Home > Tabs MS > Pemberitahuan & Amaran > Soalan Lazim – Penyakit Polio

Soalan Lazim – Penyakit Polio

Soalan 1: Apakah Penyakit Polio?

Penyakit polio adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus polio. Virus ini menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal. Sekiranya kegagalan pernafasan berlaku, ia boleh membawa maut kepada manusia.

Soalan 2: Apakah Status Penyakit Polio di Malaysia?

Kes polio terakhir di Malaysia berlaku pada tahun 1992, dan sejak Oktober 2000, Malaysia bersama-sama dengan negara-negara Rantau Pasifik Barat (Western Pacific Region), telah diisytiharkan bebas daripada penyakit polio. Walau bagaimanapun, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit tersebut, satu (1) kes telah disahkan dijangkiti virus polio pada 8 Disember 2019.

Soalan 3: Adakah Negara Kita Berisiko untuk Mendapat Jangkitan Virus Polio?

Ya. Negara kita berisiko untuk mendapat jangkitan virus polio sekiranya terdapat lokaliti dengan liputan imunisasi polio kurang daripada 95% serta tidak mengutamakan kebersihan diri dan persekitaran.

Soalan 4: Apakah Risiko Jangkitan Virus Polio kepada Pelawat yang Mengunjungi Negeri Sabah?

Berdasarkan kepada laporan The International Health Regulations Emergency Committee Regarding the International Spread of Polio Virus, World Health Organisation (WHO), kewujudan vaccine-derived poliovirus (VDPV) boleh memberi risiko jangkitan kepada pelawat. Justeru, pelawat yang bercadang mengunjungi Negeri Sabah dinasihatkan untuk memastikan telah mendapat imunisasi polio yang lengkap serta mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran.

Soalan 5: Siapakah yang Berisiko Mendapat Penyakit Polio?

Seseorang individu adalah berisiko dijangkiti virus polio jika;

  1. Tidak membasuh tangan dengan sempurna selepas membuang air besar atau selepas menukar lampin bayi.
  2. Tidak menggunakan bekalan air bersih.
  3. Tidak menggunakan tandas dengan sempurna.
  4. Mempunyai sistem imun yang rendah seperti pesakit yang sedang menjalani rawatan kemoterapi dan penerima organ.
  5. Sejarah terkini perjalanan ke kawasan yang berlaku wabak polio.
  6. Mengendalikan spesimen makmal virus polio.

Soalan 6: Bagaimanakah Cara Virus Polio Merebak?

Virus polio menjangkiti manusia secara tinja- mulut (faecal- oral) Virus ini memasuki tubuh melalui beberapa cara seperti:

  1. Memakan makanan dan/ atau minuman tercemar.
  2. Tangan tercemar dengan najis dan kemudian menyentuh mulut.
  3. Apabila objek seperti mainan yang tercemar dimasukkan ke dalam mulut.

Apabila virus ini masuk ke dalam badan, ia akan membiak dalam usus. Ia kemudiannya dikumuhkan melalui najis dan menjangkiti orang lain yang tercemar dengan najis tersebut. Individu yang dijangkiti boleh menyebarkan virus kepada orang lain dalam tempoh satu (1) hingga dua (2) minggu selepas gejala muncul.

Soalan 7: Apakah Tanda dan Gejala Penyakit Polio?

Kebanyakan orang yang dijangkiti virus polio tidak menunjukkan sebarang gejala. Hanya 1 daripada 4 orang dengan jangkitan virus polio akan mengalami gejala demam selesema. Gejala ini biasanya dialami selama dua (2) hingga lima (5) hari dan kemudian sembuh dengan sendiri tanpa sebarang komplikasi. Walau bagaimanapun, sebilangan kecil kes akan mengalami gejala lebih serius akibat jangkitan pada otak dan saraf tunjang seperti:

  1. Kebas
  2. Meningitis iaitu keradangan pada selaput otak
  3. Lumpuh
  4. Kematian
  5. Post-Polio Syndrome

Soalan 8: Apakah yang dimaksudkan dengan Vaccine-Derived Poliovirus (VDPV)?

Vaksin polio yang diberi secara oral (OPV) mengandungi virus polio yang dilemahkan (attenuated). Apabila seseorang kanak-kanak diimunisasi dengan OPV, virus yang lemah ini akan berada di dalam usus dan mengaktifkan tindak balas imun dalam badan dengan meningkatkan antibodi. Pada masa yang sama, virus ini juga turut dikumuhkan.

Dalam kalangan populasi dengan liputan imunisasi polio < 95%, virus yang dikumuhkan ini akan terus berada dalam persekitaran dalam jangka waktu yang lama. Virus ini boleh berubah secara genetik menjadi virus polio yang boleh melumpuhkan dan dikenali sebagai vaccine-derived poliovirus (VDPV).

Terdapat tiga (3) jenis VDPV iaitu VDPV Jenis 1 (VDPV1), VDPV Jenis 2 (VDPV2) dan VDPV Jenis 3 (VDPV3).

Soalan 9: Apakah Kesan Penggunaan OPV?

Sejak tahun 2000, lebih daripada 10 bilion dos OPV telah diberikan kepada hampir 3 bilion kanak-kanak di seluruh dunia. Kesannya, lebih daripada 13 juta kes polio telah dicegah, dan lebih daripada 99% insiden penyakit polio telah dapat dikurangkan. Walau bagaimanapun, pemberian OPV ini telah menyebabkan kurang daripada 800 kes VDPV dalam tempoh 15 tahun (0.08 kes / 10 juta dos OPV).

Risiko VDPV dengan penggunaan OPV adalah kecil berbanding dengan manfaat kesihatan awam yang besar. Setiap tahun, ratusan ribu kes akibat WPV telah dicegah melalui pemberian OPV ini. Lebih dari 10 juta kes telah dicegah sejak penggunaan OPV berskala besar mulai 20 tahun yang lalu.

Soalan 10: Bagaimanakah Cara Mencegah Penyakit Polio?

Cara terbaik untuk melindungi diri daripada penyakit polio adalah dengan mendapatkan vaksin polio. Di Malaysia, vaksin polio diberi sebanyak empat (4) dos secara kombinasi bersama vaksin difteria, pertussis, tetanus dan Haemophilus influenzae type b (Hib) kepada kanak-kanak yang berumur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Vaksin ini diberi secara percuma untuk warganegara di semua fasiliti kesihatan kerajaan dan caj minima dikenakan bagi bukan warganegara.
Di samping itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri dan persekitaran.

Soalan 11: Apakah Jenis Vaksin Polio yang digunakan di Malaysia Sejak Program Imunisasi Kebangsaan (National Immunization Programme) untuk Mencegah Penyakit Polio diperkenalkan?

Program Imunisasi Kebangsaan (National Immunization Programme – NIP) untuk mencegah penyakit polio dimulakan dengan pemberian OPV sejak tahun 1972. NIP dimantapkan lagi dengan pertukaran cara pemberian vaksin daripada OPV kepada secara suntikan (Inactivated Poliovirus Vaccine – IPV) pada tahun 2008. Langkah ini diambil bagi mencegah kejadian vaccine-derived poliovirus (VDPV) dan vaccine-associated polio paralysis (VAPP).

Soalan 12: Adakah Vaksin Polio (IPV) Selamat untuk diberi kepada Kanak-Kanak dan Apakah Kesan Sampingannya?

Ya. Vaksin polio adalah selamat dan berkesan untuk diberi kepada kanak-kanak bagi mencegah penyakit polio.

Kebanyakan kanak-kanak yang menerima vaksin polio IPV tidak mengalami kesan sampingan. Kesan sampingan yang lazim adalah seperti kemerahan sementara dan kesakitan di tempat suntikan yang ringan dan sembuh tanpa rawatan.

Soalan 13: Bagaimanakah Pemantauan Penyakit Polio dijalankan di Malaysia?

Penyakit polio wajib dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dalam tempoh 24 jam. Pemantauan gejala penyakit yang menyerupai gejala penyakit polio iaitu Acute Flaccid Paralysis (AFP) dijalankan ke atas kanak-kanak berumur kurang daripada 15 tahun di fasiliti kesihatan di Malaysia. Sebanyak dua (2) sampel najis diambil dari kanak-kanak yang bergejala dalam tempoh 14 hari paralisis dan diuji di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). IMR adalah Makmal Rujukan Polio Kebangsaan bagi menjalankan ujian pengesanan virus polio.

KKM juga menjalankan pemantauan kehadiran virus polio dalam persekitaran melalui pensampelan air kumbahan di beberapa loji rawatan air kumbahan yang terpilih sejak tahun 2012. Sehingga kini, tiada virus polio liar (WPV) atau VDPV di kesan.

Soalan 14: Apakah Pandangan Islam Terhadap Imunisasi Polio?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-24 yang bersidang pada 5-6 Jun 1989 telah membincangkan Pandangan Islam Terhadap Imunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Difteria, Tetanus dan Polio dan memutuskan seperti berikut:

  1. Program imunisasi campak, tibi, batuk kokol, difteria, tetanus dan polio adalah harus dari segi syarak kerana berdasarkan kaedah درء المفاسد مقدم على جلب المصالح ” menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan” dalam perundangan Islam.
  2. Vaksin-vaksin yang digunakan dalam imunisasi bagi penyakit-penyakit tersebut hendaklah diambil daripada bahan yang suci. Sekiranya vaksin daripada bahan suci tidak diperolehi atau sukar diperolehi, maka penggunaan vaksin yang sedia ada adalah diharuskan.

Soalan 15: Apakah nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)?

  1. Memastikan anak-anak mendapat vaksinasi polio yang lengkap mengikut jadual yang telah ditetapkan.
  2. Membawa kanak-kanak yang cicir imunisasi ke fasiliti kesihatan yang terdekat.
  3. Mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang terdekat sekiranya mengalami gejala AFP.
  4. Sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer), terutamanya selepas keluar dari tandas dan selepas menukar lampin serta menjaga kebersihan persekitaran.
  5. Menyediakan makanan secara bersih dan selamat termasuk membasuh ulam-ulaman atau sayur-sayuran yang dimakan mentah dengan air bersih, minum air yang telah dimasak serta memilih premis makanan yang bersih.
  6. Mendapatkan maklumat terkini berkaitan penyakit polio dari laman sesawang https://www.infosihat.gov.my

Disediakan oleh:

Kementerian Kesihatan Malaysia
9 Disember 2019