A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Selesema Burung -TA

Pengenalan

Avian Influenza atau selesema burung adalah sejenis penyakit berjangkit yang mudah menjangkiti unggas dan burung.

Dunia kini berada dalam fasa “amaran pandemik” iaitu jangkitan kepada manusia adalah terhad. Kes jangkitan manusia H5N1 telah dilaporkan di Vietnam, Thailand, Kemboja, Indonesia dan China. Sehingga kini, jangkitan daripada manusia kepada manusia tidak berlaku. Walaubagaimana pun, terdapat kes di Thailand yang disyaki melibatkan jangkitan daripada kanak-kanak yang sakit kepada ibu dan ibu saudaranya.

Agen penyebab: Disebabkan oleh virus influenza jenis A.

Cara jangkitan: Cara sebenar virus selesema burung merebak tidak diketahui. Kajian semasa wabak di Hong Kong pada tahun 1977 menunjukkan manusia telah dijangkiti melalui hubungan yang rapat dengan unggas yang dijangkiti.

  • Daripada burung kepada burung – titisan cecair dari hidung, air liur dan najis. Virus ini boleh hidup dalam najis burung sehingga 30 hari.
  • Daripada burung kepada manusia – hubungan langsung dengan:
    1. unggas/burung atau produknya yang dijangkiti
    2. najis unggas/burung yang dijangkiti,
    3. air yang tercemar dengan najis unggas/burung yang dijangkiti,
    4. objek yang tercemar dengan cecair atau najis burung yang dijangkiti seperti bekas dan sangkar.

Perkara yang membimbangkan adalah selesema burung sangat mudah berjangkit dengan manusia dan boleh merebak dengan cepat. Ini menandakan pandemik (wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas, sama ada hingga ke seluruh wilayah, benua atau dunia) telah bermula.

Tempoh pengeraman: 1 hingga 10 hari

Tanda dan gejala

Demam yang tinggi (melebihi 38°C) beserta batuk kering, sakit tekak, hidung tersumbat, sakit kepala, sakit otot, mialgia (sakit di satu atau lebih otot) dan malaise (rasa lemah atau kurang sihat).

Komplikasi

Pneumonia dan kematian.

Rawatan khusus – Tiada

Rawatan simptomatik

  • Berehat: Berehat akan memberi keselesaan dan membolehkan tubuh menentang jangkitan.
  • Elakkan bersentuh dengan orang lain semasa penyakit mula berjangkit (sekurang-kurangnya 6 hari selepas gejala pertama muncul).
  • Minum banyak air untuk menggantikan air yang hilang semasa demam (kerana berpeluh).
  • Lap hidung dengan tisu pakai buang dan buang tisu ke dalam tong sampah dengan segera.
  • Tutup mulut dan hidung dengan tisu apabila batuk atau bersin dan buang tisu ke dalam sampah.
  • Jangan hembus hidung kerana ini boleh merebakkan rembesan yang dijangkiti ke dalam sinus (rongga hidung).
  • Basuh tangan dengan kerap.
  • Berbincang dengan doktor jika anda mempunyai sebarang soalan tentang ubat-ubatan.

Pencegahan dan langkah berjaga-jaga

  • Vaksin dihasilkan setiap tahun untuk influenza bermusim (manusia) tetapi vaksin ini tidak dapat melindungi manusia daripada jangkitan pandemik influenza. Pada permulaan kejadian pandemik, vaksin sukar untuk diperoleh.
  • Kerap basuh tangan dengan sabun dan air bersih.
  • Pastikan anda memilih daging dan produk unggas yang sihat.
  • Sentiasa amalkan penternakan haiwan yang baik seperti memakai penutup hidung dan mulut (mask), sarung tangan, apron dan but.

 

Semakan Akhir : 9 Mei 2014
Penulis : Dr. Norhayati Rusli

 

Artikel Berkaitan

Demam Kuning

Pengenalan Demam Kuning adalah satu penyakit berjangkit yang akut. Dikenali

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,416,650

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia