A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Suara Serak Anakku

Kanak-kanak itu dikatakan mempunyai masalah suara sekiranya kelangsingan/ kekuatan suara/ kualiti atau sengau adalah berbeza dengan kanak-kanak sebaya dan sama jantina dengannya.

Pengenalan

Kebanyakan ibu bapa tidak mengambil serius terhadap masalah suara serak/garau yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Walaupun suara serak/garau tidak mengancam nyawa, tetapi ini memberi kesan kepada  keyakinan  diri. Keyakinan diri akan menurun kerana menjadi bahan ejekan. Mereka mungkin berasa malu kerana mempunyai suara yang berbeza dari rakan-rakan di sekolah.

Terdapat empat hingga enam orang daripada setiap 100 kanak-kanak di dunia mempunyai masalah suara serak/garau. Masalah suara serak/ garau sering berlaku pada kanak-kanak lelaki yang berumur 7-12 tahun.

Apa itu Suara?

SUARA adalah bunyi yang dihasilkan oleh getaran peti suara di dalam laring. Peti suara akan terbuka untuk membenarkan udara keluar masuk ke dalam paru-paru. Peti suara akan tertutup untuk menghasilkan getaran sewaktu bercakap. Anda akan merasa getaran bunyi jika anda meletakkan tapak tangan di leher anda sambil menyebut ‘aaaaaah’. Bunyi ini akan diubahsuai oleh pergerakan bibir, lidah, rahang dan lelangit untuk menghasilkan pertuturan.

Suara kita perlu ada:

  1. Kelangsingan (Pitch) – Kelangsingan suara perlu rendah atau tinggi dalam pertuturan

  2. Kekuatan (Volume) – Suara perlu kuat atau perlahan bagi menunjukkan ketegasan dan emosi

  3. Kualiti – Bunyi suara itu didengar samada jelas, serak, garau, kasar, tegang atau suara yang berangin

  4. Sengau – Suara yang kedengaran sengau (hypernasal) atau suara yang kedengaran tersumbat (hyponasal)

Apa itu Masalah Suara?

Kanak-kanak itu dikatakan mempunyai masalah suara sekiranya kelangsingan/ kekuatan suara/ kualiti atau sengau adalah berbeza dengan kanak-kanak sebaya dan sama jantina dengannya. Kualiti suara yang teruk menyebabkan kanak-kanak ini sukar untuk berkomunikasi dengan berkesan dan kurang keyakinan diri.

Aktiviti- Aktiviti yang menyebabkan Masalah Suara Serak / Garau?

Kanak-kanak berpotensi tinggi mengalami masalah suara serak / garau jika terdapat penyalahgunaan suara (vocal abuse) seperti:

  • Bercakap atau menyanyi secara berlebihan – berlatih koir, konsert, aktiviti permainan di sekolah, bersorak dengan keadaan sekeliling yang bising, cuba menguatkan suara bila sakit tekak/ penat

  • Kerap menjerit/memekik/ bersorak

  • Suka meniru suara-suara kartun secara berlebihan

  • Menangis dan disertakan mengamuk yang berpanjangan

  • Ketawa berlebih-lebihan ketika bermain

  • Kerap berdehem

  • Kerap berbisik

  • Kurang minum air

Aktiviti-aktiviti di atas boleh menyebabkan pembentukan nodul/ sista/ benjolan cecair (polip) pada pita suara yang mengubah ketebalan asal pita suara. Perubahan ini menyebabkan kualiti suara berubah.

Selain itu, kanak-kanak yang sering terkena jangkitan kuman/ radang pada laring/ sakit tekak juga terdedah dengan masalah suara  serak/ garau.

Kenapa kanak-kanak lain tiada masalah suara serak/garau?

Semua kanak-kanak menyukai aktiviti seperti menyanyi, bersorak, menjerit dan ketawa. Cuma bezanya aktiviti-aktiviti ini tidak dilakukan setiap masa, setiap hari atau secara berlebihan.

Apa yang perlu anda lakukan?

Selalunya, masalah suara serak/garau ini adalah tidak berbahaya dan boleh pulih dengan sendirinya atau dengan bantuan profesional lain.

Untuk memastikan masalah suara serak/ garau pada anak anda tidak berlarutan, galakkan mereka untuk merehatkan suara dengan mengurangkan bercakap sekiranya tidak perlu, tidak menjerit atau bercakap dengan kuat.

Perlu kerap minum air terutamanya sewaktu diserang sakit tekak/ jangkitan kuman pada laring.

Bawalah anak anda berjumpa pakar Otorinolaringologi (Hidung, Telinga dan Tekak) dan Terapis Pertuturan-Bahasa untuk mendapatkan rawatan yang bersesuaian jika masalah suara serak/garau berpanjangan.

Rujukan

  1. Martins, R.H.G, Ribeiro, C.B.H, de Mello, B.M.Z.D & Branco, A. 2012. Journal of Voice. Vol. 26 No.5. pg 674.e17-674.e20

  2. Boone, D.R. & Mc Farlane, S.C. (2000).The voice & Voice Therapy (6th Edition). Boston : Allyn & Bacon

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Rosmah Suriani bt Mohd Raini
Akreditor : Zaidi bin Ya’acob
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

 

Artikel Berkaitan

Masalah Tingkah Laku Ketika Makan

Kemahiran makan yang bermasalah selalunya dikaitkan dengan masalah komponen perkembangan yang lain seperti masalah motor halus, masalah tingkah laku serta masalah emosi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,385,949

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia