A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Penggunaan Ubat
  6. /
  7. Selamatkah steroid untuk kanak-kanak?

Selamatkah steroid untuk kanak-kanak?

Ubat steroid dikategorikan sebagai ubat terkawal, iaitu ia hanya boleh didapati dengan preskripsi doktor.

Pengenalan

Ubat steroid merupakan sejenis ubat yang digunakan untuk merawat masalah kesihatan yang disebabkan oleh keradangan. Keradangan adalah penyakit yang berpunca daripada sistem imuniti badan yang terlalu aktif. Ia boleh berlaku kepada individu di setiap peringkat umur termasuklah kanak-kanak.

Dalam kalangan kanak-kanak, contoh penyakit yang sering dirawat menggunakan ubat steroid termasuklah:

  1. Penyakit asma
  2. Penyakit atritis juvana (juvenile arthritis)
  3. Penyakit buah pinggang, seperti nephrotic syndrome
  4. Penyakit kulit, seperti eczema, dermatitis dan psoriasis
  5. Penyakit autoimun, seperti multiple sclerosis dan systemic lupus erythematous (SLE)
  6. Hipersensitiviti, seperti resdung dan alahan kepada makanan atau ubat

Selain untuk merawat penyakit, ubat steroid juga kerap digunakan dalam rawatan bagi kanak-kanak yang telah menjalani pembedahan pemindahan organ.

Contoh ubat steroid yang dibenarkan (untuk kanak-kanak)

Dalam pasaran, ubat steroid boleh didapati dalam pelbagai bentuk dosej, contohnya tablet, sirap, krim, ubat titis dan ubat sedut (inhaler). Namun, produk yang selamat digunakan hanyalah produk yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, iaitu produk tersebut harus mempunyai nombor pendaftaran MAL serta pelekat hologram meditag yang sah.

Tujuan utama ubat steroid disediakan dalam pelbagai bentuk dosej adalah supaya ia dapat bertindak secara maksima ke atas penyakit yang perlu dirawat secara setempat. Ini juga penting untuk mengurangkan penyerapan ubat ke dalam sistem badan dan seterusnya mengurangkan kesan sampingan ubat, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Contohnya, ubat sedut steroid yang digunakan untuk mengawal penyakit asma perlu disedut dengan kuat melalui mulut agar sampai terus ke paru-paru.Namun, sesetengah kanak-kanak yang kurang mahir menggunakan ubat sedut tersebut mungkin menelannya dan mengakibatkan penumbuhan kulat di tekak. Oleh itu, ibu bapa disarankan supaya sentiasa memantau teknik penggunaan anak-anak terhadap ubat sedut steroid yang diberikan oleh doktor.

Kesan sampingan penggunaan steroid dalam kalangan kanak-kanak

Tanda-tanda kesan sampingan akibat penggunaan ubat steroid adalah berbeza, mengikut tempoh masa ubat tersebut diambil.

Penggunaan ubat steroid secara jangka masa panjang (lebih daripada 2 minggu) boleh menyebabkan kesan sampingan seperti berikut:

  1. Lapisan tulang menipis dan mudah patah
  2. Paras gula dalam badan meningkat
  3. Sistem ketahanan badan menjadi lemah
  4. Gangguan kepada penghasilan hormon adrenal
  5. Kadar tumbesaran terbantut

Sekiranya ubat steroid diambil secara jangka masa pendek, maka kesan samping seperti berikut mungkin berlaku:

  1. Berat badan meningkat
  2. Bengkak kaki dan badan akibat penakungan air dalam badan
  3. Gangguan emosi, seperti mudah marah dan perasaan gelisah
  4. Tekanan darah meningkat
  5. Gangguan perut seperti gastrik, muntah dan ulser perut

Kebanyakan penyakit yang dirawat dengan ubat steroid memerlukan pengambilan secara jangka masa panjang kecuali dalam kes-kes alahan. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang amat penting untuk memantau tanda-tanda kesan sampingan yang mungkin terjadi kepada anak-anak. Sekiranya anak-anak menunjukkan tanda-tanda kesan sampingan daripada ubat steroid, ibu bapa perlu mendapatkan pengesahan daripada doktor atau ahli farmasi.

Cara penggunaan ubat steroid yang selamat

  1. Ubat steroid harus diambil pada masa yang sama setiap hari, sebaiknya pada waktu pagi. Sekiranya anak anda perlu mengambil ubat steroid sebanyak dua kali sehari, maka dos kedua harus diambil pada sebelah petang untuk mengelakkan gangguan tidur.
  2. Dos untuk ubat steroid harus diambil mengikut arahan doktor. Jangan sesekali menggandakan dos walaupun anda tertinggal dos yang sepatutnya diberikan kepada anak.
  3. Sekiranya anak-anak anda mengalami tanda-tanda seperti ulser mulut, demam dan selsema, sila rujuk doktor segera. Ini mungkin merupakan tanda-tanda jangkitan kuman akibat sistem ketahanan badan menjadi lemah.
  4. Pengambilan ubat steroid secara jangka masa panjang (lebih daripada 2 minggu) tidak harus dihentikan secara tiba-tiba. Dos ubat steroid harus dikurangkan secara beransur-ansur sebelum dihentikan.
  5. Kad steroid akan diberikan kepada anak anda sekiranya ubat steroid perlu diambil secara jangka masa panjang. Pastikan kad tersebut sentiasa dibawa dan ditunjukkan kepada doktor.

Penyalahgunaan steroid dalam kalangan kanak-kanak

Ubat steroid dikategorikan sebagai ubat terkawal, iaitu ia hanya boleh didapati dengan preskripsi doktor. Maka, segala penggunaan ubat steroid tanpa arahan doktor atau ahli farmasi boleh dianggap sebagai salahguna.

Penyalahgunaan ubat steroid sering berlaku apabila ibu bapa cuba merawat anak-anak sendiri tanpa merujuk kepada doktor. Contohnya, ibu bapa memberikan ubat steroid kepada anak-anak yang lain apabila mereka menunjukkan tanda-tanda sakit yang kelihatan sama seperti anak yang pernah dirawat dengan ubat tersebut. Harus diingati bahawa bukan setiap jenis penyakit memerlukan rawatan steroid. Pemberian ubat steroid kepada anak-anak tanpa nasihat doktor akan mendedahkan anak-anak anda kepada kesan sampingan yang tidak diingini.

Penyalahgunaan steroid juga boleh berlaku apabila ibu bapa membeli ubat-ubatan yang tidak berdaftar seperti ubat tradisional cina, majun atau jamu. Ubat-ubatan tersebut dikatakan “ajaib” dan amat berkesan untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Disebabkan oleh tindakbalas ubat steroid itu sendiri, produk tidak berdaftar ini sering dipasarkan sebagai ubat resdung, ubat gout ataupun ubat sakit sendi.

Contoh-contoh produk yang didapati mengandungi ubat steroid adalah seperti:

Nama Produk
Jenis
Racun Dikesan
357 NASAL SPRAY TRADISIONAL DEXAMETHASONE
AIR IKAN HARUAN MAKANAN/MINUMAN DEXAMETHASONE
DELIMA RAJA URAT TRADISIONAL DEXAMETHASONE
GINSENG JIN FUI WAN TRADISIONAL DEXAMETHASONE
JAMU TRADISIONAL JAYA ASLI (ANTI ASAM URAT) TRADISIONAL DEXAMETHASONE
REN SEM TU CHON CHIN KUO PILL TRADISIONAL DEXAMETHASONE
SKYLINE AL-TAQWA GOUT ASAM URAT TRADISIONAL DEXAMETHASONE
SKYLINE AL-TAQWA SAKIT PINGGANG & LUTUT TRADISIONAL DEXAMETHASONE

Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Senarai Produk Dikesan Mengandungi Bahan Terlarang (2015). http://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/apps/adulterated

Penggunaan produk tanpa menyedari kandungan steroid di dalamnya boleh membawa padah kepada anak-anak. Oleh itu, sebelum membeli apa-apa produk, ibu bapa harus mengenalpasti sama ada produk tersebut berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Elakkan daripada membeli ubat melalui laman web atau kedai bukan farmasi (contohnya kedai runcit).

Kesimpulan

Ubat steroid adalah selamat untuk kanak-kanak sekiranya ia digunakan mengikut arahan dan cara penggunaan yang betul. Ibu bapa perlu selalu memeriksa penggunaan ubat steroid di kalangan anak-anak dan merujuk kepada doktor atau ahli farmasi jika mempunyai sebarang keraguan mengenai penggunaannya.

Rujukan

  1. Aulakh, R. & Singh, S. (2008). Strategies for Minimizing Corticosteroid Toxicity: A Review. Indian Journal of Pediatrics, 75 (10), 1067 – 1073. Retrieved May 18, 2016, from http://medind.nic.in/icb/t08/i10/icbt08i10p1067.pdf
  2. Liu, D., Ahmed, A., Ward, L., Krishnamoorthy, P., Leigh, R., Cohen, Albert., et al. (2013). A practical guide to the monitoring and management of the complications of systemic corticosteroid therapy. Journal of Allergy, Asthma and Clinical Immunology, 9 (30). Retrieved May 18, 2016, from http://aacijournal.biomedcentral.com/articles/10.1186/1710-1492-9-30
Semakan Akhir : 24 Oktober 2016
Penulis : Choo Shea Jiun
Akreditor : Nor Aida bt. Sanusi

Artikel Berkaitan

Kawalan produk kosmetik di Malaysia

Semua produk kosmetik yang dipasarkan di Malaysia perlu bernotifikasi dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM sebelum produk tersebut boleh diimport, dikilang, diedarkan atau dijual di Malaysia. Notifikasi produk kosmetik boleh dihantar melalui sistem QUEST3+ secara atas talian. Produk kosmetik yang bernotifikasi tidak bermaksud bahawa produk tersebut telah diluluskan oleh KKM. Notifikasi produk adalah proses dimana syarikat yang bertanggungjawab memasarkan produk kosmetik membuat pengisytiharan berkenaan maklumat produk kepada NPRA sebelum mereka memasarkan produk tersebut di pasaran Malaysia.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,033

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia