Home > Remaja > Kesihatan Fizikal > Sakit Abdomen

Sakit Abdomen

Sakit perut atau sakit pada abdomen merupakan perkara biasa. Ia bukan sejenis penyakit tetapi merupakan gejala bagi penyakit lain. Tanda-tanda yang mungkin dialami adalah seperti pedih ulu hati, perut kembung dan sendawa.

Sebab-sebab Sakit Abdomen

  1. Sebab-sebab psychogenic
    Sakit yang dialami tetapi tidak disebabkan oleh sebarang penyakit. Ianya timbul mungkin akibat dari tekanan perasaan, kebimbangan dan kemurungan. Walau bagaimanapun, proses ini terjadi tidaklah diketahui.
  2. Sebab-sebab functional
    Sakit ini terjadi disebabkan oleh perubahan fungsi organ akibat tindakbalas badan terhadap persekitaran. Contohnya:

    • Penolakan tubuh terhadap laktosa (lactose intolerance)
    • Senggugut (dysmenorrhoea)
    • Sembelit
    • Cirit-birit (diarrhea)
  3. Sebab-sebab organik
    Sakit abdomen yang disebabkan oleh penyakit lain dalam badan. Contohnya :

    • Penyakit radangan usus
    • Penyakit ulser peptik – 50% adalah disebabkan oleh bakteria Helicobacter pylori
    • Gumpalan cacing
    • Penyakit keradangan pelvik
    • Ovarian cyst (sista ovari / ketulan pada ovari)
    • Jangkitan pada saluran kencing
  4. Kecederaan yang di alami pada bahagian abdomen, contohnya kemalangan

Rawatan

Kebanyakan sakit abdomen bertambah baik dengan rawatan dirumah. Jika anda mengalami sakit perut tanpa gejala-gejala lain, cuba :

  • Berehat sehingga anda berasa lega
  • Minum air yang banyak (minum sedikit-sedikit tetapi kerap adalah lebih baik untuk perut anda)
  • Elakkan minuman yang berkarbonat dan mengandungi kafein seperti soda, teh atau kopi
  • Ambil makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap
  • Elakkan mengambil makanan yang pedas, buah-buahan yang masam dan alkohol
  • Elakkan mengambil makanan yang mengandungi kandungan lemak yang tinggi
  • Elakkan daripada mengambil ubat jenis aspirin dan anti keradangan tanpa steroid (NSAIDs)

Lain-lain rawatan adalah bergantung kepada penyebab penyakit.

  1. Matlamat rawatan
    Mengurangkan gejala dan kembali ke fungsi asal

    • Cuba ubatan untuk mengurangkan sakit, contohnya paracetamol untuk menghilangkan senggugut.
  2. Bila Anda Perlu Berjumpa Doktor
    • Sakit disebabkan oleh kecederaan dan kemalangan>
    • Sakit yang tidak sembuh dalam tempoh 24 hingga 48 jam
    • Sakit yang bertambah teruk dan kerap
    • Kesakitan setempat pada bahagian abdomen yang bertambah dari masa ke semasa
    • Munculnya gejala-gejala lain seperti cirit-birit, loya, muntah, sukar membuang angin, perubahan pada kencing, demam, sesak nafas, rasa mengantuk atau pitam
    • Perut yang membuncit
    • Mengandung
    • Muntah darah yang berwarna hitam
    • Najis berdarah
    • Rasa bengkak di abdomen
    • Syak ubat yang menyebabkan sakit abdomen
    • Pendarahan atau ada lelehan dari vagina

Pencegahan

Sakit abdomen dapat dicegah melalui

  • Amalkan tabiat membuang air besar setiap hari bagi mengelakkan sembelit.
  • Amalkan tabiat makan yang baik dan teratur.
  • Elakkan pengambilan makanan berlebihan bagi menjauhkan ketidakselesaan perut.
  • Makan dengan perlahan-lahan dan berhenti sekiranya sudah berasa kenyang.
  • Elakkan mengunyah gula-gula getah dan air berkarbonat bagi mengurangkan menelan angin.
  • Sentiasa memakai tali pinggang keselamatan setiap kali memandu untuk mengelakkan berlakunya kecederaan pada bahagian abdomen
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Jamilah Abdullah
Penyemak : Dr. Nor Faizah bt. Ghazali