A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pengenalan

Polio atau poliomyelitis adalah akibat jangkitan virus polio yang merosakkan sistem saraf pusat. Virus polio lazimnya menjangkiti kanak-kanak bawah 5 tahun yang belum mendapat pelalian. Walau bagaimanapun virus ini boleh menjangkiti orang dewasa.

Virus liar polio (wild polio virus – WPV) masih endemik di tiga buah negara (Afghanistan, Pakistan dan Nigeria). Beberapa buah negara lain juga dijangkiti virus ini kerana pergerakan manusia. Selagi terdapat negara yang menyebarkan WPV, semua negara masih berisiko dijangkiti.

Agen penyebab: Poliovirus jenis 1, 2 dan 3 (genus Enteroviruses). WPV jenis 2 telah dibasmi semenjak tahun 1988.

Cara jangkitan: Jangkitan berlaku dari orang ke orang melalui transmisi faecal-oral. Ini bermaksud kontaminasi dengan najis dari individu yang dijangkiti. Namun, wabak polio jarang berlaku disebabkan oleh makanan atau air yang tercemar kerana 95% kes yang dijangkiti tidak akan mengalami gejala.

Jangkitan virus polio biasanya berlaku dalam saluran gastrousus (GI) dan merebak ke kelenjar limfa setempat. Dalam kes tertentu ia merebak ke sistem saraf pusat.

Tempoh pengeraman: 7 hingga 14 hari sebelum gejala timbul. Ia boleh berlaku seawal 3 hari.

Tanda dan Gejala

Seramai 95% kes tidak menunjukkan gejala dan tubuh membentuk antibodi memberi perlindungan sepanjang hayat. Manakala 5% lagi menunjukkan tanda dan gejala selesema dan kemudiannya pulih semula. Kurang dari 1% kes yang dijangkiti virus polio menyebabkan penyakit lumpuh yang menjejaskan sistem saraf.

Tanda dan gejala ringan yang terdapat dalam 5% pesakit yang dijangkiti adalah demam, malaise (letih dan lesu), sakit kepala, loya dan muntah.

Pesakit boleh menjadi lumpuh sekiranya virus ini menyerang sistem saraf pusat. Pesakit akan mengalami sakit otot dan kaku di bahagian leher dan belakang. Lumpuh biasanya tidak simetri (bukan pada kedua-dua belah anggota) dan pesakit mengalami demam sebelum lumpuh peringkat awal. Kaki lebih kerap terjejas berbanding tangan.

Komplikasi

Otot pernafasan dan/atau otot menelan menjadi lumpuh sehingga boleh mengancam nyawa. Kelumpuhan anggota badan adalah kekal.

Rawatan

Tiada rawatan khusus. Rawatan diberikan semasa fasa akut sehingga ke peringkat komplikasi lumpuh. Peralatan pernafasan diperlukan bagi pesakit yang mengalami kelumpuhan otot pernafasan.

Terapi fizikal dilakukan untuk memaksimumkan fungsi otot selepas menjadi lumpuh bagi mencegah kecacatan lain yang muncul lewat.

Pelalian Pencegahan

Jenis vaksin: terdapat dua jenis vaksin polio iaitu Oral Polio Vaccine (OPV) yang dititiskan ke dalam mulut dan Inactivated Polio vaccine (IPV) yang diberi secara  suntikan.

Bilangan dos: 3 dos prime dan 1 dos tambahan.

Jadual: diberi ketika berumur 2, 3, dan 5 bulan dengan dos tambahan pada umur 18 bulan (Jadual Imunisasi Kebangsaan di Malaysia).

Kontraindikasi: Tiada

Pengembara: Mereka yang hendak mengembara ke negara yang endemik atau sedang mengalami jangkitan WPV, dinasihatkan untuk mendapatkan pelalian polio selewat-lewatnya 4 minggu sebelum berlepas.

Langkah berjaga-jaga khusus: Individu yang mempunyai sistem imuniti yang rendah (immunocompromised) hendaklah mengambil vaksin IPV. Vaksin OPV yang mengandungi virus polio yang dinyahaktifkan boleh bertukar menjadi aktif dan menyebabkan penyakit kepada mereka yang immunocompromised ini.

Panduan mencegah jangkitan:

  • Basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas.
  • Pastikan sanitari baik, gunakan tandas dengan sistem kumbahan yang baik.
  • Didihkan air minuman atau minum air yang dibotolkan atau air berkarbonat. (pastikan pembalut penutup botol tidak rosak).
  • Makan makanan yang tidak memerlukan banyak pengendalian. Kupas kulit buah-buahan. Elakkan salad atau ulam-ulaman (sayuran yang tidak dimasak).
  • Memakan hidangan bufet sebaik sahaja dihidang.
  • Elakkan makan makanan berbungkus yang dijual di tepi jalan.

 

Semakan Akhir : 14 November 2014
Penulis : Dr. Norhayati bt. Rusli
Penterjemah : Noorhayati bt. Kassim
Akreditor : Dr. Husna Maizura Ahmad Mahir

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,232,027

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia