A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Cabaran Penjagaan Pesakit Schizophrenia

Cabaran Penjagaan Pesakit Schizophrenia

Pengenalan

Umum mengetahui penjagaan pesakit mental bukan sesuatu yang mudah dan boleh dipandang ringan. Kesukaran dan keperitan menjaga pesakit mental menyebabkan golongan ini sering dibiarkan tanpa perhatian sewajarnya menyebabkan penyakit berulang sering berlaku.  Sehubungan itu, kerajaan telah mempromosikan perkhidmatan kesihatan mental komuniti melalui Akta Kesihatan Mental 2001, yang menggalakkan waris menjaga sendiri ahli keluarga yang mengidap penyakit mental, setelah mereka stabil atau discaj dari hospital.

Sokongan dan keprihatinan kerajaan dengan mewujudkan kemudahan rawatan, pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) mental, bantuan pesakit terlantar, Elaun Pekerja Cacat (EPC) dan pesakit (OKU) tidak bekerja, sedikit sebanyak memberi sokongan moral terhadap penjaga pesakit mental. Walau pun begitu, mereka tidak terlepas dari cabaran dalam proses penjagaan pesakit mental khususnya mendepani pesakit yang di diagnos mengidap Schizophrenia.

Memahami Penyakit Schizophrenia

Schizophrenia merupakan penyakit mental yang diakibatkan oleh ketidakseimbangan satu sel kimia dalam otak (dopamine). Ia adalah suatu gangguan psikosis fungsional berupa gangguan mental secara berulang dengan gejala-gejala psikotik seperti kemunduran fungsi sosial, fungsi kerja dan perawatan diri. Kesan penyakit ini akan mempengaruhi proses pemikiran pesakit. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan Schizophrenia seperti faktor genetik atau keturunan, biokimia dan psikososial.

Gejala Schizophrenia

Gejala positif  seperti delusi iaitu gangguan interpretasi terhadap persepsi atau pengalaman yang dialami dan merupakan gejala yang paling umum; halusinasi iaitu melihat atau mendengar perkara yang sebenarnya tidak berlaku; gangguan fikiran dimana pesakit mengalami  kecelaruan untuk  berbicara dan berfikir secara rasional. Pesakit juga mengalami gangguan tingkahlaku dengan bertingkahlaku keanak-anakan atau emosi yang tidak stabil.

Gejala negatif pula adalah seperti kehilangan tarikan dan kemampuan untuk melakukan aktiviti harian, tidak beremosi, tidak menjaga kebersihan diri, memencilkan diri dan tiada motivasi diri.

Gejala kognitif adalah seperti menghadapi masalah pembelajaran dan kurang penumpuan perhatian, kurang konsentrasi dan bermasalah dengan daya ingatan.

Rawatan Schizophrenia

Schizophrenia tidak dapat dirawat dengan sejenis rawatan sahaja. Ia memerlukan gabungan rawatan yang meliputi aspek-aspek  seperti :-

  1. Psikoterapi – Rawatan psikologi bertujuan untuk memberi sokongan emosional kepada pesakit
  2. Farmakologi – Penggunaan ubat-ubatan bagi memulihkan ketidakseimbangan biokimia di bahagian otak serta mengurangkan gejala penyakit
  3. Psikososial –
  • Penglibatan pesakit dalam pelbagai aktiviti seperti psycho-education membantu pesakit sedar bahawa rawatan dan pemulihan bukan hanya bergantung kepada ubat atau psikoterapi, tetapi persekitaran turut mempengaruhinya.
  • Sokongan ahli keluarga (Family’s support) juga penting dalam membantu pemulihan pesakit. Penglibatan mereka perlu bagi memberi sokongan moral dan emosi kepada pesakit dalam proses pemulihan pesakit.

Cabaran Penjagaan Pesakit Schizophrenia

Stigma

Stigma masyarakat terhadap pesakit mental memang sukar untuk dilenyapkan. Pesakit mental secara umumnya sering dipandang dihina dan sering didiskriminasikan oleh masyarakat. Mereka bukan sahaja memandang serong kepada pesakit bahkan mengaitkan ahli keluarga pesakit. Kesannya, keluarga sukar untuk menerima hakikat bahawa ahli keluarga mereka mengidap penyakit mental khususnya pengidap schizophrenia.

Gejala yang di tunjukkan oleh pengidap schizophrenia yang gagal dalam rawatan (relapsed schizophrenia) menyebabkan penjaga lebih cenderung mempercayai pesakit disampuk makhluk halus dan mendapatkan bantuan bomoh bagi menghindari pandangan sinis masyarakat. Penjaga juga seberapa boleh merahsiakan keadaan pesakit dari pengetahuan umum. Keadaan ini yang mendorong penjaga mengurung pesakit dan membiarkan pesakit berkeliaran atau merayu pihak berkuasa menempatkan pesakit di institusi.

Keadaan Pesakit

Pesakit yang menjalani rawatan psikiatri sering menunjukkan gejala-gejala sampingan seperti mengantuk, kegelisahan, terketar-ketar dan pergerakkan badan yang tidak normal. Gejala-gejala ini menyebabkan mereka sukar menjalani kehidupan normal dan memerlukan bantuan dan perhatian orang lain khususnya penjaga.

Emosi (mood) pesakit Schizophrenia yang sering berubah-ubah juga merupakan salah satu cabaran kepada penjaga. Perubahan emosi mungkin terjadi secara tiba-tiba seperti dari keadaan tenang, pesakit boleh berubah menjadi agresif. Penjaga perlu sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan pesakit.

Selain daripada itu, terdapat pesakit Schizophrenia yang tidak menerima hakikat bahawa dia mengidap penyakit mental. Mereka sering menolak untuk menjalani rawatan dan sudah pasti tidak mahu mengambil ubatan secara konsisten. Situasi ini menyebabkan penyakit berulang dan proses rawatan – pemulihan menjadi sukar samada penjaga terpaksa memujuk atau amat berhati-hati ketika memberi ubatan. Terdapat kes dimana pesakit menolak ubatan oral dan penjaga terpaksa menitis ubat (Clopixol) dalam makanan pesakit tanpa pengetahuan pesakit. Keadaan ini akan menyukarkan proses penjagaan ke atas pesakit atas faktor pesakit tiada insight.

Pengetahuan Dan Kefahaman Penjaga Tentang Penyakit

Kurang atau tiada pengetahuan tentang penyakit juga merupakan cabaran bagi penjagaan pesakit. Penjaga merupakan orang yang paling hampir dengan pesakit, kurangnya pengetahuan tentang penyakit akan menyebabkan mereka berisiko untuk berhadapan dengan pesakit, Mereka perlu diberi pendedahan dan pengetahuan berkaitan penyakit seperti simptom-simptom relapse, rawatan dan cara-cara mengatasi pesakit relapse. Penjaga juga perlu faham mengenai perubahan emosi pesakit dengan mengenalpasti tanda-tanda yang ditunjukkan seperti kemurungan tiba-tiba, perlakuan agresif  dan menangani keadaan tersebut dengan bijak supaya ianya tidak menjadi ancaman kepada penjaga dan ahli keluarga.

Selain daripada itu, kekurangan pengetahuan penjaga berkaitan pengambilan ubat dan dos juga merupakan cabaran dalam proses penjagaan pesakit mental. Mereka harus diberi pengetahuan tentang pengambilan dan dos ubatan yang perlu diambil oleh pesakit. Kesalahan dos dan kegagalan penjaga menangani keengganan pesakit mengambil ubat boleh menjejaskan keadaan pesakit dan mempengaruhi mereka untuk bertindak agresif atau sebaliknya. Situasi ini  bukan sahaja mempengaruhi pesakit malahan boleh menjejaskan emosi penjaga.

Di samping itu, penjaga perlu mengetahui kesan pengambilan ubatan psikiatri  ke atas pesakit seperti mengantuk, gelisah, pergerakan badan yang tidak normal, pening dan terketar-ketar. Tanpa pengetahuan berkaitan akan menyebabkan penjaga ragu-ragu tentang rawatan yang dijalankan dan dikhuatiri akan menghentikan pengambilan ubat tanpa mendapatkan nasihat dari pakar. Justeru itu, pengetahuan mengenai penyakit amat penting dalam mengatasi cabaran penjagaan pesakit mental.

Kemampuan Penjaga

Tahap kemampuan penjagaan merupakan faktor penting dalam merealisasikan penjagaan pesakit. Kemampuan bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi merangkumi faktor mental, fizikal dan sosial.  Setiap penjaga mesti memenuhi ke empat-empat faktor ini bagi memudahkan mereka menjalankan tugas sebagai proses dan kualiti penjagaan ke atas pesakit.

Kemampuan mental merangkumi kesanggupan penjaga berhadapan dan berinteraksi dengan pesakit mental yang mempunyai  pelbagai kerenah yang mencabar kesabaran penjaga.  Bagi pesakit Schizophrenia kronik, mereka tidak berkemampuan untuk menjaga diri sendiri, termasuklah activity daily living – ADL). Situasi yang berulang-ulang akan menyebabkan penjaga mengalami tekanan dengan rutin hidup harian mereka jika tiada ketahanan mental.

Selain daripada itu, penjaga juga akan menghadapi tekanan yang disebabkan oleh ahli keluarga dan masyarakat sekeliling. Karenah dan perbuatan pesakit seperti mengotorkan tempat tinggal (Hoarding Syndrome), meracau, bising dan mengganggu orang lain akan menimbulkan kemarahan masyarakat terutama pesakit yang di diagnos mengidap paranoid schizophrenia. Bagi mereka yang kurang pengetahuan tentang penyakit mental akan menimbulkan kemarahan atau membuat aduan pada keluarga atau agensi berkaitan. Mengelak dari relapse merupakan faktor utama penjaga mengalami tekanan mental.

Cabaran penjagaan pesakit Schizophrenia juga merangkumi kemampuan dari segi fizikal. Penjaga  pesakit mental sering mengalami keletihan yang berpanjangan, hilang privacy, takut, cemas, bimbang, sedih dan  kebebasan yang terbatas. Konflik kerjaya juga berlaku, ada ketika  terpaksa meninggalkan pesakit sendirian tanpa seliaan. Perkara ini sering mengganggu penjaga dan menjadi dilema kepada mereka di antara kerjaya dan pesakit yang merupakan darah daging mereka. Keperluan kewangan bukan sahaja untuk isi rumah tetapi merangkumi keperluan pesakit seperti kos rawatan, ulang alik menjalani rawatan dan sebagainya. Di samping itu, kebanyakan penjaga terdiri daripada wanita, berpendidikan rendah, mempunyai tanggungjawab sendiri (suami & anak), bergantung kepada pendapatan suami. Kemampuan kewangan mereka juga terbatas terutamanya peruntukan untuk pesakit sehingga timbulnya isu pengabaian ke atas pesakit.

Sebahagian pesakit Schizophrenia kronik yang sukar dikawal dan memerlukan rawatan dan penjagaan rapi lebih membebankan penjaga dari segi kewangan. Mereka terpaksa dimasukkan ke pusat-pusat jagaan atau rawatan yang perlu dibiayai oleh penjaga. Ketidakmampuan menyebabkan mereka cuba mengelakkan diri atau menghilangkan diri dari pihak hospital atau pusat jagaan.

Penerimaan ahli keluarga dan masyarakat terhadap keluarga pesakit mental juga merupakan cabaran yang perlu ditempuhi oleh penjaga. Umumnya masyarakat mengetahui penyakit mental merupakan penyakit keturunan dan berpotensi untuk diwarisi oleh generasi akan datang. Keadaan ini menyebabkan masyarakat cuba mengelak untuk mempunyai hubungan sosial dengan keluarga yang mempunyai sejarah penyakit mental. Kesannya terdapat ahli keluarga pesakit yang menjauhi pesakit atau membiarkan tanggungjawab tersebut pada seseorang individu sahaja.

Di pihak keluarga pula mengambil giliran dalam penjagaan akan dapat mengatasi stress burden, merasa di beri sokongan dan membuat kesimpulan bahawa isu penjagaan pesakit bukan tanggungjawabnya seorang. Situasi ini menunjukkan bahawa sokongan keluarga amat penting dalam isu penjagaan pesakit Schizophrenia kerana tanpa sokongan keluarga potensi untuk pesakit relapse dan terbiar amat besar.

Kesimpulan

Kumpulan sokongan yang memberi penekanan  melalui program Psycho-education, seminar dan program bersama masyarakat yang diadakan oleh badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan,  adalah manifestasi kedua-dua pihak samada pesakit mahupun penjaga rasa diterima. Anjakan paradigm pemberi perkhidmatan melalui program – program pencegahan – rawatan – pemulihan yang melibatkan penderita schizophrenia amat diperlukan.

Selain daripada itu, peranan dan dasar kerajaan juga penting dalam usaha mengembalikan tanggungjawab penjagaan  pesakit mental  kepada waris. Dasar yang dilaksanakan haruslah seiring dengan kemudahan yang disediakan. Penjaga memerlukan sokongan moral yang tinggi dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan. Kita harus membantu mereka dalam usaha mereka untuk mengembalikan pesakit ke dalam masyarakat atau sekurang-kurang dapat mengatasi masalah sosial dikalangan masyarakat demi keharmonian negara.

Semakan Akhir : 16 Oktober 2017
Penulis : Pn. Norhapisah Binti Ismail
Akreditor : Pn. Sorihayati Binti Bai

Artikel Berkaitan

ALAHAN

Apa Itu alahan? Alahan bermaksud perubahan aktiviti. Ia juga dikenali

Penyakit

PENYAKIT BERJANGKIT JANGKITAN PARASIT MIKROBIOLOGI KESIHATAN REPRODUKTIF DIAGNOSIS MAKMAL VAKSIN

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 224,702,622

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia