Home > Kesihatan Pergigian > Produk Penjagaan Kesihatan Mulut : Gula-Gula Getah

Produk Penjagaan Kesihatan Mulut : Gula-Gula Getah

Gula-gula getah merupakan sejenis ‘makanan’ unik yang dikunyah dalam tempoh masa tertentu (selalunya dalam 20 minit) yang secara relatifnya mempunyai nilai kalori (tenaga) yang rendah.

Adalah penting untuk membaca label gula-gula getah yang dipilih agar ia boleh membantu anda mengenalpasti jenis dan kandungan yang boleh memberi faedah kepada kesihatan mulut.

Jenis gula-gula getah:

  • Bergula – seperti sukrosa
  • Tidak bergula (mempunyai pemanis tiruan – seperti sorbitol dan xylitol)

Gula-gula getah yang bergula jika dikunyah boleh menyumbang kepada penghasilan asid yang boleh menyumbang kepada pereputan gigi (karies gigi). Ia dicirikan oleh penurunan sederhana pH pada plak gigi. Kajian klinikal menunjukkan terdapat peningkatan insiden karies gigi bagi individu yang menggunakan gula-gula getah bergula berbanding dengan kumpulan kawalan yang tidak mengunyah gula-gula getah.

Gula-gula getah dengan pemanis tiruan secara umumnya, tidak boleh dicerna oleh bakteria di dalam mulut oleh itu ia tidak menyebabkan karies gigi. Berdasarkan eksperimen jangka masa pendek, ia boleh menyumbang kepada remineralisasi enamel gigi. Ia juga menunjukkan ciri-ciri anti karies gigi melalui rangsangan penghasilan air liur. Kajian klinikal menunjukkan xylitol mempunyai peranan anti karies yang lebih baik berbanding dengan sorbitol.

Peranan Gula-gula Getah

Gula-gula getah terdapat dalam pelbagai perisa. Perisa inilah yang merangsang penghasilan air liur sehingga 10 kali ganda menyebabkan peningkatan penghasilan air liur, peningkatan pH air liur serta memberikan kebaikan terhadap keseimbangan remineralisasi atau demineralisasi permukaan enamel gigi (lapisan gigi yang paling luar). Air liur ini turut berperanan dalam membersihkan sisa makanan dalam mulut.

Bikarbonat yang terhasil dalam air liur yang dirangsang adalah lebih tinggi berbanding dengan air liur dalam keadaan rehat (tiada kunyahan). Bikarbonat meneutralkan asid yang dihasilkan oleh bakteria dan mencegah karies gigi peringkat awal dari menjadi lebih teruk.

Gula-gula getah telah terbukti:

  • Merangsang penghasilan air liur
  • Meneutralkan asid plak gigi
  • Merangsang remineralisasi enamel gigi
  • Membantu mencegah pembentukan karies gigi

Masa paling sesuai gula-gula getah dikunyah ialah selepas makan dan selepas mengambil snek (khususnya yang bergula) dan dikunyah selama sekurang-kurangnya 20 minit. Gula-gula getah membantu mengembalikan pH air liur ke tahap normal dengan peningkatan penghasilan air liur.

Pesakit yang mengambil ubat-ubatan seperti antidepressants, beta blockers atau pesakit Sindrom Sjogren iaitu pesakit yang menerima rawatan radioterapi di kawasan kepala dan leher akan mengalami kesan sampingan iaitu masalah kekeringan mulut (Xerostomia). Gula-gula getah mungkin boleh membantu dalam mengurangkan ketidakselesaan masalah kekeringan mulut dengan merangsang pengeluaran air liur dari baki tisu/kelenjar air liur yang kurang berfungsi. Dengan kaedah penjagaan kebersihan mulut yang baik, keselesaan mulut akan bertambah baik serta risiko karies gigi akan berkurangan.

Fakta Menarik Tentang Gula-gula Getah

  • Persatuan Doktor-Doktor Pergigian Britain menggalakkan pengunyahan gula-gula getah tidak bergula sebagai sebahagian daripada program penjagaan kebersihan mulut yang rutin bagi melindungi gigi dari berlubang.
  • Gula-gula getah tidak berbahaya jika ditelan kerana ia secara amnya ialah serat makanan (roughage) dan melalui bahagian perut, usus kecil dan besar dan akhirnya dikumuhkan. Pastikan anda tidak tercekik atau menarik nafas secara tidak sengaja (termasuk ke saluran pernafasan) kerana ia adalah berbahaya. Jika anda ternampak situasi tersebut berlaku pada seseorang, sila buat panggilan kecemasan dan dapatkan bantuan kecemasan. Pastikan gula-gula getah hanya diberi kepada kanak-kanak berumur 6 tahun ke atas dan elakkan penggunaan semasa aktiviti sukan lasak.

Rajah 1: Lokasi sendi temporomandibel

  • Gula-gula getah tidak menyebabkan masalah sendi temporomandibel (Temporomandibular Disorder/TMD) (Rajah 1) tetapi ia mungkin boleh berlaku bagi pesakit yang telah sedia ada masalah TMD. Sila dapatkan nasihat lanjut dari doktor pergigian jika anda mempunyai masalah TMD.
  • Gula-gula getah boleh membantu perokok untuk berhenti dari tabiat merokok. Ia bertindak menarik perhatian perokok dengan tabiat mengunyah gula-gula getah itu sendiri tanpa kesan negatif terhadap makanan dan sebagai satu cara rawatan penggantian nikotin.
  • Gula-gula getah merangsang peningkatan pengaliran darah dan aktiviti bio-elektrik di sesetengah kawasan otak. Ia berlaku apabila individu tersebut merasa tenteram atau istirehat/relaksasi dan berkurangnya tahap stres.

Adalah diingatkan gula-gula getah perlu dibuang ke dalam tong sampah selepas digunakan bagi memastikan kebersihan alam sekitar. Pastikan juga anda memilih gula-gula getah tidak bergula kerana sebab-sebab yang dibincangkan di atas.

Rujukan:

  1. Edgar M. A review of the positive effects of chewing sugarfree gum on oral health. University of Liverpool. http://www.betteroralhealth.info/orbit_us/media-area/articles/a-review-of-the-positive-effects-of-chewing-sugarfree-gum-on-oral-health/index.htm
  2. Edgar WM. Sugar substitutes, chewing gum and dental caries–a review. Br Dent J. 1998 Jan 10;184(1):26.
  3. Elizabeth G. The role of sugarfree gum from dry mouth relief and tooth decay prevention. http://www.betteroralhealth.info/?id=276&M=3
  4. Makinen KK, Bennett CA, Hujoel PP, Isokangas PJ, Isotupa KP, Pape HR & Makinen PJ (1995) Xylitol chewing gums and caries rates: a 40-month cohort study. J Dent Res 74(12): 1904-13 Manning RH & Edgar WM.
  5. Salivary stimulation by chewing gum and its role in the remineralization of caries-like lesions in human enamel in situ. J Clin Dent. 1992;3(3):71-4.
  6. Moira C. Sugarfree gum: its role from the prevention of caries http://www.betteroralhealth.info/orbit_us/media-area/articles/sugarfree-gum-its-role-in-the-prevention-of-caries/index.htm
  7. Simon M R. A practical guide on talking to patients about sugarfree gumDentistry magazine, UK http://betteroralhealth.info/orbit_us/media-area/articles/a-practical-guide-on-talking-to-patients-about-sugarfree-gum/index.htm Szoke J, Banoczy J & Prodkin HM (2001) Effect of after-meal sucrose-free gum chewing on clinical caries. J Dent Res 80(8): 1725-1729
  8. Szoke J, Banoczy J & Proskin HM (2001). Effect of after-meal sucrose-free gum-chewing on clinical caries. J Dent Res 80(8): 1725-1729
  9. Yankell SL & Emling RC (1997) J Clin Dent 8: 169-172
Semakan Akhir : 25 April 2014
Penulis : Dr. Mustaffa b. Jaafar
Akreditor : Dr. Faizah bt. Kamaruddin
Penyemak : Dr. Sharol Lail b. Sujak