A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Warga Emas
  4. /
  5. Pendekatan dari Segi Gejala
  6. /
  7. Semput/Sesak Nafas di kalangan...

Semput/Sesak Nafas di kalangan Warga Emas

Kejadian sesak nafas tidak dapat dijangkakan  kerana punca-punca penyebabnya yang banyak/pelbagai

Pengenalan

  • Sesak nafas adalah sesuatu perasaan susah bernafas atau pernafasan yang tidak selesa. Ia juga dikenali sebagai semput atau pendek nafas.
  • Sesak nafas adalah suatu gejala yang biasa tetapi akan menyebabkan tekanan dan ketakutan kepada pesakit dan penjaganya.
  • Sesak nafas terjadi akibat interaksi yang rumit di antara rangsangan saraf, mekanikal pernafasan dan berhubung kait dengan tindak balas sistem saraf pusat.

Secara umumnya, ada  empat cara utama atau kaedah yang boleh menyebabkan  seseorang  merasa  sesak nafas :

  • Penurunan paras oksigen dalam aliran salur  darah
  • Peningkatan  paras  karbon dioksida dalam aliran salur darah
  • Penurunan keupayaan  paru-paru untuk berkembang
  • Peningkatan beban kerja yang berkaitan  dengan proses pernafasan yang normal

Punca terjadinya sesak nafas adalah luas. Ia mungkin disebabkan oleh berbagai-bagai keadaan yang melibatkan paru-paru, jantung dan /atau sistem pengaliran darah di dalam badan.

Faktor risiko sesak nafas ini biasanya berkaitan dengan penyakit dan keadaan yang boleh  menyebabkan sesak nafas termasuklah :

  • Faktor risiko klinikal seperti :  Asma, Penyakit Paru-paru Kronik (COPD), Kegagalan Jantung (Congestive Heart Failure), Penyakit  Pembuluh Koronari (Coronary Artery Disease)
  • Pendedahan berpanjangan ke atas bahan toksin yang menimbulkan keradangan paru-paru seperti asap rokok dan bahan toksin kilang
  • Individu yang mengalami kurang darah merah (anemia), gangguan kerungsingan dan panik,cara hidup sedentari dan kegemukan

Kejadian sesak nafas tidak dapat dijangkakan  kerana punca-punca penyebabnya yang banyak/pelbagai.

Gejala dan Tanda-tanda

Pesakit dengan masalah sesak nafas boleh mengalami berbagai-bagai bentuk gejala dan tanda-tanda kerana punca-punca penyebabnya yang banyak. Pengambilan riwayat atau sejarah penyakit adalah penting untuk mencari punca sesak nafas.

Doktor  memerlukan  informasi tertentu  untuk mencari punca kesusahan pernafasan seperti :

  • Permulaan serangan dan tempoh masa sesak nafas  terjadi
  • Bilakah  sesak nafas itu berlaku dan apakah faktor-faktor  pencetusnya
  • Keadaan posisi  bila berlaku  serangan sesak nafas (sama ada berbaring atau bangun daripada duduk)
  • Gejala berkaitan yang lain seperti  pernafasan berbunyi (wheezing, grunting), sakit dada dan lain-lain
  • Sejarah perubatan yang lampau seperti sejarah penyakit  respiratori  atau pembedahan
  • Sejarah penyakit baru seperti selesema, bersin atau infeksi yang lain
  • Ubat-ubatan seperti oksigen atau sejarah alahan
  • Kesan sesak nafas ke atas kehidupan dan aktiviti harian.
  • Sejarah merokok dan jenis pekerjaan

Tahap kesesakan nafas :

  • Peringkat  0  – sesak nafas tidak berlaku kecuali membuat aktiviti  yang berat
  • Peringkat  1 – sesak  nafas berlaku apabila berjalan menaiki cerun atau  berjalan cepat  di permukaan rata
  • Peringkat  2 – berjalan dengan lebih perlahan berbanding dengan orang lain pada paras yang sama, atau berhenti selepas 15 minit berjalan  pada paras yang sama
  • Peringkat  3 – berhenti selepas beberapa minit berjalan pada paras yang sama
  • Peringkat 4 – sesak nafas berlaku dengan  aktiviti yang minimal seperti memakai pakaian dan sukar untuk meninggalkan rumah

Presentasi yang biasa  didapati adalah seperti berikut :

  • Sesak nafas pada aktiviti biasa atau waktu rehat
  • Sesak nafas pada waktu malam bila berbaring atas katil ( orthopnea)
  • Faktor-faktor yang berkaitan dengan permulaan gejala  sesak nafas seperti sakit dada, hilang berat badan, berpeluh pada waktu malam, kerungsingan atau terdedah kepada asap rokok atau lain-lain bahan radangan

Tanda-tanda / pemeriksaan fizikal :

  • Cyanosis (warna kebiruan pada jari-jari tangan, kaki, bibir atau mulut  disebabkan oleh peningkatan kepekatan haemoglobin yang kurang oksigen)
  • Pernafasan yang cepat (peningkatan kadar respiratori), peningkatan garis pusat dada, penarikan otot intercostal ke dalam
  • Pernafasan berbunyi (wheeze atau stridor)
  • Peningkatan kadar denyutan jantung (tachycardia), gangguan denyutan jantung
  • Perubahan pada hujung jari-jari tangan dan kaki (clubbing) menunjukkan penurunan bekalan oksigen yang teruk kepada tisu-tisu
  • Pembengkakan tisu (edema) di kaki dan kawasan presacral
  • Pembesaran kelenjar limfa dan hati
  • Tekanan darah rendah (hypotension),  kepekatan oksigen dalam darah yang rendah (hypoxemia)
  • Trakea beralih dari tempat asal dan tiada bunyi pernafasan

Individu ini mungkin kelihatan resah, tidak tenang atau celaru (status kecergasan mental terjejas)

Komplikasi

Komplikasi  sesak nafas yang berpunca daripada jantung atau paru-paru termasuklah :

  • Kegagalan  respiratori
  • Kegagalan jantung
  • Pneumothorax (udara di dalam paru-paru)

Rawatan

  • Pesakit  mesti mendapat rawatan secepat mungkin daripada fasiliti kesihatan yang berdekatan  bila sesak nafas berlaku
  • Kes sesak nafas yang teruk memerlukan kemasukan ke dalam wad
  • Rawatan berbeza-beza bergantung pada punca sesak nafas.

Ujian yang patut dijalankan sebelum memulakan rawatan. Contohnya :

  • Pengiraan sel-sel darah (full blood count) untuk membezakan anemia atau infeksi
  • Pengukuran kandungan oksigen dalam arteri (arterial blood oxygen) untuk memantau   keterukkan penyakit dan jenis kegagalan pernafasan
  • Paras karbon monosida dalam darah
  • Ujian darah untuk fungsi buah pinggang
  • Pemeriksaan imej dada (chest  x-ray)
  • Elektro kardiogram (ECG)
  • Pemeriksaan fungsi paru-paru
  • Echocardiogram
  • Pemeriksaan kandungan oksigen (pulse oximetry) – alat yang diklipkan pada jari tangan atau kaki untuk mengukur kepekatan oksigen pada badan

Rawatan umum yang boleh menolong mengurangkan gejala sesak nafas tanpa mengira punca kesesakan seperti :

  • Memastikan saluran pernafasan sentiasa terbuka dan memberi bantuan ventilasi jika perlu
  • Membekalkan rawatan oksigen dengan menggunakan topeng muka atau hidung untuk menolong meningkatkan paras oksigen yang rendah dalam darah
  • Penggunaan ubat ‘bronchodilator’ seperti ventolin dan steroid. Ini boleh menolong  mengurangkan kesesakan nafas dalam keadaan tertentu
  • Menilai keadaan pesakit dan keterukan sesak nafas itu
  • Melibatkan pasukan pelbagai dispilin –  bergantung kepada punca penyebabnya

Rawatan di rumah

Ada beberapa cara yang boleh dilakukan oleh pesakit di rumah untuk mengurangkan kesesakan nafas:

  • Mengamalkan latihan pernafasan yang diajar oleh doktor iaitu bernafas secara perlahan-lahan dan dalam sehingga ke bahagian abdomen
  • Latihan relaksasi
  • Duduk tegak di atas kerusi yang bersandar jika sesak nafas berlaku

Jika sesak nafas ini tidak pulih atau berkurangan, pastikan pesakit mendapat rawatan perubatan dengan segera.

Pencegahan

  • Kesesakan  pernafasan yang akut  biasanya pulih bila kita merawat punca penyebabnya
  • Kesesakan pernafasan yang berkaitan dengan penyakit kronik seperti penyakit paru-paru kronik (COPD) atau kegagalan jantung  (CHF)  biasanya akan menyebabkan fungsi pernafasan terganggu, jika bertambah teruk boleh membawa kematian
  • Program berhenti merokok perlu disarankan kepada individu yang merokok

Rehabilitasi

  • Rujuk  kepada pegawai jurupulih anggota untuk latihan rehabilitasi  paru-paru
  • Latihan rehabilitasi paru-paru boleh membina daya tahan seseorang dan boleh meningkatkan keupayaan bekerja dan melawan keletihan
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Sanidah bt. Md. Ali
Penyemak : Dr. Ho Bee Kiau

Artikel Berkaitan

Kekeliruan

Kekeliruan merupakan masalah yang biasa dihadapi oleh warga emas berusia 65 tahun ke atas

Insomnia

Epidemiologi Masalah insomnia adalah biasa dikalangan warga emas. Kekerapan insomnia

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,232,883

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia