A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Ujian Makmal Biokimia
  6. /
  7. Siapakah Ahli Biokimia Di...

Siapakah Ahli Biokimia Di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)?

Pengenalan

Biokimia merupakan salah satu cabang ilmu sains yang mengkaji proses biologi dan interaksi kimia yang terlibat di dalam kehidupan. Ilmu sains biokimia pertama kalinya diperkenalkan oleh seorang saintis daripada Jerman iaitu Carl Neuberg pada tahun 1903. Ia berkait rapat dengan bidang perubatan, pemakanan, biologi molekular dan biologi tumbuhan serta haiwan.

Di Malaysia, bidang biokimia adalah tidak asing lagi. Hampir semua institusi-institusi pendidikan tinggi di Malaysia menawarkan program Biokimia bagi memenuhi keperluan pasaran pada masa kini baik dari bidang perubatan, bioteknologi ataupun penyelidikan. Perkhidmatan Pegawai sains (Kimia Hayat) telah dimulakan di Malaysia seawal tahun 1928 di Institut Penyelidikan Malaysia (IMR) bagi menggantikan perkhidmatan kimia di institut tersebut.

Ahli kimia hayat atau kini jawatan rasminya di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikenali sebagai Pegawai Sains (Kimia Hayat) bukanlah merupakan jawatan yang asing di dalam kementerian dan di dalam perkhidmatan patologi khususnya. Pegawai Sains (Kimia Hayat) bersama-sama dengan profesion sains bersekutu yang lain berada di bawah pengurusan Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, KKM sejak tahun 2008. Jawatan ini telah wujud seawal penubuhan IMR dan seiring dengan penubuhan perkhidmatan makmal KKM. Sehingga kini, hampir semua hospital di KKM samada daripada hospital tanpa pakar kepada hospital negeri mempunyai jawatan pegawai sains (kimia hayat) di dalam perkhidmatan makmal mereka.

Sehingga April 2015, terdapat seramai 476 orang pegawai sains (kimia hayat) yang terdiri daripada gred C41 hingga JUSA C bertugas di seluruh negara. Pegawai sains (kimia hayat) tidak hanya ditempatkan di hospital-hospital sahaja, malahan mereka juga ditempatkan di Makmal Kesihatan Awam (MKAK) di seluruh negara, Bahagian Kejuruteraan (KKM), Pusat Darah Negara (PDN), Institut Penyelidikan Respiratori (IPR), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institut Kanser Negara (IKN).

Peranan Pegawai Sains Kimia Hayat

Ujian biokimia meliputi satu pertiga daripada jumlah ujian perkhidmatan patologi kerana ia adalah sangat penting di dalam pengurusan pesakit terutamanya di dalam membantu pendiagnosan penyakit, penyaringan penyakit, pemantauan rawatan ke atas pesakit dan juga terlibat di dalam penyelidikan dadah yang baru. Justeru itu, sumbangan pegawai sains (kimia hayat) di dalam perkhidmatan patologi adalah tidak dapat dinafikan lagi bagi memastikan perkhidmatan ujian biokimia di dalam makmal adalah berkualiti.

Peranan pegawai sains (kimia hayat) adalah bergantung kepada tempat mereka bertugas. Hampir 90% pegawai sains (kimia hayat) ditempatkan di hospital di seluruh negara. Mereka secara amnya, merupakan kalangan professional di dalam bidang makmal klinikal untuk memastikan keputusan ujian biokima yang dihasilkan adalah tepat dan boleh digunapakai oleh para doktor untuk membantu pendiagnosan penyakit. Pegawai sains (kimia hayat) merupakan tulang belakang dalam aspek teknikal di dalam makmal. Selain daripada itu, pegawai sains (kimia hayat) juga terlibat di dalam aktiviti-aktiviti seperti berikut:

  1. Membuat perancangan dan pengurusan kerja teknikal di makmal
  2. Bertanggungjawab di dalam menentukan kaedah setiap ujian yang dijalankan
  3. Memastikan keperluan kualiti samada peringkat pra analitikal, analitikal dan pos analitikal dipenuhi
  4. Melakukan penganalisaan bagi ujian-ujian khas
  5. Memantau prestasi teknikal atau anaitika ujian biokimia yang dijalankan
  6. Menjalankan proses root cause analysis
  7. Merancang dan melaksanakan proses verifikasi kaedah samada bagi ujian baru atau sedia ada.
  8. Memantau proses dan prosedur perolehan dan pembekalan semua peralatan adalah dipatuhi.
  9. Bertanggungjawab di dalam penyediaan dan verifikasi teknikal bagi perolehan sesuatu peralatan
  10. Terlibat secara aktif di dalam pelaksananaan program Point of Care Testing (POCT)termasuk tatacara pembekalan dan perolehan peralatan POCT serta kawalan mutu ujian.
  11. Menguruskan kerja-kerja penyelidikan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan
  12. Memberikan latihan dan menyemak keperluan latihan kakitangan
  13. Bekerjasama dengan institusi-institusi lain di dalam bidang penyelidikan bagi memastikan pengurusan yang terbaik kepada pesakit.
  14. Memberikan khidmat konsultasi teknikal kepada doktor seperti kesesuaian ujian yang diminta dan prosedur pengambilan spesimen ujian yang betul.

Pegawai sains (kimia hayat) juga ditempatkan di makmal yang menawarkan perkhidmatan berkepakaran tinggi seperti toksikologi dan penyakit metabolik semulajadi. Di dalam bidang toksikologi, pegawai sains (kimia hayat) bertanggungjawab memastikan kaedah yang dipakai serta pengendalian dan penganalisaan bagi pengesanan sebarang bahan toksikologi seperti dadah adalah tepat. Mereka juga terlibat di dalam kes-kes medikolegal yang melibatkan pemberian keterangan dan pengesahan laporan ujian di dalam mahkamah.

Pegawai sains (kimia hayat) yang mempunyai kepakaran di dalam penyakit metabolik bukan sahaja menjalankan penganalisaan tetapi juga bersama-sama memberikan khidmat konsultasi kepada doktor bagi membantu pendiagnosan dan pengurusan kearah kesejahteraan pesakit. Mereka juga bergiat aktif di dalam penerbitan artikel. Banyak artikel atau kajian kes telah diterbitkan di dalam jurnal-jurnal yang terkenal di dalam bidang penyakit metabolik semulajadi ini.

Selain daripada itu, pegawai sains (kimia hayat) juga terlibat di dalam memastikan darah dan komponennya adalah berkualiti bagi kegunaan pesakit. Mereka yang bertugas di PDN bertanggungjawab di dalam penganalisaan dan memantau semua prosedur bagi memastikan darah adalah selamat untuk digunapakai. Bagi pegawai sains (kimia hayat) yang terlibat di bahagian kejuruteraan, peranan utama mereka ialah memastikan sumber air yang digunakan oleh rakyat adalah bersih dan selamat untuk digunakan. Mereka terlibat di dalam proses pengumpulan spesimen, penganalisaan dan laporan tahap kebersihan air.

Peranan pegawai sains (kimia hayat) di makmal-makmal kesihatan awam juga penting. Mereka terlibat di dalam pengendalian dan penganalisaan spesimen bagi program-program survelan yang dijalankan. Selain daripada itu, peranan pegawai sains (kimia hayat) di bahagian perkembangan kesihatan keluarga juga tidak kurang pentingnya. Mereka bertanggungjawab memantau dan mengawal selia perkhidmatan makmal primer bagi memastikan ianya selari dengan polisi Kesihatan Awam. Mereka juga terlibat di dalam memastikan keputusan ujian yang dijalankan di semua makmal primer adalah tepat.

biochemist1

Gambar 1 : Memastikan program kawalan mutu dijalankan adalah peranan penting pegawai sains (kimia hayat).

biochemist2

Gambar 2 : Pegawai sains (kimia hayat) bertanggungjawab di dalam memastikan semua keputusan ujian adalah tepat dan boleh digunapakai

Kelayakan minima pegawai sains (kimia hayat) di KKM

Kelayakan minima pegawai sains (kimia hayat) ialah Ijazah Sarjana Muda Sains (BSc) di dalam bidang Biokimia samada daripada universiti tempatan ataupun luar negara. Walau bagaimanapun, terdapat juga pegawai sains (kimia hayat) telah mempunyai ijazah sarjana dan PhD semasa lantikan pertama mereka.

Ramai kalangan Pegawai Sains (Kimia Hayat) bersemangat dalam menimba dan menambah ilmu pengetahuan. Oleh itu, mereka telah menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi samada peringkat sarjana mahupun kedoktoran bagi mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan biokimia di Malaysia.

Kesimpulannya, pegawai sains (kimia hayat) merupakan kumpulan professional yang saling melengkapi dan penting di dalam Perkhidmatan Patologi KKM. Kewujudan pegawai sains kimia hayat di dalam perkhidmatan patologi adalah salah satu elemen penting di dalam memberikan perkhidmatan patologi yang berkualiti dan berdaya saing dengan perkhidmatan-perkhidmatan lain di KKM.

Rujukan

  1. http://alliedhealth.moh.gov.my
  2. http://study.com/academy/lesson/what-is-biochemistry-definition-history-topics.html
  3. http://www.imr.gov.my/my/corporate-info-2/sejarah.html
Semakan Akhir : 27 Mei 2016
Penulis/Penterjemah : Norafaedah bt. Mohd Nor
Akreditor : Roslan bin Abd. Aziz

Artikel Berkaitan

Urin 24 Jam

Definisi Urin 24 jam adalah urin yang dipungut oleh seseorang

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,230,593

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia