A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kawalan Ubat
  6. /
  7. Risiko pembelian ubat di...

Risiko pembelian ubat di Internet

Pendahuluan

Teknologi sektor kesihatan sedang menjalani satu perubahan yang didominasi oleh internet dalam kehidupan seharian. Hasil perkembangan teknologi ini dapat dilihat melalui perkembangan aktiviti-aktiviti dan iklan-iklan yang berkaitan kesihatan. Kebolehan orang ramai dalam melayari internet seperti blog atau media sosial dalam pelbagai medium menggalakkan golongan tertentu mengambil peluang mempengaruhi orang ramai dalam membuat pilihan berkaitan dengan produk kesihatan.

Terdapat lambakan ubat-ubatan tidak berdaftar, kosmetik yang tidak bernotifikasi atau dicemari racun dan juga penjualan ubat-ubatan oleh mereka yang tidak bertauliah dijual menerusi internet. Kaedah ini sangat popular kerana penyampaian melalui medium ini lebih cepat dan mudah.

Rujukan : The Star, 20 Oktober 2014, m/s 32

Media sosial termasuk Facebook menjadi lapangan pemasaran yang strategik untuk melariskan jualan produk farmaseutikal. Imej iklan dari Facebook seperti di bawah membuktikan bahawa pengguna mudah terpengaruh dengan penjualan produk farmaseutikal yang diiklankan tanpa mengira produk tersebut berbahaya atau tidak melalui jumlah “Like” yang diperolehi. Contohnya, produk tidak berdaftar ini mempunyai 13,207 ‘Like’ untuk satu halaman sahaja dan masih ada beratus-ratus halaman lain di Facebook yang menjual produk yang sama.

Rujukan : Facebook

Kesan kepada orang awam

Iklan dan penjualan produk kesihatan atas talian atau melalui mana-mana medium digital mendedahkan pengguna kepada risiko penyalahgunaan produk farmaseutikal kerana status sebenar produk dan identiti penjual tidak dapat ditentusahkan. Kebanyakan produk farmaseutikal atau kosmetik diiklankan dengan memaparkan testimoni dan tuntutan perubatan tanpa bukti saintifik atau direka tanpa asas yang kukuh bagi menyokong dakwaan tersebut. Akibatnya, keselamatan penggunaannya tidak terjamin dan mungkin boleh mendatangkan kesan sampingan yang buruk kepada orang ramai.

Rujukan : Harian Metro; 17 Oktober 2014; m/s 2 & 12

Rujukan : Kosmo; 20 September 2014; m/s 2

Inisiatif Bahagian Perkhidmatan Farmasi

Bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam, penguatkuasaan penjualan secara atas talian bagi produk farmaseutikal melalui internet menjadi cabaran besar kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia. Bahagian ini berusaha membanteras aktiviti-aktiviti di internet yang dikesan menjual produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang. Bahagian Perkhidmatan Farmasi (BPF) melalui Penguatkuasaan Farmasi turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi membendung aktiviti ini daripada berleluasa.

Bermula dari tahun 2012, Bahagian Perkhidmatan Farmasi telah berkolaborasi dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa melalui operasi Pangea. Operasi ini dijalankan secara bersepadu dan melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan dari lebih 100 buah negara di seluruh dunia dan dikoordinasikan oleh Interpol. Dalam tempoh operasi tersebut, laman sesawang telah dipantau selama seminggu. Rumusan pencapaian pemonitoran laman sesawang yang diambil tindakan untuk penutupan dalam operasi Pangea adalah seperti berikut :

PANGEA
LAMAN WEB
MEDIA SOSIAL
V
96
VI
131
VII
224
97

Rujukan : Operation PANGEA Report, 1 September 2014 (Steroids sold openly on social media sites, 2014)

Pada tahun 2014 (PANGEA VII), sebanyak 224 laman sesawang yang menjual produk farmaseutikal dikenalpasti dan disenaraikan untuk disekat dan seterusnya ditutup oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. Manakala sebanyak 97 media sosial termasuk Facebook dan Youtube telah dilaporkan dan dipohon untuk ditutup.

Selain daripada jalinan kerjasama, fokus juga diberikan oleh BPF dan Cawangan Penguatkuasa Farmasi setiap negeri dengan menjalankan serbuan ke atas premis yang didapati menjual atau mengilang produk farmaseutikal yang menyalahi undang-undang menerusi internet. Produk farmaseutikal tersebut akan dirampas manakala penjual dan pengilang produk akan dikenakan tindakan undang-undang.

Rujukan : Harian Metro; 18 Februari 2015; m/s8

Strategi Jangka Panjang

Bagi strategi jangka panjang pula, inisiatif terkini Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia adalah dengan mewujudkan satu Unit Digital Forensik Farmasi. Unit Forensik Digital Farmasi diwujudkan pada tahun 2014 dan telah beroperasi di Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di Petaling Jaya, Selangor.

Antara fungsi-fungsi Unit Forensik Digital Farmasi diwujudkan adalah untuk untuk :

  1. Mengkoordinasi dan memberi bantuan dari aspek sokongan teknikal bagi kes-kes melibatkan keterangan digital.
  2. Menjalankan pengumpulan maklumat-maklumat digital untuk tujuan tindakan penguatkuasaan.
  3. Menjalankan analisis forensik digital.
  4. Memberi bantuan siasatan kepada BPF dan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi negeri bagi kes-kes yang melibatkan pelanggaran undang-undang yang dikuatkuasakan berkaitan eksploitasi IT.
  5. Mewujudkan rangkaian kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain berkaitan dengan undang-undang siber dari segi kemahiran siasatan serta perkongsian maklumat.
  6. Mengadakan latihan dalam bidang forensik digital kepada anggota UFDF khususnya dan pegawai penguatkuasa farmasi amnya.
  7. Menyiasat aduan orang ramai, agensi-agensi Kerajaan dan media massa berhubung dengan penyelewengan yang berlaku di internet yang melibatkan farmaseutikal.

Kewujudan Unit Forensik Digital Farmasi ini dapat memberikan output teknikal digital kepada unit-unit di BPF dan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi negeri yang memerlukan sokongan teknikal dalam kes siasatan digital. Salah satu lagi peranan yang dimainkan adalah untuk mengurus dan mengendalikan barang-barang bukti digital di lokasi serbuan semasa menyertai aktiviti serbuan dan pemeriksaan bersama Cawangan Penguatkuasaan Farmasi negeri.

Rujukan

  1. Denin, M. J. (2014, 17 Oktober). Promosi Produk Rosak Saraf. Harian Metro m.s. 2;12.
  2. Facebook.
  3. (2014). Operation PANGEA Report. September.
  4. Steroids sold openly on social media sites. (2014, 20 Oktober). The Star, m.s. 32.
  5. Taktik Jual Pil Beracun Di Facebook. (2014, 20 September). Kosmo m.s. 2.
  6. Zolkiply, Z. I. (2015, 18 Februari). Buat Rosak Jantung Saja! Harian Metro, m.s. 8.
Semakan Akhir : 05 Jun 2015
Penulis : Norlida bt. Abdul Rahman@Othman
Akreditor : Muhammad Lukmani bin Ibrahim

 

Artikel Berkaitan

Pengambilan Ubat Yang Betul

Ubat perlu diambil dengan cara yang betul bagi mendapatkan kesan optimum ubat-ubatan terhadap sesuatu simptom/penyakit. Ini juga dapat mengelakkan kesan yang tidak diingini. Pengambilan ubat yang betul adalah cara pengambilan ubat mengikut arahan yang diberikan melalui pembacaan label ubat.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,232,307

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia