Home > Kesihatan Pergigian > Produk Penjagaan Kesihatan Mulut: Ubat Kumur

Produk Penjagaan Kesihatan Mulut: Ubat Kumur

Apa itu ubat kumur?

  • Ubat kumur adalah cecair atau larutan yang digunakan untuk berkumur atau membersih mulut.  Ubat kumur biasanya disyorkan oleh doktor gigi atau doktor untuk tujuan tertentu. Ubat kumur boleh didapati di hospital, farmasi atau pasaraya.

Bilakah pengunaan ubat kumur disyorkan?

Ubat kumur biasanya disyorkan atas sebab:

  • Mengawal jangkitan bakteria atau kulat dalam mulut
  • Sebagai tambahan kepada pemberusan gigi
  • Menggantikan pemberusan gigi selepas pembedahan mulut atau tisu trauma
  • Untuk kesan sementara kesegaran mulut dan mengurangkan bau mulut
  • Mengurangkan sakit dan kekeringan tisu mulut
  • Membantu penyembuhan tisu mulut

Apakah jenis jenis ubat kumur?

Ubat kumur mempunyai tindakan dan kesan yang berbeza bergantung pada bahan aktif yang terkandung di dalamnya. Di bawah ini disenaraikan contoh-contoh:

  • Ubat kumur anti-plak mengandungi agen anti-plak (contoh: Chlorhexidine Gluconate, Cetylpyridinium Chloride)
  • Ubat kumur anti-karies mengandungi fluorida
  • Ubat kumur anti-sensitif mengandungi agen penyahpekaan (contoh: arginine, potassium nitrate)
  • Ubat kumur mengurangkan sakit mengandungi anti-radang dan agen mengurangkan kesakitan ( contoh: benzydamine hydrochloride)
  • Ubat kumur bertujuan melegakan dan mengurangkan kekeringan tisu mulut mengandungi perlindungan berasaskan enzim, biasanya diberi untuk pesakit yang mengalami keradangan tisu mulut selepas rawatan kanser
  • Sesetengah ubat kumur mengandungi hyaluronan membantu mempercepatkan penyembuhan luka tisu mulut

Penggunaan ubat kumur yang betul di bawah nasihat profesional pergigian adalah penting untuk mengelak komplikasi atau ketidaksesuaian penggunaannya.

Bagaimana menggunakan ubat kumur?

  • Ubat kumur mungkin berbeza cara penggunaannya mengikut jenis dan tujuan penggunaannya, contohnya:
    • digunakan sekurang-kurangnya 30 saat untuk memastikan tindakan yang optima.
    • Digunakan sebelum atau selepas memberus gigi.
    • Digunakan selepas makan atau sebelum tidur kerana ia mengganggu deria rasa
    • tidak perlu dicairkan
  • Penggunaan ubat kumur mestilah mengikut nasihat doktor atau arahan yang tertera pada label produk.

Tip-tip penggunaan ubat kumur.

  • Ubat kumur hanya digunakan jika perlu, atas arahan doktor gigi. Pemberusan gigi yang efektif adalah memadai bagi kebanyakan orang, untuk mencapai kebersihan mulut yang sempurna.
  • Penting mengetahui terdapat berbilang ubat kumur di pasaran dengan kesan yang berbeza bergantung pada kandungan bahan aktif, dan tujuan ia digunakan.
  • Pilihlah ubat kumur tanpa alkohol. Alkohol boleh memberi kesan tidak baik kepada tisu mulut.
  • Sesetengah ubat kumur mengandungi lebih 10 peratus kandungan alkoholnya dikhuatiri boleh mencetus pengambilan alkohol pada mereka yang cuba hendak berhenti dari tabiat mengambil alkohol.
  • Dapatkan nasihat daripada doktor gigi.

Adakah ubat kumur mempunyai kesan sampingan?

Kesan sampingan yang biasa dari penggunaan ubat kumur

  • Rasa kurang menyenangkan seperti panas atau terbakar (burning sensation)
  • Mengganggu deria rasa
  • Penstainan gigi
  • Kesan pengeringan tisu mulut


    Gambar 1: Penggunaan ubat kumur bukan bererti menidakkan  kepentingan pemberusan gigi.

Semakan Akhir : 26 November 2014
Penulis / Penterjemah : Dr. Sharifah Maznah bt. Wan Mohamad
Akreditor : Dr. Ahmad Sharifuddin b. Mohd Asari