janin anda.

Berikut ialah senarai ubatan berikut perlu dielakkan semasa mengandung:

  • Ubat yang mengurangkan daya tahan badan: methotrexate, leflunomide, cyclophosphamide, mycophenolate mofetil, rituximab, belimumab
  • Ubat tahan sakit: celecoxib, etoricoxib, meloxicam, diclofenac, ibuprofen, indomethacin, naproxen
  • Ubat cair darah: warfarin, dabigatran
  • Ubat darah tinggi: perindopril, captopril, losartan, valsartan
  • Ubat anti-asid: omeprazole, pantoprazole, lansoprozole
  • Antibiotik: ciprofloxacin, moxifloxacin

Sekiranya anda mengambil ubatan yang disenaraikan di atas, anda akan diminta untuk memberhentikan ubatan ini untuk jangkamasa yang tertentu sebelum anda dibenarkan mengandung kerana ubatan ini boleh mengakibatkan kesan kepada pembentukan janin. Sekiranya anda hamil semasa mengambil ubatan ini, anda perlu memberitahu doktor anda secepat mungkin supaya ubatan ini boleh diberhentikan dan ditukarkan kepada ubatan yang lain. Jika perlu, janin akan dipantau dengan teliti oleh pakar obstetrik. Terdapat sesetengah ubat tahan sakit yang boleh dimakan pada peringkat awal kandungan, tetapi anda perlu berbincang dengan doktor anda terlebih dahulu.

Berikut ialah senarai ubat yang boleh diambil semasa mengandung:

  • Ubat yang mengurangkan daya tahan badan: azathioprine, ciclosporin, prednisolone
  • Ubat anti-malaria: hydroxychloroquine
  • Ubat tahan sakit: paracetamol, tramadol
  • Ubat cair darah: heparin
  • Ubat darah tinggi: nifedipine, methyldopa, labetolol
  • Ubat anti-asid: ranitidine
  • Ubat anti-platelet: aspirin
  • Kalsium and vitamin D
  • Asid folik

Ubatan seperti hydroxychloroquine and prednisolone, yang merupakan ubatan asas dalam rawatan SLE, adalah selamat dimakan semasa mengandung. Anda adigalakkan untuk teruskan pengambilan ubat ini semasa mengandung.

Adalah mustahak anda tidak memberhentikan pengambilan prednisolone semasa mengandung melainkan anda telah dinasihatkan oleh doktor anda. Sekiranya prednisolone diberhentikan, ianya boleh menyebabkan penyakit anda meradang. Doktor anda akan memberikan anda dos prednisolone serendah yang mungkin, dan seelok-eloknya dos prednisolone adalah kurang daripada 10 mg sehari.

Hydroxychloroquine telah terbukti berkesan dalam mengawal penyakit anda dan mengurangkan risiko bayi mendapat masalah denyutan nadi yang perlahan dalam wanita yang mempunyai antibodi  anti-Ro dan  anti-La.

Terdapat banyak antibiotik yang selamat diambil semasa hamil sekiranya diperlukan. Anda perlu berbincang dengan doktor anda.

Bolehkah Saya Bersalin Secara Biasa?

Secara am, anda akan dibenarkan bersalin secara biasa. Akan tetapi, pakar obstetrik mungkin akan menasihatkan anda untuk bersalin melalui pembedahan Caesarean, biasanya di atas sebab-sebab perubatan. Pakar obstetrik akan berbincang berkenaan rancangan bersalin dengan anda beberapa bulan sebelum tarikh anda dijangka bersalin.

Anda digalakkan untuk bersalin di hospital di mana anda telah menerima rawatan pra-natal anda. Sekiranya anda terpaksa bersalin di hospital lain, anda dinasihatkan untuk bersalin di hospital yang mempunyai unit neonatal yang mantap.  

Adakah Saya Patut Menjalankan Ujian Bayi Saya Untuk SLE?

Kurang daripada 10% anak yang dilahirkan oleh wanita yang menghidapi SLE akan mendapat SLE apabila dewasa kelak. Tidak terdapat ujian yang boleh meramalkan kebarangkalian anak anda akan mendapat SLE. Bayi anda telah mewarisi kacukan bahan genetik dari anda dan juga bapanya; terdapat kemungkinan bayi anda tidak menerima jumlah bahan genetik yang mencukupi untuk mendapat penyakit SLE. Terdapat banyak faktor luaran lain yang berinteraksi dengan faktor genetik dalam menentukan sama ada bayi anda akan menunjukkan manifestasi penyakit SLE.

Bolehkah Saya Menyusu Bayi Saya?

Ya. Anda tidak ditegah daripada memberikan susu badan kepada bayi anda. Semua ubat yang anda telah makan semasa hamil boleh diteruskan pengambilannya sewaktu anda menyusukan bayi anda.

Kesimpulan

Ramai wanita yang menghidap SLE boleh menjalani kehamilan dengan jayanya. Adalah sangat penting bagi setiap kehamilan dirancang supaya bayi yang dilahirkan adalah sihat. Pakar rheumatologi perlu membuat penilaian tahap aktiviti penyakit anda, ubatan anda, kehadiran antibodi ‘antiphospholipid’, anti-Ro dan anti-La, sebelum membenarkan anda meneruskan hasrat untuk mengandung.

Rujukan

Lateef A, Petri M. Management of pregnancy in systemic lupus erythematosus. Nat Rev Rheumatol. 2012 Dec;8(12):710-8. doi: 10.1038/nrrheum.2012.133. Epub 2012 Aug 21.

Semakan Terahir : 16 Oktober 2017
Penulis/Penterjemah : Dr. Ding Hui Jen
Akreditor : Dr. Mollyza bt. Mohd Zain

Artikel Berkaitan

Rheumatoid Arthritis

Rheumatoid arthritis ialah satu penyakit autoimmun yang melibatkan sistem muskuloskeletal

Arthritis

Pengenalan Arthritis adalah suatu jenis penyakit yang mendatangkan kesakitan, kemerahan,

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,013,967

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia