A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Radioterapi
  6. /
  7. Kesan Sampingan Rawatan
  8. /
  9. Radioterapi: Reaksi Kulit &...

Radioterapi: Reaksi Kulit & Jagaan

Setiap orang menerima radioterapi pancaran eksternal akan mengalami beberapa perubahan kulit dalam kawasan rawatan

Setiap orang menerima radioterapi pancaran eksternal akan mengalami beberapa perubahan kulit dalam kawasan rawatan. Perubahan kulit atau reaksi berlaku oleh sebab radiasi menyebabkan suatu ketidakseimbangan di antara penghasilan sel baru yang normal dan sel yang rosak akibat radiasi.

Bilakah Reaksi Kulit Berlaku?

Kesan sampingan awal ialah perubahan atau reaksi tisu normal yang berlaku semasa rawatan radiasi. Kebanyakan reaksi kulit berlaku pada minggu kedua rawatan radiasi. Ia mungkin berterusan sehingga 1 – 2 minggu selepas rawatan berhenti. Pemulihan kulit mungkin mengambil masa tambahan 2– 3 minggu.

Apakah Simptom Reaksi Kulit Awal?

Simptom reaksi kulit awal yang mungkin berlaku di kawasan rawatan adalah seperti:

  • Kulit menjadi merah,panas sedikit dan terasa seperti dicucuk.
  • Kulit menjadi kering, tegang, gatal dan menggelupas. Rambut gugur akibat kerosakan akar rambut dan kulit kurang berpeluh disebabkan kerosakan kelenjar peluh oleh radiasi.
  • Kulit menjadi bertambah merah, lembap, sedikit bengkak dan melecur. Kulit mungkin melecet kerana bergeser antara satu sama lain (lipatan kulit) seperti kawasan di bawah payudara, bahagian pubis dan pangkal paha.

Apakah yang boleh memburukkan reaksi kulit?

Reaksi kulit biasanya lebih teruk apabila jumlah dos radiasi yang diterima oleh tisu kulit adalah lebih tinggi dan kawasan kulit normal di kawasan rawatan adalah besar. Beberapa keadaan yang lain (rujuk grafik) boleh membuat reaksi kulit itu bertambah teruk.

Bagaimana Menjaga Kulit Dan Mengurangkan Reaksi?

  • Pastikan kawasan rawatan bersih dan kering.
  • Cuci perlahan-lahan dengan air suam dan sabun yang tidak mengandungi pewangi.
  • Mengelap kulit dengan tuala lembut dan sapu krim pelembap yang dipreskripsi oleh pakar onkologi.
  • Pakai pakaian longgar, berkain lembut (kapas) mengelak geseran dengan kulit.
  • Kuku jari tangan disimpan pendek supaya tidak mencalar kawasan kulit berkenaan.
  • Guna pencukur elektrik dan bukan pisau cukur untuk mencukur bagi mengelak luka.
  • Tutup luka dengan pembalut yang sesuai bagi mencegah infeksi.
  • Lindungi kawasan rawatan daripada sinaran matahari; guna payung, pakaian, pakai skarf atau topi yang diperbuat daripada kain lembut.
  • Jangan gosok atau cuci kawasan rawatan secara kasar dengan span mandi.
  • Jangan sapu apa-apa losen, krim, bedak dan deodoran yang tidak dipreskripsikan oleh pakar onkologi.
  • Jangan guna losen sebelum dan selepas bercukur, minyak wangi atau kosmetik di kawasan yang berkenaan.
  • Jangan guna pad panas atau sejuk di kawasan rawatan.
  • Jangan mengopek kulit yang terkelupas atau pecah; biar ia tanggal secara semulajadi.
  • Jangan pakai barangan hiasan yang ketat di kawasan berkaitan.
  • Jangan guna pita perekat (pembalut luka) di atas kawasan kulit berkenaan.

 

Dengan penjagaan sempurna luka terbuka mengambil masa 1 – 2 bulan untuk pulih sepenuhnya. Kulit baru di kawasan rawatan mungkin kelihatan lebih gelap warnanya, lebih nipis dan lebih sensitif daripada lain yang di sekelilinginya.

 

Adakah Apa-apa Kesan Sampingan Lewat?

Kesan sampingan lewat merupakan reaksi yang mungkin berlaku beberapa bulan atau bertahun-tahun selepas rawatan radiasi berhenti. Reaksi kulit lewat jarang berlaku kerana teknik radioterapi terkini boleh meminimumkan reaksi kulit.

Contoh reaksi lewat adalah seperti kulit menjadi tebal (fibrosis) dan kulit berbintik merah disebabkan saluran darah kecil mengembang (telangiectasia). Keadaan kulit ini mungkin mengambil masa beberapa tahun untuk menjadi seperti kulit asal.

Radioterapi dirancang khusus untuk setiap individu, dan mengambil kira kesan radiasi atas tisu normal di kawasan rawatan. Namun, setiap orang adalah unik dan bertindak balas secara berbeza terhadap rawatan radiasi.

Dapatkan maklumat berkaitan kesan sampingan spesifik yang mungkin berlaku dengan rawatan anda dari pakar onkologi radiasi dan pegawai terapi sebelum rawatan bermula. Sentiasa maklum kepada mereka apa yang anda sedang alami dan bagaimana anda merasai supaya mereka boleh membantu anda meminimumkan simptom, mengurangkan kebimbangan dan menangani dengan lebih baik.

Rujukan

  1. http://www.cancer.org/treatment/treatmentsandsideeffects/treatmenttypes/radiation/understandingradiationtherapyaguideforpatientsandfamilies/understanding-radiation-therapy-common-side-effects
  2. www.cancer.gov
  3. Managing radiation induced skin reactions – A toolkit for healthcare professionals. 2011
  4. Imej daripada pembentangan slaid Suzanne So-Shan Mak, Nurse Specialist Department of Clinical Oncology, Prince of Wales Hospital
  5. Imej daripada pembentangan slaid Aishah SA. Side effects of Radiotherapy and Patient care.

 

Semakan Akhir : 26 Mei 2017
Penulis : Sarah Lee Abdullah
Akreditor : Dr. Ros Suzana binti Ahmad Bustamam

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,052,958

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia