A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Sokongan Keluarga Terhadap Anak...

Sokongan Keluarga Terhadap Anak ADHD

Pengenalan

Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif adalah satu kecelaruan tingkah laku yang biasa terjadi di kalangan kanak-kanak. Terdapat tiga jenis keadaan iaitu kurang tumpuan, hiperaktif dan menurut kata hati. Menurut Barkley (1990), ADHD merupakan salah satu kecelaruan pemikiran yang paling umum di kalangan kanak-kanak. Manakala menurut Lahey (1997), ADHD adalah masalah kanak-kanak yang mempunyai kesukaran untuk menumpukan perhatian kerana kebolehannya yang terhad untuk memberi tumpuan dan sering menunjukkan tingkah laku tidak sabar. Gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan berlaku dengan begitu ketara pada sesetengah kanak-kanak terutamanya pada peringkat prasekolah dan juga murid-murid sekolah rendah. Gejala ini mengakibatkan kanak-kanak yang mengalaminya sukar mengawal tingkah laku mereka dalam memberi tumpuan yang sepenuhnya. 

Simptom Dan Punca

Kanak-kanak mempunyai daya tumpuan yang singkat terhadap sesuatu perkara. Selain itu, kanak-kanak juga sering melakukan kesalahan yang sama ketika melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Dalam masa yang sama juga kanak-kanak ini gagal mematuhi arahan dan gagal menyiapkan tugasan atau kerja sekolah serta kerap mengalami masalah dalam mengatur tugas dan aktiviti-aktiviti  harian. Simptom lain yang dikaitkan dengan kurang tumpuan ialah kanak-kanak ini tidak akan memberikan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya. Selain itu, kanak-kanak juga mempunyai sifat mengikut kata hati dengan tidak berfikir terlebih dahulu seperti menjawab soalan yang dikemukan oleh guru di dalam kelas dengan terburu-buru walaupun soalan yang diajukan belum habis disoal oleh guru. Bagi kanak-kanak hiperaktif ini juga, mereka akan berkelakuan seperti menggoyangkan badan iaitu kaki dan tangannya serta resah di tempat duduknya. Kanak-kanak ini suka berlari-lari, memanjat perabot di kelas atau rumah dan sukar untuk mereka duduk dalam keaadaan yang tenang.

Terdapat pelbagai kajian yang dilakukan bagi mengenal pasti punca berlakunya ADHD ini. Namun kajian yang dilakukan juga masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar berlakunya ADHD di kalangan kanak-kanak yang mengalami simptom-simptom ADHD tersebut. Menerusi kajian yang dilakukan oleh Friend (2006) menunjukkan bahawa sifat atau ciri ibu bapa, adik-beradik dan ahli keluarga yang rapat juga boleh mempengaruhi kecacatan. Individu yang mengalami ADHD  selalunya dipengaruhi oleh  faktor keturunan. Ini kerana kanak-kanak yang mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai ADHD adalah tiga kali ganda berpotensi menjadi ADHD berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai sejarah ADHD. Pendapat ini dibuktikan melalui pendapat Baekley (1998), yang mengatakan bahawa 80 peratus kanak-kanak ADHD adalah berpunca daripada keturunan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa ciri kanak-kanak ADHD iaitu gagal memberi tumpuan atau mudah hilang tumpuan terhadap sesuatu perkara dan tingkahlaku yang agresif serta melampau.

Sokongan Terhadap Anak ADHD

Dalam menangani masalah kanak-kanak ADHD, terdapat pelbagai pihak perlu memberi sokongan dan memainkan peranan masing-masing agar kanak-kanak berkeperluan khas ini boleh memajukan diri seiring dengan individu yang lain. Di antara pihak-pihak yang terlibat ialah keluarga, sekolah, masyarakat sekeliling, agensi kerajaan (GO) dan badan bukan kerajaan (NGO).

            Sokongan keluarga yang terdiri daripada ibu, bapa, abang, kakak dan adik merupakan individu yang sangat penting kepada kanak-kanak ADHD ini. Keluarga memainkan peranan dengan membawa kanak kanak ADHD melibatkan aktiviti harian seperti belajar, melukis, menyanyi, menari dan sebagainya. Melalui aktiviti-aktiviti harian ini, mereka dapat menerima tekanan sekeliling terutamanya daripada rakan-rakan mereka yang normal. Selain itu, dalam usaha mengurangkan tekanan ini, ibu bapa seharusnya menerangkan kepada anak mereka apa itu ADHD dan mengapa mereka menghidapinya. Ibu bapa juga perlu mengelakkan perbuatan yang boleh menyinggung perasaan kanak-kanak ini seperti menengking dan mengherdik mereka. Sekiranya tindakan ini dilakukan oleh ibu bapa, ia akan menyebabkan kanak-kanak itu berasa rendah diri, takut dan menjarakkan hubungan di antara ibu bapa mereka. Menjaga anak-anak ADHD sememangnya mencabar dan menguji kesabaran. Walau bagaimanapun ibu bapa haruslah sedar dengan tanggungjawab mereka yang sentiasa perlu menyokong dan berada di sisi anak-anak ADHD ini. Dalam pada itu, ibu bapa juga perlu meyakinkan anak-anak ADHD bahawa masalah ini turut dihadapi oleh pelbagai lapisan masyarakat. Sehubungan dengan itu, ibu bapa dan anak perlu berganding bahu untuk menghadapi masalah ini dan perlu saling menyokong antara satu sama lain.

            Kanak-kanak ADHD bukan sahaja perlu diberi bimbingan di rumah tetapi juga di sekolah. Ibu bapa perlu memaklumkan kepada pihak sekolah supaya pihak sekolah boleh mengambil langkah sewajarnya bagi sama-sama membantu anak-anak ADHD ini. Guru perlu memainkan peranan dalam mendidik kanak-kanak ADHD kerana didikan ibu bapa di rumah ternyata tidak mencukupi memandangkan sebahagian besar masa kanak-kanak kini dihabiskan di sekolah. Guru perlu memberi sokongan motivasi seperti memberi pujian dan ganjaran kepada kanak-kanak ADHD yang membuat sesuatu tugasan dengan baik. Melalui cara ini, ia dapat membantu membina keyakinan diri kanak-kanak ini. Berkomunikasi dengan kanak-kanak dan pelajar ADHD dan bertanya kepada mereka aktiviti kegemaran mereka juga boleh memberi motivasi kepada kanak-kanak yang mengalami gangguan ini. Selain itu, guru juga hendaklah memberi sokongan sosial dan galakan terutama apabila mereka menghadapi masalah supaya kanak-kanak ini dapat meningkatkan penghargaan kendiri dan membantu pelajar membentuk kumpulan belajar. Hal ini dapat menggalakkan pelajar berkongsi idea dan tanggungjawab di samping membantu hubungan interpersonal dengan pelajar lain. Pembelajaran secara campuran umur juga dapat membantu pelajar dalam hubungan sosial mereka.

           Ibu bapa dan keluarga juga perlu memberi sokongan kepada kanak-kanak ADHD ini dari segi pergaulan dengan rakan sebaya. Kanak-kanak ADHD mungkin sukar untuk belajar dengan bimbingan guru ataupun daripada ibu bapa. Mereka mungkin lebih mudah memahami dan dapat mengikuti pelajaran sekiranya rakan sebaya membantunya. Ramai kanak-kanak mudah faham dan seronok apabila rakan sebaya membantu kerana mereka pasti lebih bermotivasi dan menunjukkan minat. Mereka mungkin tidak menunjukkan sifat malu, takut ataupun khuatir sekiranya mereka bersama rakan sebaya. Tunjuk ajar rakan sebaya adalah satu usaha yang dapat membina keyakinan dalam diri kanak-kanak. Adalah baik sekiranya kanak-kanak ADHD ini mempunyai sahabat yang aktif supaya mereka boleh bersosial dengan mudah. Namun begitu, tingkah laku mereka perlu dipantau supaya tidak terpesongkerana ada kalanya rakan sebaya boleh membawa mereka ke jalan yang salah terutama kanak-kanak yang tidak terlalu cergas.

Peranan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Di Dalam Membantu Keluarga Yang Mempunyai Anak ADHD

Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) di hospital hospital kerajaan berperanan sebagai Liaison Officer (Pegawai Penghubung) di dalam membantu keluarga dan pesakit termasuklah keluarga yang mempunyai anak- anak ADHD ini. Di antara peranan utama PKSP di dalam membantu keluarga ini ialah memberi khidmat sokongan terapi dan memberi khidmat bantuan praktik.

Bantuan Terapi Sokongan

Bantuan terapi sokongan merangkumi tiga intervensi iaitu khidmat perundingan, sokongan emosi dan intervensi krisis. Setiap kes berkemungkinan memerlukan satu atau lebih bantuan bergantung kepada keperluan kes. Tujuan bantuan terapi sokongan adalah:

  1. Membantu keluarga menangani tekanan yang disebabkan oleh keadaan yang dihidapi oleh kanak-kanak ADHD.
  2. Membantu mengurangkan kebimbangan keluarga tentang rawatan yang mungkin akan dijalani dan kesan-kesan yang mungkin timbul dari rawatan berkaitan kepada kanak-kanak ADHD sekiranya perlu.
  3. Menghubungkan keluarga kepada organisasi atau kumpulan yang dapat memberi sokongan dari segi emosi.
  4. Membantu keluarga memahami kepentingan rawatan bagi mengurangkan insiden ketidakhadiran rawatan.
  5. Membantu keluarga memahami tentang penyakit yang dihidapi, pilihan rawatan dan implikasinya.
  6. Memberi peluang kepada keluarga meluahkan masalah-masalah yang dihadapi setelah anak- anak ADHD ini disahkan menghidapinya.

Bantuan Praktik

Intervensi bantuan praktik melibatkan aspek bantuan kewangan (pembelian peralatan perubatan, pembelian ubat-ubatan, membiayai kos rawatan atau bantuan am), penempatan institusi dan mengesan waris. Bantuan praktik ini diberikan kepada pesakit akut dan kronik.

Pengurusan kes bantuan praktik ini memerlukan jaringan kerjasama dengan pelbagai disiplin profesion perubatan, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta sumber komuniti setempat. Antara intervensi yang dijalankan adalah:

  1. Membantu keluarga kanak-kanak ADHD dalam urusan pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) sekiranya kanak-kanak ini berkelayakan.
  2. Membuat penilaian psikososial keluarga/ pesakit bagi membantu perancangan rawatan yang komprehensif.
  3. Menyokong permohonan pengecualian/ pengurangan bayaran caj rawatan terutamanya bil hospital bagi yang tidak berkemampuan.
  4. Mendapatkan bantuan peralatan perubatan sekiranya kanak-kanak ADHD ini disahkan keperluannya.
  5. Merujuk kepada agensi pemberi bantuan sekiranya keluarga dan kanak-kanak ADHD ini memerlukan dan berkelayakan.

Rujukan

  1. http://pelautsenja.blogspot.my/2013/11/kanak-kanak-gangguan-hiperaktif-dan.html
  2. http://documents.tips/education/kecelaruan-hiperaktif.html
  3. http://oze.my/memoplusgold/masalah-adhd-sindrom-kurang-daya-tumpuan-dan-hiperaktif/
  4. http://childneed6093blogspotcom-sacemo.blogspot.my/2010/03/peranan-komuniti-dalam-memupuk.html
  5. http://www.parenting.co.id/usia-sekolah/kenali+gejala+adhd
Semakan Akhir : 31 Januari 2017
Penulis : Puan Amizah Binti Abdullah Hashim
Akreditor : En. Abd Halim Bin Jamil

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,475,321

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia