A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Bidang Kepakaran
  6. /
  7. Ortodontik
  8. /
  9. Rawatan Multidisiplin Ortodontik Dan...

Rawatan Multidisiplin Ortodontik Dan Pembedahan

Tulang rahang perlu berada di kedudukan yang betul agar kedudukan gigi dan gigitan dapat diperbaiki. Jika saiz rahang berbeza dengan ketara, maka rawatan ortodontik sahaja tidak dapat memperbetulkan gigitan.

Pembedahan Tulang Rahang (Pembedahan Ortognatik)

Apakah yang dimaksudkan dengan pembedahan tulang rahang?

Pembedahan tulang rahang adalah pembedahan untuk menggerakkan tulang rahang ke kedudukan yang betul agar gigi dapat bertemu dengan baik.

Siapakah yang memerlukan pembedahan tulang rahang ini?

Sebahagian kecil individu mungkin mengalami ketidak seimbangan rahang dari segi saiz dan kedudukan(Gambar. 1). Beberapa keadaan ini boleh mempengaruhi individu-individu tersebut dari sudut:

  1. Keadaan paras rupa dan kegigian yang boleh menyebabkan tekanan psikologi dan mempengaruhi kualiti kehidupan.
  2. Tidak boleh mengigit dengan betul dan kesukaran untuk mengunyah makanan tertentu.
  3. Trauma pada gusi dan lelangit
  4. Masalah pada otot-otot rahang dan sendi-sendi rahang
  5. Masalah pertuturan

Tulang rahang perlu berada di kedudukan yang betul agar kedudukan gigi dan gigitan dapat diperbaiki. Jika saiz rahang berbeza dengan ketara, maka rawatan ortodontik sahaja tidak dapat memperbetulkan gigitan. Pembedahan rahang diperlukan untuk menggerakkan rahang ke kedudukan yang betul agar kegigian atas dan bawah dapat bertemu dengan betul.

 

 

Gambar.1a Sebelum pembedahan

 

Gambar. 1b Selepas pembedahan

Gambar 1. Gambar pesakit sebelum dan selepas pembedahan rahang

Adakah saya perlu memakai pendakap gigi jika saya memerlukan pembedahan rahang?

Jika kedua-dua rahang perlu diubah ke kedudukan yang betul, maka adalah penting kegigian anda juga disusun agar kegigian atas dan bawah dapat bertemu selepas pembedahan rahang .(Gambar.2).

Pendakap gigi perlu dipakai sebelum pembedahan rahang kerana ia dapat memberi kedudukan gigi yang paling betul(koordinasi rahang) sebelum pembedahan(Gambar.3).


Gambar. 2 Gigitan sebelum pembedahan

Berapa lamakah saya perlu memakai pendakap gigi?

Secara amnya pesakit yang memerlukan pembedahan rahang akan memakai pendakap gigi untuk jangkamasa yang lebih lama berbanding pesakit yang tidak memerlukan pembedahan.

Lazimnya ia mengambil masa 24-36 bulan tetapi ia bergantung juga pada kadar keterukan sesuatu kes tersebut. Masa keseluruhan rawatan akan lebih lama jika kegagalan dan pembatalan temujanji atau tertanggal alatan pendakap gigi yang kerap berulang.

Adakah pendakap gigi akan ditanggalkan sebelum pembedahan?

Kebiasaannya TIDAK.

Pendakap gigi akan berada di dalam mulut semasa dan selepas pembedahan.

Pendakap gigi diperlukan bagi membantu Pakar Bedah menentukan kedudukan rahang yang betul semasa pembedahan. Selepas pembedahan, pendakap gigi ini pula diperlukan supaya Pakar Ortodontik dapat memperelokkan gigitan.


Gambar. 3 Gigitan selepas pembedahan

Adakah saya boleh makan secara biasa?

Semasa rawatan ortodontik, adalah penting untuk anda menjaga kebersihan gigi dan kesempurnaan pendakap gigi anda. Bagi mengelakkan kerosakan pada gigi dan pendakap gigi, anda dinasihatkan untuk tidak makan makanan seperti:

  • Gula, manisan keras, gula getah mengandungi gula, coklat dan lain lain.
  • Minuman berkarbonat termasuk minuman diet dan jus buah-buahan berlebihan.
  • Makanan keras yang akan merosakkan pendakap gigi seperti buah epal ranggup, tulang, kerepek atau keropok.

Makanan keras perlu dipotong dahulu sebelum memakannya.

Selepas pembedahan, anda perlu mengambil makanan cecair yang untuk beberapa minggu pertama. Pada hari pembedahan, membuka dan menutup mulut adalah secara normal, tetapi bukaan mulut terhad dengan gegelang getah dan kebengkakan. Anda digalakkan untuk makan dan minum bermula dari hari pertama pembedahan dan secara beransur dari makanan cecair, bubur seterusnya makanan biasa dalam masa beberapa minggu.

Apakah kesan-kesan sampingan selepas pembedahan?

  • Bengkak dan lebam selepas pembedahan adalah kesan biasa berlaku dan ianya akan menyusut dalam masa 2-3 minggu pertama.
  • Rasa kebas juga biasa dirasai di bibir bawah dan dagu untuk beberapa minggu selepas pembedahan. Walaubagaimanapun ada sebilangan kecil pesakit mengalami rasa kebas yang berkekalan di kawasan bibir bawah dan dagu tersebut.
  • Anda mungkin perlu mengambil cuti dari bekerja atau belajar paling kurang selama 2 minggu.

Apakah risiko-risiko pembedahan tulang rahang?

  1. Kerosakan pada saraf – Selepas pembedahan, kebiasaannya pesakit akan merasa kebas di bibir bawah. Rasa kebas berkekalan adalah sangat jarang berlaku, tetapi terdapat setengah bukti menunjukkan ia boleh memberi impak pada kehidupan seharian pesakit tersebut.
  2. Kerosakan pada gigi – Jika gigi tidak dibersihkan dengan sebaiknya, atau terlalu banyak mengambil makanan serta minuman bergula dan berasid semasa rawatan ortodontik, maka permukaan gigi akan mengalami kerosakan kekal.
  3. Relaps – Gigi dan rahang mungkin mengalami relaps (bergerak ke kedudukan asal) secara sepenuhnya atau sebahagian selepas rawatan tamat. Pesakit perlu menggunakan alat pemegang(retainer) untuk mengurangkan pergerakan gigi ini.

Adakah saya akan kelihatan berbeza selepas pembedahan?

Anda akan kelihatan berbeza mengikut kadar perubahan yang digerakkan. Berapa banyak perbezaan itu pula, bergantung kepada berapa kadar jarak tulang rahang yang telah digerakkan.

Pembedahan tulang rahang(ortognatik) bertujuan untuk mengimbangi rangka tulang muka dan rahang dagu agar wajah berada didalam keadaan seimbang dan sepadan supaya menghasilkan rupa paras cantik seimbang dan gigi yang dapat menguyah dengan betul. Majoriti pesakit sangat gembira dengan hasilnya walaupun mungkin terdapat kesukaran semasa rawatan.

Berapa kerap saya memerlukan temujanji?

Anda memerlukan temujanji yang kerap dengan Pakar Ortodontik, selalunya pada jarak masa antara 6-8 minggu sekali agar pendakap gigi dapat dilaraskan.

Perlukah saya memakai alat pemegang(retainer) selepas pendakap gigi dibuka?

Ya, anda perlu memakai alat pemegang(retainer) untuk menghalang susunan gigi anda dari berubah ke kedudukan asal semula. Jika tidak, segala usaha memakai pendakap gigi akan sia-sia.

Susunan gigi boleh bergerak semula ke kedudukan asal. Ini dipanggil sebagai relaps.

Dengan memakai retainer dalam jangka masa yang lama, kita dapat mengurangkan relaps. Memakai alat pemegang (retainer), pada jangka masa lebih lama juga anda dapat memastikan gigi anda berada dalam keadaan lurus lebih lama.

Adakah pilihan rawatan lain?

YA, anda tidak perlu menjalani pembedahan. Tiada sesiapa mahu anda menjalani pembedahan kecuali ANDA yang mahu. Banyak terdapat perkembangan-perkembangan terbaru dalam perubatan seiring perubahan masakini, tetapi buat masa ini, kaedah ini merupakan kaedah yang paling berjaya dan berkesan bagi membetulkan keadaan ini.

Rujukan

  1. British Orthodontic Society, Patient Information Leaflet on Orthognathic Surgery
  2. Lee EGL, Ryan FS, Shute J, Cunningham SJ (2011)
    1. The Impact of Altered Sensation Affecting the Lower Lip After Orthognathic Treatment, Journal of Oral and Maxillofacial Surgery, 69, 431-445
    2. Ritersma J
    3. Patient information and patient preparation in orthognathic surgery: The role of an information brochure a medical audit study
    4. Journal of Cranio-Maxillofacial Surgery, 17, 278-279

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Evelyn Lee Gaik Lyn
Penterjemah : Dr. Hjh. Fatimah bt. Abdullah
Akreditor : Dr. Ali Hussin b. Ibrahim
Penyemak : Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin

 

Artikel Berkaitan

Alat Pemegang

Alat Pemegang adalah aplians yang dibuat dan dipakai selepas rawatan ortodontik aktif selesai.

Aplians Tetap

Aplians Tetap adalah salah satu jenis pendakap gigi. Ia adalah pendakap gigi yang paling popular pada masa ini. Hal ini demikian kerana pergerakan gigi dapat dilakukan dengan lebih efektif dengan pendakap ini dan pesakit juga menggemarinya.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,641,867

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia