A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Radiografi Pergigian

Pengenalan

Radiografi pergigian melibatkan penggunaan sinar-x bagi menghasilkan imej (radiograf) bahagian dalam dan kawasan yang terlidung pada gigi dan tulang rahang (maksila dan mandibel).

Radiograf yang dipesan atau diambil oleh doktor gigi digunakan bagi membantu:

  1. Mendiagnosa dan memantau masalah pada gigi (contohnya gigi berlubang / tampalan yang pecah dsb.) dan tulang rahang (contohnya jangkitan atau kanser dsb.)
  2. Menjalankan sesetengah prosedur pergigian (contohnya rawatan kanal akar / cabutan gigi yang tertanam dalam tulang dsb.) dan memantau kejayaan rawatan.

Jenis-jenis Radiograf Pergigian

Terdapat pelbagai jenis radiograf pergigian yang diguna untuk melihat aspek yang berbeza pada gigi dan tulang rahang. Jenis radiograf yang kerap diambil adalah:

  1. Radiograf dalam mulut seperti Periapikal (Gambar 1a), Bitewing (Gambar 1b) dan radiograf Oklusal (Gambar 1c) di mana filem diletakkan di dalam mulut pesakit (Gambar 1).

    Gambar 1

    Gambar 1a : Radiograf Periapikal

    Gambar 1b : Radiograf Bitewing

    Gambar 1c : Radiograf Oklusal
  2. Radiograf luar mulut seperti radiograf Panoramik (Gambar 2a) diambil dengan mesin yang khusus dan filem diletakkan di luar mulut pesakit (Gambar 2).


    Gambar 2

    Gambar 2a : Radiograf Panoramik
  3. Terdapat jenis radiograf pergigian baru diperkenalkan yang sangat berguna bagi penggunaan yang khusus iaitu Cone Beam CT Scan (Gambar 2b).
    Gambar 2b : Cone Beam CT Scan

Bahaya-Bahaya Berkaitan Pengambilan Radiograf Pergigian

Pendedahan terhadap dos sinar-x yang besar boleh merosakkan sel manusia yang sihat. Risiko kanser boleh terjadi kepada pesakit dan risiko kecacatan kelahiran kepada ibu mengandung jika terdedah kepada sinar-x.

Walau bagaimanapun, setakat ini tiada kajian yang menunjukkan risiko peningkatan kanser jika menggunakan dos sinar-x yang digunakan untuk tujuan diagnostik4 .

Bagi ibu yang mengandung, fetus yang sedang membesar sangat sensitif terhadap sinar-x dalam 2 minggu pertama. Dari minggu 2 hingga 18, fetus masih sensitif tetapi kurang daripada peringkat lebih awal. Di antara minggu 18 hingga kelahiran, pendedahan kepada sinar-x tidak membawa kesan kecuali jika dos pendedahan adalah sangat besar5. Anggota pergigian perlu selalu bertanya pada pesakit wanita khususnya wanita dalam peringkat kesuburan sama ada mengandung atau tidak. Radiograf pergigian tidak sepatutnya diambil pada wanita yang subur yang mungkin mengandung kerana pada awal kehamilan, embrio yang sedang membesar sangat sensitif pada sinar-x.

Radiograf pergigian boleh diambil pada ibu mengandung khususnya dari tempoh kehamilan minggu ke-18 dan ke atas. Jika radiograf perlu juga diambil, ia mestilah dengan alasan yang tertentu dan langkah berjaga-jaga hendaklah diambil bagi melindungi embrio atau fetus.

Dalam perkhidmatan pergigian, dos radiasi yang dipancarkan oleh mesin radiografik adalah rendah khususnya peralatan digital yang moden. Namun begitu, anggota pergigian perlu faham kesan radiasi pada badan adalah bersifat kumulatif dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Radiologikal Malaysia telah mengeluarkan arahan bahawa setiap pendedahan terhadap radiasi ion untuk tujuan diagnostik dan rawatan mestilah dengan sebab yang kukuh.

Perlindungan Kepada Pesakit dan Anggota Pergigian.

Penggunaan peralatan radiografik secara selamat dan efektif sangat penting bagi melindungi pesakit dan anggota pergigian.

Pengamal pergigian yang bertugas, bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan radiasi di fasiliti pergigian dan tanggungjawabnya adalah :

  • Memastikan peralatan radiografik pergigian mematuhi keperluan undang-undang
  • Menetapkan tempat kerja yang selamat
  • Menetapkan protokol kerja yang betul dan bersesuaian
  • Memastikan peralatan berfungsi dan diselenggara dengan baik
  • Memastikan hanya anggota yang dilatih menggunakan peralatan tersebut.
  1. Peraturan BerkaitanPeraturan-peraturan Lesen Tenaga Atom (Asas Keselamatan Perlindungan Radiasi) 2010 adalah diguna pakai untuk semua aktiviti yang melibatkan radiasi ion.

    Antara peraturan-peraturan tersebut yang melibatkan Klinik Pergigian adalah :

    1. Peraturan (42) menyatakan bahawa pengamal pergigian perlu memastikan sama ada radiografi diperlukan sebelum pendedahan dijalankan ke atas pesakit.
    2. Peraturan (17) dan (18) melibatkan tanggungjawab pengamal pergigian untuk memantau radiografi di tempat kerja3.
  2. Kawasan di mana radiograf pergigian diambilRadiograf pergigian perlu diambil pada bilik khas atau kawasan yang mematuhi undang-undang.

    Dinding dan pintu perlu dibina pelindung khas (ketebalan pelindung khas mestilah 1/16 inci plumbum atau sepadan dengannya).

  1. Perlindungan peribadi untuk individu yang terdedah kepada sinar-x

    Pakaian pelindung seperti apron plumbum dan kolar kelenjar tiroid digunakan untuk melindungi organ-organ dan bahagian badan yang penting. Kolar tiroid digunakan apabila kelenjar tiroid sebaris dengan garis utama sinar radiasi dari mesin.

    Apabila tidak digunakan, pakaian pelindung ini perlu disimpan dengan betul pada penggantung yang sesuai dan tidak dilipat. Keadaannya mesti diperiksa secara rutin untuk mengesan sebarang kerosakan.

    Pakaian pelindung perlu digunakan pada pesakit yang terdedah kepada radiasi dan sesiapa sahaja yang memberi sokongan fizikal kepada pesakit semasa pengambilan radiograf (Gambar 3).


    Gambar 3

  2. Perlindungan anggota pergigian

    Anggota pergigian sebaik-baiknya berada di luar bilik pengambilan radiograf semasa radiograf diambil.

    Jika perlu berada di dalam bilik tersebut, mereka sepatutnya berdiri di belakang panel pelindung atau sekurang-kurangnya memakai apron pelindung plumbum.

    Anggota pergigian yang kerap menggunakan radiograf hendaklah memakai lencana filem dosimeter (Gambar 4) secara berterusan dan mengambil rekod jumlah pendedahan radiasi. Ia bertujuan untuk memantau pendedahan kumulatif terhadap radiasi.


    Gambar 4

Kesimpulan

Anggota pergigian tidak sepatutnya mengambil ringan dan cuai semasa menguruskan peralatan radiografik walaupun dos radiasi yang digunakan adalah rendah. Walaupun risikonya rendah, tetapi ia masih berbahaya, khususnya kesan radiasi yang terkumpul dalam badan dari semasa ke semasa. Peralatan radiografik perlulah diselenggara dengan baik dan undang-undang serta peraturan-peraturan berkaitan perlu dipatuhi setiap masa. Dalam radiografi pergigian prinsip ALARA (As Low As Resonably Achievable) iaitu penggunaan secara minimum dan berkesan amat penting diingati dan diamalkan secara berterusan.

Rujukan

  1. Ministry of Science, Technology and Innovation, Malaysia. Malaysian Institute for Nuclear Technology Research Radiation Awareness. 1st ed. 2005, pp 13-23
  2. Abbott P. Are Dental Radiograph Safe? Aust Dent J 2000 ;45:(3):208-13
  3. Laws of Malaysia Act 304 – Atomic Energy Licensing Act 1984
  4. E-Medicine Health – Understanding X-rays http://www.emedicinehealth.com/understanding_x-rays/article_em.htm
  5. Centers for Disease Control and Prevention – Radiation and Pregnancy http://www.bt.cdc.gov/radiation/prenatal.asp
Semakan Akhir : 25 April 2014
Penulis : Dr. Mohd. Rashid b. Baharon
Penterjemah : Dr. Mustaffa b. Jaapar
Akreditor : Dr. Mukhriz b. Hamdan
Penyemak : Dr. Kok Tuck Choon

 

Artikel Berkaitan

Pembedahan Periodontium

Rawatan keseluruhan pesakit dengan karies dan penyakit periodontal, termasuk dengan penyakit yang berkaitan (misalnya lesi pulpal dan lesi periapikal, pergerakan gigi, kehilangan gigi) boleh dibahagikan ke dalam tiga fasa yang berbeza tetapi sering bertindih.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 224,069,829

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia