A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Rabun Mata

Apakah maksud rabun mata?

Cahaya melalui kornea (bahagian lutsinar di mata) dan kanta sebelum jatuh ke atas retina lapisan yang melitupi bahagian belakang mata dan mengandungi urat saraf. Mata perlu membiaskan cahaya supaya imej yang jelas dapat difokuskan ke atas retina. Rabun mata bermaksud mata tidak dapat membiaskan cahaya dengan baik dan ini menyebabkan penglihatan menjadi kabur.

Jenis-jenis rabun mata

  1. Rabun Jauh

Ini adalah rabun mata yang paling lazim di kalangan kanak-kanak dan remaja serta boleh disebabkan oleh keturunan. Kanak-kanak yang rabun jauh memiliki bentuk kornea yang terlalu melengkung atau bola mata yang terlalu panjang. Ini akan menyebabkan cahaya difokuskan ke bahagian hadapan retina dan bukannya ke atas retina seperti yang sepatutnya.

alt
Gambarajah menunjukkan imej mata miopia

Rabun jauh biasanya dapat dikesan ketika kanak-kanak memulakan alam persekolahan, seawall usia 6 tahun. Pada umur remaja (ketika tubuh badan membesar dengan cepat), rabun jauh mungkin akan menjadi lebih serius. Walau bagaimanapun, kadar kerabunan ini akan menjadi lebih stabil pada umur 20-40 tahun.

  1. Rabun Dekat

Ini terjadi apabila bentuk kornea kurang melengkung atau bola mata terlalu pendek dan menyebabkan cahaya bertumpu ke bahagian belakang retina. Bayi dan kanak-kanak kecil lebih cenderung untuk rabun dekat. Keadaan ini akan menjadi lebih baik apabila mata semakin membesar dan menjadi lebih panjang.

alt
Gambarajah menunjukkan imej mata hiperopia
  1. Rabun Silau (astigmatism)

Ini terjadi apabila bentuk kornea tidak sekata dan membiaskan cahaya ke arah yang berlainan. Ia boleh wujud bersama jenis rabun mata yang lain.

alt
Gambarajah menunjukkan imej mata astigmatisma

Tanda-tanda rabun mata

Rabun jauh (myopia)

  • Objek dekat boleh dilihat dengan jelas tetapi objek jauh menjadi kabur.
  • Kanak-kanak mungkin akan mengecilkan mata apabila cuba melihat objek yang jauh.
  • Kanak-kanak sekolah tidak dapat melihat tulisan di papan hitam dengan jelas.
  • Kanak-kanak mungkin meletakkan buku dekat ke muka ketika membaca.

Rabun dekat (hyperopia)

  • Objek dekat menjadi kabur tetapi objek jauh boleh dilihat dengan jelas.
  • Kanak-kanak mengalami masalah ketika membaca atau menulis.
  • Kanak-kanak mungkin akan mengadu mata menjadi penat dan sakit kepala setelah membaca selama beberapa jam.
  • Kanak-kanak dengan rabun dekat juga boleh mengalami juling.

Rabun Silau (Astigmatism)

  • Objek dekat dan jauh kelihatan tidak sempurna dan kabur.
  • Kanak-kanak akan mengadu mata menjadi penat dan sakit kepala.
  • Penglihatan yang kabur ini mungkin lebih serius dalam arah yang tertentu sahaja.
  • Kanak-kanak biasanya boleh melihat garisan menegak lebih jelas dari garisan melintang, atau kadang-kala sebaliknya.

Selain kabur penglihatan, apakah masalah lain yang mungkin timbul?

  • Mata merasa penat dan sakit kepala.
  • Isu keselamatan : contohnya, apabila menunggang basikal, kanak-kanak yang mempunyai masalah rabun mata yang serius boleh membahayakan dirinya dan orang lain.
  • Tidak dapat hidup seperti kanak-kanak normal dan mungkin menjejaskan kualiti hidup.
  • Rabun jauh yang terlalu serius akan meningkatkan risiko retina lekang dari bahagian mata (retinal detachment) dan ini boleh menyebabkan buta.
  • Rabun yang tidak dirawat semasa kanak-kanak boleh menyebabkan rabun kekal (ambliopia).

Apakah rawatan yang ada?

  • Cermin mata atau kanta lekap adalah rawatan biasa untuk masalah ini.
  • Kanak-kanak lebih sesuai menggunakan cermin mata.
  • Kanak-kanak yang lebih besar mungkin boleh menggunakan kanta lekap jika mereka boleh memakai dan menanggalkannya dengan baik. Mereka juga harus menanggalkan dan mencuci kanta lekap mengikut saranan doktor atau pegawai optometris.
  • Pembedahan untuk membetulkan rabun mata tidak digalakkan untuk kanak-kanak kerana mereka masih membesar.
Semakan akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. R. Sukumar a/l Rajaretnam
Penyemak : Dr. Salmah bt. Othman

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,238,575

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia