A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Rekahan Bibir & Lelangit – Rawatan Pergigian

Rekahan bibir dan lelangit merupakan kecacatan semasa lahir di mana tisu bahagian mulut dan bibir tidak terbentuk dengan sempurna semasa pembentukan fetus. Punca kecacatan masih tidak diketahui. Walau bagaimanapun, kecacatan ini boleh dirawat.

Pengenalan

Rekahan bibir dan lelangit merupakan kecacatan semasa lahir di mana tisu bahagian mulut dan bibir tidak terbentuk dengan sempurna semasa pembentukan fetus. Punca kecacatan masih tidak diketahui. Walau bagaimanapun, kecacatan ini boleh dirawat. Di Malaysia, rekahan bibir dan lelangit berlaku dalam 1 untuk 700 kelahiran.

Punca Kejadian

Para doktor tidak mengetahui punca sebenar rekahan bibir dan lelangit terjadi tetapi mereka percaya ianya adalah suatu kombinasi genetik (diwarisi) dengan faktor persekitaran (seperti pengambilan dadah, penyakit, dan penggunaan alkohol atau tembakau semasa kehamilan).

Komplikasi

Kanak-kanak yang mempunyai rekahan di bahagian mulut lebih mudah dijangkiti selesema, hilang deria pendengaran dan mempunyai masalah pertuturan.

Masalah pergigian seperti kehilangan gigi, gigi berlebihan, bentuk gigi yang tidak sempurna, gigi tidak teratur dan karies gigi, sering berlaku di kalangan kanak-kanak yang mempunyai rekahan lelangit. Kecacatan ini juga sering melibatkan tulang alveolus.

Tulang alveolus ialah bahagian tulang dalam mulut di mana pertumbuhan gigi berlaku. Kecacatan atau rekahan pada tulang alveolus menyebabkan gigi tumbuh tidak sempurna, tidak teratur, tersesar atau berputar.

Kesukaran untuk menyusu boleh mengakibatkan penyusutan berat badan dan menghalang pembedahan awal membaik pulih.

Bagaimana Cara Anda Memberi Makan?

Penyusuan badan adalah baik dan lebih berfaedah. Oleh itu ianya amat digalakkan (Shaw at el,1999). Bayi akan rasa lebih selesa jika semasa penyusuan ia berada pada posisi tegak bukan berbaring.Walaupun demikian terdapat banyak kes di mana ianya tidak berjaya. Oleh yang demikian, penyusuan melalui botol (diisi susu badan) merupakan cara gantian yang terbaik.Doktor anda akan mencadangkan beberapa cara jika anda mempunyai masalah untuk memberi anak makan.

Cara yang berkesan ialah:

  1. Menggunakan botol yang boleh mampat dan mempunyai muncung yang panjang.
  2. Bayi diletakkan pada kedudukan tegak semasa makan untuk mengelak makanan keluar melalui hidung.
  3. Bayi yang mempunyai 2 rekahan penuh (bilateral complete clefts) dicadangkan guna pinggan khas.

Botol susu dengan berbagai puting untuk membantu penyusuan kanak-kanak rekahan bibir dan lelangit.

Penjagaan Kesihatan Pergigian

Penjagaan pergigian perlu dimulakan dari awal kelahiran. Doktor pergigian akan menerangkan cara memberi makan dan menjaga kesihatan mulut anak. Kanak-kanak istimewa ini biasanya memerlukan penjagaan pergigian yang sama seperti kanak-kanak biasa. Lawatan awal ke klinik pergigian amat digalakkan, bermula dari umur 6 bulan.

Rawatan

Kanak-kanak yang mempunyai rekahan bibir atau lelangit biasanya memerlukan rawatan khusus oleh pasukan pelbagai disiplin termasuk pakar bedah plastik, pakar ortodontik, pakar pergigian pediatrik, ahli terapi pertuturan, pakar bedah mulut, pakar ENT, dan lain-lain.

Pengurusan bermula dari lahir dengan kaunseling diberikan kepada ibu bapa untuk meyakinkan mereka, menerangkan tentang keadaan yang sebenar dan memberikan nasihat tentang pemakanan yang praktikal. Selepas kanak-kanak itu boleh makan dengan baik dan beratnya bertambah, dia boleh menjalani pembedahan yang pertama.

Bibir akan dibaiki terlebih dahulu beberapa minggu atau beberapa bulan selepas kelahiran, diikuti dengan penutupan lelangit. Di Malaysia, kebanyakan rawatan dilakukan oleh Pakar Bedah Plastik.

Batas alveolus boleh dipulihkan dengan meletakkan graft tulang ke dalam alveolus. Ia membolehkan gigi disusun secara ortodontik. Rawatan ini biasanya bermula pada kegigian campuran, iaitu pada usia 7½ ke 9 tahun, dengan peluasan rahang atas yang sempit untuk persediaan meletakkan graft tulang ke dalam batas alveolus bila berusia 9 tahun atau awal lagi.

Apabila gigi kekal telah tumbuh, rawatan ortodontik yang seterusnya akan menggunakan aplians tetap.

Lebih kurang 25% daripada kanak-kanak dengan rekahan lelangit sebelah, mengalami pertumbuhan rahang atas yang tidak sama dengan pertumbuhan rahang bawah. Jika ini berlaku, kanak-kanak tersebut mungkin memerlukan pembedahan untuk menyusun gigi dan membolehkan rahang atas berkembang.

Akhir sekali, kanak-kanak istimewa ini memerlukan rawatan pemulihan untuk mengganti gigi yang hilang atau kecacatan lain, serta mengawal pergerakan gigi setelah menjalani rawatan ortodontik.

Bagaimana Untuk Meningkatkan Hasil Rawatan?

Kejayaan sesuatu rawatan bergantung kepada penjagaan pergigian yang sihat sepanjang hayat. Kehilangan gigi akan menyebabkan rawatan seterusnya menjadi lebih sukar. Kanak-kanak ini mempunyai risiko tinggi kepada penyakit pergigian tetapi ia boleh dicegah dengan penjagaan mulut yang baik.

Mereka perlu dibawa berjumpa doktor pergigian setiap enam bulan untuk rawatan pencegahan, nasihat pemakanan, serta rawatan pemulihan.

Rawatan Susulan

Bawa anak anda untuk pemeriksaan pergigian secara berkala di klinik-klinik Pakar Pergigian Pediatrik di Malaysia bagi memastikan anak anda mendapat rawatan yang disediakan oleh pihak hospital.

Kumpulan Sokongan Berkaitan

Pertolongan, sokongan moral dan kaunseling boleh di dapati dari kumpulan sokongan ibubapa.(CLAPAM ). CLAPAM adalah singkatan untuk Cleft Lip and Parent Association of Malaysia atau Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia. Mereka merupakan satu kumpulan sukarelawan terdiri dari ibubapa dan profesional seperti pakar bedah plastik, pakar pergian dan ahli terapi pertuturan yang mempunyai pengalaman dan terlibat secara peribadi atau profesinal dengan kanak-kanak yang mengalami rekahan bibir dan lelangit. Mereka bermatlamat membantu kanak-kanak yang di lahirkan dengan kecacatan ini membesar dengan penampilan yang lebih baik, bertutur dengan sempurna dan menyesuaikan diri dengan masyarakat dengan menghadapi dunia dengan senyuman lebar.

Untuk maklumat lanjut, hubungi CLAPAM di :

CLAPAM (Co. No. 5371/93 )
#121, Lot 4-46A, 4th Floor,
Wisma Central, Jalan Ampang,
50450 Kuala Lumpur.
Tel/Fax: 03-21621445
E-mail: clapam@streamyx.com

Semakan Akhir : 20 April 2012
Penulis : Dr. Laila bt. Abdul Jalil
Penterjemah : Dr. Muhammad Farid bin Nurdin
Akreditor : Dr. Che Noor Aini bt. Che Omar 
Penyemak : Dr. Bahruddin b. Saripudin

 

Artikel Berkaitan

Gigi Terimpak

Gigi terimpak didefinisikan sebagai gigi yang tertanam di dalam rahang yang telah melangkaui tarikh normal pertumbuhan gigi.

Penggunaan Penapis Air : Kesan Terhadap Kesihatan Mulut

Semasa memilih alat penapis air, pastikan sistem yang digunakan oleh alat penapis air tersebut. Kita perlu tahu bahawa terdapat sistem penapis air di rumah yang boleh mengurangkan kesan fluorida dan mineral yang lain yang terkandung di dalam air minuman kita seperti sistem penapis air osmosis berbalik (reverse osmosis) dan penyulingan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,237,508

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia