A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Sindrom Gigi Retak

Sindrom Gigi Retak boleh ditafsirkan sebagai berlakunya ketidakselesaan yang berterusan, sensitif atau sakit pada gigi yang disebabkan oleh fraktur pada gigi  atau keretakan pada gigi.

Adakah anda mempunyai gigi yang retak?

Terkadang anda akan merasa sakit yang menyucuk apabila menggigit atau mengunyah. Kesakitan itu akan hilang dengan cepat dan mungkin anda akan mengabaikannya. Anda akan mengelak untuk makan sesetengah makanan atau akan mengunyah menggunakan bahagian mulut yang tertentu sahaja. Adakah ini kerap terjadi pada anda? Jika ya, maka anda mungkin menghadapi ”Sindrom Gigi Retak”.

Apakah yang dimaksudkan Sindrom Gigi Retak?

Sindrom Gigi Retak boleh ditafsirkan sebagai berlakunya ketidakselesaan yang berterusan, sensitif atau sakit pada gigi yang disebabkan oleh fraktur pada gigi  atau keretakan pada gigi.

Sindrom Gigi Retak ini biasanya berlaku pada gigi geraham terutamanya pada geraham besar kerana gigi ini banyak menyerap tekanan yang dihasilkan semasa mengunyah.

Apa yang menyebabkan Gigi Retak?

Gigi retak disebabkan oleh pelbagai faktor:-

  • Mengunyah makanan yang keras seperti ais, kekacang dan gula-gula yang agak keras.
  • Kemalangan yang melibatkan bahagian mulut.
  • Mengisar dan mengetap gigi.
  • Tekanan pengunyahan yang tidak sekata.
  • Tekanan pada sesuatu gigi.
  • Kehilangan sebahagian struktur gigi disebabkan kehausan pada gigi, tampalan yang besar atau lain-lain tampalan.
  • Permukaan / enamel gigi terdedah kepada suhu yang melampau,
  • Gigi yang rapuh atau lemah disebabkan gigi tersebut telah melalui rawatan kanal akar.

Mereka yang mempunyai satu gigi yang retak berkemungkinan mempunyai masalah yang sama di beberapa batang gigi yang lain pada masa yang sama atau pada masa hadapan.

Bagaimana anda mengetahui jika terdapat gigi yang retak?

Adalah sukar untuk mengetahui bahawa gigi itu retak. Kita tidak mungkin dapat menentukan gigi mana yang sakit atau dari mana sakit itu datang sama ada dari gigi bawah atau gigi atas. Retak pada gigi boleh kelihatan sebagai garis halus yang melintang sepanjang gigi. Selalunya retak pada gigi tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan tidak kelihatan di dalam x-ray.

Kadangkala gigi yang retak mungkin berasa sakit semasa menggigit atau mengunyah.  Kesakitan atau ngilu yang dialami boleh jadi sakit sedikit atau sakit yang teruk. Ia akan menjadi sakit hanya apabila memakan makanan tertentu atau menggigit dengan cara tertentu. Anda tidak akan merasa sakit yang teruk seperti kesakitan yang dialami jika gigi berlubang atau bernanah. Gigi terbabit akan lebih sensitif kepada suhu sejuk dan panas.

Pada kebiasaannya, gigi retak disebabkan oleh tekanan semasa pengunyahan yang  menyebabkan rekahan pada gigi itu terbuka. Apabila anda berhenti mengunyah, tekanan dialihkan dan kesakitan yang tajam akan terhasil disebabkan rekahan itu tertutup kembali dengan pantas.

Jika keretakan pada gigi menjadi bertambah besar, sebahagian kecil gigi akan pecah. Jangkitan juga mungkin akan berlaku pada gusi gigi yang pecah tersebut.  Satu bonjolan akan dapat dilihat di sekeliling gusi pada gigi tersebut.  Ini yang dinamakan sebagai sinus. Kebanyakan mereka yang mengalami sindrom gigi retak ini mengalami tanda-tanda gigi retak selama beberapa bulan. Adalah sukar untuk menentukan samada terdapat gigi retak kerana sakit yang dialami sukar untuk dijangkakan.

Diagnosis

Doktor gigi anda akan memeriksa mulut dan gigi anda dengan memberi tumpuan pada gigi atau kawasan yang mengalami kesakitan. Sejenis alat yang dikenali sebagai ‘explorer’  akan digunakan intuk memeriksa keretakan pada gigi. Gusi sekeliling gigi tersebut juga akan diperiksa. X-ray juga mungkin akan diambil tetapi x-ray tidak dapat menunjukkan kawasan yang retak dengan jelas.

Sejenis peralatan khas mungkin akan digunakan oleh doktor gigi untuk memeriksa gigi tersebut.  Terdapat berbagai jenis alat, satu daripadanya berbentuk seperti berus gigi tanpa berusnya.  Alat ini akan melekap pada satu bahagian gigi yang hendak diperiksa apabila digigit. Jika anda merasa sakit, mungkin terdapat keretakan pada bahagian yang diperiksa itu. Doktor gigi anda mungkin akan memancarkan cahaya pada gigi anda. Sejenis pewarna akan digunakan. Jika terdapat tampalan atau korona pada gigi tersebut, doktor gigi anda mungkin akan menanggalkannya untuk melihat dengan lebih jelas.

Jangkamasa

Tempoh gejala/ simptom gigi retak ini berlaku bergantung kepada berapa cepat keretakan ini dapat dikesan.Walaupun keretakan pada gigi telah dapat dikenalpasti, rawatan yang diberi tidak dapat menghilangkan keseluruhan simptomnya.

Pencegahan

Jika anda sering mengisar gigi semasa tidur atau mengetap gigi pada masa yang lain, beritahu doktor gigi anda.  Mengisar gigi semasa tidur akan meningkatkan risiko mengalami sindrom gigi retak.

Doktor gigi anda boleh membuat ‘night guard’ – satu aplians plastik yang dapat menghalang anda dari mengisar gigi semasa tidur. Ini mungkin boleh menghilangkan kesakitan akibat mengisar gigi semasa tidur Sesetengah orang akan merasa gigi menjadi kurang sensitif apabila proses mengisar gigi itu dihentikan. ‘Night guard’ dipakai pada waktu malam semasa tidur.Walaubagaimanapun ianya boleh dipakai pada lain-lain waktu jika anda mengisar gigi dan mengetap gigi di luar waktu tidur.

Anda juga digalakkan untuk menghentikan tabiat seperti mengunyah ais atau menggigit pen kerana ianya boleh menyumbang kepada terhasilnya retakan yang baru. Ia juga boleh menyebabkan retakan yang lama menjadi lebih besar dan teruk.

Rawatan

Rawatan bagi sindrom gigi retak tidak selalunya dapat menghilangkan simptom.  Rawatan yang diberikan bergantung kepada tempat, arah dan keluasan gigi yang retak tersebut. Rawatan yang diberikan adalah melekatkan semula gigi yang retak tersebut atau rawatan salur akar. Jika gigi tersebut retak teruk, cabutan gigi boleh dilakukan.  Doktor gigi anda akan menentukan rawatan yang terbaik untuk anda.

Retak yang halus adalah biasa dan selalunya tidak mendatangkan masalah. Pemeriksaan gigi berkala adalah penting untuk menentukan dan memberikan rawatan awal kepada masalah tersebut. Retakan pada gigi boleh membesar dengan perlahan. Jika ianya dapat dikenalpasti dan dirawat dengan sewajarnya, pembesaran itu dapat dihentikan atau sekurang-kurangnya dapat dilambatkan dan dengan itu dapat meningkatkan jangka hayat gigi tersebut.

Kadangkala, retak hanya melibatkan bahagian luar pada gigi yang dinamakan kuspa iaitu bahagian tertinggi pada sesuatu gigi.Gigi tersebut boleh dilekat atau distabilkan dengan menggunakan rawatan korona atau onlay untuk mengelakkan kerosakan yang lebih teruk

Jika retak itu melibatkan pulpa (tisu lembut yang terletak di tengah-tengah gigi di mana saraf dan salur darah berada), rawatan yang lebih rumit seperti rawatan salur akar perlu dilakukan sebelum perletakan korona. Sebanyak 20% daripada gigi yang mengalami sindrom gigi retak, memerlukan rawatan salur akar. Selepas rawatan salur akar, gigi tersebut tidak lagi sensitif kepada suhu tetapi masih bertindakbalas kepada tekanan. Jika anda merasa sakit sebelum rawatan salur akar dilakukan, anda masih merasa sakit selepas rawatan tetapi kesakitan itu tidaklah seteruk dan sekerap sebelum rawatan.

Dalam sesetengah kes, gigi yang retak tersebut perlu dicabut.Biasanya, ia berlaku pada gigi yang mempunyai retakan di sepanjang permukaan gigi sehingga ke tulang rahang.Tidak ada cara lain untuk merawat gigi yang sebegini dan ia dianggap sebagai gigi yang tidak boleh diselamatkan. Jika gigi dicabut, rawatan implan, jambatan atau dentur boleh dilakukan untuk menggantikan gigi yang hilang.

Bila hendak berhubung dengan Doktor Gigi?

Jika anda terasa sakit semasa mengigit atau mengunyah, silalah berhubung dengan klinik pergigian yang berdekatan.

Prognosis

Rawatan untuk sindrom gigi retak ini tidak selalunya berjaya.  Doktor gigi anda akan menerangkan tentang kemungkinan yang bakal berlaku dan prognosis jangka panjang yang tidak boleh dijangka. Pada sesetengah orang, rawatan korona akan menyelesaikan masalah dan pada sesetengah yang lain rawatan salur akar dapat menyelesaikan masalah. Ada juga yang masih mengalami simptom gigi retak selepas rawatan. Dalam keadaan ini, gigi perlulah dicabut. Kunci untuk prognosis baik adalah bergantung pada pengesanan keretakan gigi di peringkat awal dan rawatan segera. Pemeriksaaan secara berkala adalah penting dalam pengurusan rawatan gigi yang retak untuk sesuatu tempoh yang panjang.

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis /Penyemak : Dr. Roshima bt. Mohd Sharif

 

Artikel Berkaitan

Flos Pergigian

Flos Pergigian adalah sejenis benang yang sangat unik. Flos digunakan untuk membersih kawasan di celah-celah gigi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,342

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia