Home > Dewasa > Bedah Plastik & Rekonstruktif > Prosedur Sedut Lemak (Liposuction)

Prosedur Sedut Lemak (Liposuction)

Pengenalan

Prosedur sedut lemak (“liposuction”) adalah merupakan salah satu prosedur kosmetik yang banyak dilakukan di seluruh dunia. Persatuan Pembedahan Plastik Amerika menganggarkan lebih dari 205,000 prosedur sedut lemak telah dijalankan pada tahun 2011 di negara itu sendiri. Ramai kaum wanita dan tidak kurang juga kaum lelaki yang sanggup membelanjakan ribuan wang ringgit untuk mendapatkan bentuk badan yang cantik.

Bagaimana Ia Dilakukan

Prosedur sedut lemak telah lama diperkenalkan dalam dunia perubatan iaitu sejak tahun 1978 dan mula mendapat sambutan sekitar tahun 1980. Teknik yang dilakukan pada masa tersebut agak agresif dan pesakit perlu dibius sepenuhnya. Lemak yang berlebihan akan disedut menggunakan kanula (“Canula”) bersaiz besar yang ditusuk melalui kulit. Ini akan menyebabkan trauma pada tisu seperti lebam, pendarahan, kulit yang menggerutu serta permukaan kulit yang tidak sekata.

Walaupun prosedur ini masih lagi dilakukan secara tradisional, beberapa penambahbaikan dari segi teknik telah dilakukan untuk mengurangkan kecederaan pada tisu dan kadar sembuh yang cepat. Pada hari ini prosedur sedut lemak adalah lebih kepada prosedur yang kurang invasif ( “minimally invasive procedure”). Ada beberapa peralatan di pasaran yang telah digunakan oleh pakar-pakar pembedahan seperti “Laser lipolysis”, Vaser lipo”, “radiofrequency” dan “water-jet liposuction”. Setiap teknik ini mempunyai kelebihannya masing-masing. Secara amnya parut pada kulit adalah lebih kecil kerana saiz kanula yang digunakan juga adalah lebih kecil. Teknik sedut lemak tidak perlu dilakukan secara agresif seperti dahulu. Kecederaan pada tisu juga sangat minima dan dengan itu jangkamasa untuk sembuh menjadi lebih singkat. Prosedur ini juga boleh dilakukan dengan pembiusan setempat dan dapat mengurangkan komplikasi berkaitan bius umum.


Gambarajah 1: Prosedur sedut lemak yang menggunakan teknik “smart lipo”

 


Gambarajah 2: Ketulan lemak di bawah kulit yang boleh dibuang melalui prosedur sedut lemak

Komplikasi

Seperti prosedur kosmetik yang lain, prosedur sedut lemak juga boleh mengakibatkan komplikasi samada bersifat sementara atau serius sehingga membawa maut. Komplikasi yang boleh berlaku adalah seperti berikut:

  • Jangkitan kuman. Jangkitan kuman adalah risiko dalam setiap pembedahan dan boleh berlaku selepas prosedur sedut lemak. Pakar pembedahan akan memberi antibiotik kepada individu yang menjalani prosedur ini. Walaubagaimanapun ianya tidak akan menjamin jangkitan tidak akan berlaku. Pastikan luka pada kulit sentiasa bersih supaya jangkitan tidak merebak ke tisu dalaman. Jangkitan di dalam tisu adalah sangat serius dan sukar di rawat. Jangkitan seperti “necrotising fasciitis” akan menyebabkan kulit bernanah dan mati.
  • Embolisma. Embolisma berlaku apabila cebisan lemak terlerai dan masuk ke dalam saluran darah yang tercedera semasa prosedur sedut lemak. Cebisan lemak tersebut akan mengikuti pengaliran darah ke paru-paru, otak atau mengakibatkan penyumbatan saluran darah. Keadaan ini akan menyebabkan sesak nafas atau kecacatan kekal seperti strok. Kesan ini juga boleh menyebabkan kematian mengejut.
  • Kecederaan pada organ dalaman. Semasa melakukan prosedur sedut lemak, pakar pembedahan tidak dapat melihat hujung kanula yang digunakan kerana ianya berada di bawah kulit. Hujung kanula tersebut boleh menembusi dinding otot dan seterusnya tisu dalaman seperti usus, hati, paru-paru, pembuluh darah besar dan sebagainya. Risiko ini lebih tinggi semasa prosedur sedut lemak di bahagian perut. Sekiranya ia berlaku pembedahan perlu dilakukan untuk memperbaiki kebocoran atau pendarahan dan mengelakkan komplikasi seperti kematian.
  • Pengumpulan serum (“Seroma”).  Serum atau cecair berwarna kekuningan boleh berkumpul di kawasan di mana lemak telah disedut keluar. Pakar pembedahan akan memastikan pesakit menggunakan pakaian ketat yang khas selepas prosedur dijalankan supaya serum tidak berkumpul.
  • Kecederaan pada saraf kulit. Pesakit boleh merasa kebas atau sensitif pada kawasan yang terlibat. Ianya boleh bersifat sementara atau kekal.
  • Lebam. Kesan lebam atau bengkak boleh berlaku dan mungkin ketara sehingga beberapa minggu atau bulan.
  • Kulit mati. Kulit pada bahagian yang telah disedut lemak boleh mati kerana gangguan pengaliran darah. Apabila ianya berlaku kulit tersebut akan berubah kepada warna gelap dan tertanggal. Ianya juga memberi risiko jangkitan kuman.
  • Kelecuran. Prosedur sedut lemak menggunakan teknik ultrasound boleh menyebabkan kelecuran kerana haba yang dihasilkan terlalu panas.
  • Ketidakseimbangan cecair badan. Sejumlah cecair akan dimasukkan ke dalam tisu di mana lemak akan disedut. Ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan cecair di dalam badan pesakit. Cecair ini boleh berkumpul di dalam paru-paru atau menyebabkan kegagalan jantung atau buah pinggang.
  • Kesan toksik ubat bius. Tanda-tanda akibat kesan toksik adalah seperti sakit kepala, resah, separuh sedar, telinga terasa berdengung, percakapan tidak lancar, lidah terasa pahit, kebas pada bibir dan lidah, menggigil, kekejangan pada otot serta sawan. Kesan toksik yang teruk boleh menyebabkan denyutan jantung terhenti dan seterusnya kematian.
  • Kematian berkaitan prosedur sedut lemak.  Banyak kes kematian yang telah dilapurkan terutama prosedur yang dilakukan oleh pengamal yang tidak berkelayakan.
    • Prosedur sedut lemak adalah merupakan prosedur pembedahan. Walaupun teknik penambahbaikan seperti kurang invasif, komplikasi yang serius masih boleh berlaku dan menyebabkan kematian. Lapuran menunjukkan tiga kes kematian akan berlaku dalam setiap 100,000 prosedur sedut lemak yang dilakukan. Ada juga lapuran yang mengatakan risiko kematian yang lebih tinggi iaitu 20 hingga 100 kematian dalam setiap 100,000 prosedur yang dijalankan. Risiko kematian juga akan meningkat sekiranya prosedur sedut lemak dijalankan serentak bersama prosedur pembedahan yang lain.

Siapakah Yang Sesuai Menjalani Prosedur Sedut Lemak

Tidak semua orang sesuai untuk menjalani prosedur ini. Prosedur sedut lemak juga bukan cara untuk menurunkan berat badan. Pakar pembedahan akan menjalankan pemeriksaan klinikal untuk memastikan individu yang sesuai. Individu yang mempunyai index jisim badan (“body mass index”) yang kurang dari 30,  mempunyai berat badan yang normal atau hampir normal adalah sesuai untuk menjalani prosedur sedut lemak. Walaupun faktor usia tidak menjadi penghalang untuk prosedur ini, individu yang telah lanjut usia akan mengalami masalah kulit yang kendur selepas prosedur sedut lemak kerana keanjalan kulit telah hilang. Ini akan menghasilkan kesan estetik yang tidak memuaskan. Pengidap kencing manis atau pesakit yang mengalami masalah pengaliran darah tidak sesuai untuk menjalani prosedur ini.

Rujukan

  1. Liposuction.www.fda.gov/MedicalDevices../Liposuction
  2. Liposuction. Cosmetic Surgery and Beauty. Issue 4, 2012. Page 104-106

 

Semakan Akhir : 16 Januari 2015
Penulis : Dr. Salina bt. Ibrahim
Akreditor : Dr. Normala b. Hj Basiron

 

(Visited 862 times, 2 visits today)