Home > Dewasa > Penyakit > Penyakit Berjangkit > HIV > Rawatan Pencegahan Tuberculosis (TB) Di Kalangan Pembawa/Pesakit Virus “Human Immune Deficiency” (HIV)

Rawatan Pencegahan Tuberculosis (TB) Di Kalangan Pembawa/Pesakit Virus “Human Immune Deficiency” (HIV)

Pengenalan

Rawatan pencegahan TB di kalangan pembawa/pesakit HIV diberikan supaya mereka boleh mengatasi jangkitan TB dan seterusnya tidak mengidap TB aktif.

Mengapa Pesakit HIV Terdedah Kepada Jangkitan TB

Virus HIV mengakibatkan sistem daya tahan seseorang menjadi rendah. Pembawa/pesakit HIV mudah dijangkiti oleh kuman-kuman yang tidak membawa padah jika dibandingkan dengan mereka-mereka yang tiada HIV. Biasanya seseorang yang mempunyai sistem imun yang baik tidak bermasalah untuk menangani kuman TB.

Jangkitan HIV menambah risiko penyakit TB aktif secara signifikan dan pada waktu yang sama, penyakit TB aktif mengakibatkan virus HIV membiak secara mendadak. Risiko tahunan untuk seseorang yang dijangkiti HIV untuk mendapat TB aktif adalah 5-10% setahun.

Rawatan pencegahan TB di kalangan pesakit HIV

Rawatan pencegahan TB boleh diberikan kepada pembawa/pesakit HIV. Ini boleh dilakukan dengan memberi sejenis ubat iaitu isoniazid atau “isoniazid prophylaxis therapy” (IPT). Rawatan dengan isoniazid boleh menurunkan kebarangkalian risiko mendapat aktif TB kepada 33%.

Siapa yang patut layak menerima rawatan pencegahan TB

Pembawa/pesakit HIV yang layak menerima rawatan pencegahan TB adalah mereka-mereka yang tiada TB aktif dan mereka-mereka yang tidak ingkar rawatan.

Kesan sampingan IPT

Kesan sampingan isoniazid ialah pada sistem saraf dan tandanya ialah kebas pada tangan dan kaki. Ini boleh diatasi dengan memberi vitamin B6. Selain dari itu, isioniazid juga boleh memberi sedikit radang kepada organ hati.

Pemantauan Klinikal Semasa Rawatan Pencegahan TB dijalankan

Mereka yang menerima IPT mesti dipantau bagi memastikan pesakit tidak ingkar rawatan disebabkan rawatan IPT akan diberikan dalam tempoh yang lama iaitu selama 6 bulan dan ianya mesti dimakan setiap hari.

Jika seseorang pembawa/pesakit HIV ingkar rawatan, iaitu tidak mematuhi pengambilan ubat isoniazid setiap hari selama enam bulan, risiko untuk rentan terhadap ubat ini adalah tinggi.

Ubat isoniazid adalah salh satu ubat tunggak untuk rawatan TB aktif dan jika seseorang itu rentan terhadap isoniazid, maka adalah sukar untuk merawat TB aktif.

 

Semakan Akhir : 19 September 2013
Penulis : Dr. Norhaya bt. Mohd Razali