A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pil pelangsing

Pil pelangsing dan produk untuk menguruskan badan boleh dijual sebagai ubat OTC (over-the-counter) atau diperolehi sebagai ubat preskripsi.

Pengenalan

Pil pelangsing dan produk untuk menguruskan badan boleh dijual sebagai ubat OTC (over-the-counter) atau diperolehi sebagai ubat preskripsi.

Kebanyakan ubat pelangsing dikatakan berkesan tetapi ia tidak disokong oleh sebarang data saintifik. Selain mengambil produk menguruskan badan , diet dan senaman yang bersesuaian perlu diamalkan. Sebahagian daripada produk ini adalah berasaskan herba.

Terdapat beberapa jenis ubat preskripsi yang boleh merawat obesiti atau berlebihan berat badan .

Produk OTC

Pil pelangsing boleh dibeli tanpa preskripsi dan anda disarankan untuk mengambil diet yang rendah kalori dan sentiasa melakukan senaman. Kebanyakan pil pelangsing tidak mempunyai maklumat yang lengkap mengenai kandungan bahan didalamnya dan bagaimana ia dapat membantu dalam mengurangkan berat badan. Ianya juga adalah mahal.

Apabila Mengambil Pil Pelangsing Otc/Produk Menguruskan Badan

  • Semak sama ada produk yang hendak dibeli adalah berdaftar dengan pihak berkuasa (www.bpfk.gov.my).
  • Sesetengah produk (termasuk produk herba) boleh menyebabkan kesan yang memudaratkan. Oleh itu, sila pastikan anda tidak mempunyai masalah kesihatan jika ingin mencuba produk-produk tersebut.
  • Baca label dengan berhati-hati dan jangan ambil ubat lebih daripada dos yang ditetapkan.
  • Produk ini dikategorikan sebagai produk OTC, tradisional dan kosmetik. Oleh itu, beberapa kenyataan seperti “menghalang lemak daripada diserap” atau “mempercepatkan metabolisma” adalah tidak dibenarkan. Jika terdapat kenyataan ini dinyatakan pada label atau sisip bungkusan, sila laporkan pada pihak berkuasa.
  • Ephedra adalah herba yang biasa digunakan dalam produk menguruskan badan tetapi telah dilarang penggunaanya kerana ia menyebabkan kesan yang tidak dingini. Terdapat kenyataan yang menyatakan produk herba bagi mengurangkan berat badan adalah selamat . Oleh itu, berhati-hati dengan produk yang disarankan oleh rakan anda yang mengatakan produk tersebut adalah selamat dan berkesan.
  • Elakkan produk menguruskan badan yang :- – Menjanjikan penurunan berat badan yang mendadak dan keputusan yang mengagumkan. – Mencadangkan anda tidak perlu menukar diet ataupun bersenaman. – Tidak memberikan khidmat nasihat pemakanan dan menggalakkan anda untuk makan apa sahaja.

Ubat Preskripsi

Terdapat 2 jenis ubat preskripsi yang boleh digunakan untuk merawat obesiti:

  • Ubat antiobesiti (AOM) yang bertindak pada saluran gastro usus (GIT) iaitu:
    • Orlistat.

      Apa kegunaannya?

      Orlistat digunakan secara kombinasi dengan diet untuk membantu mengurangkan berat badan dan mengekalkannya.Ia juga digunakan untuk individu yang mempunyai berat badan yang tertentu dan mengalami masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis dan darah tinggi.

      Bagaimana ia bertindak?

      Orlistat adalah perencat enzim lipase di mana ia bertindak untuk menghalang lemak daripada dihadam dan diserap. Lemak yang tidak dihadam akan dikeluarkan melalui najis.

      Bagaimana pengambilannya?

      Bentuk dos Orlistat adalah kapsul. Ia perlu diambil 3 kali sehari selepas mengambil makanan yang mengandungi banyak lemak. Setiap kali orlistat diambil, sila pastikan makanan hanya mengandungi tidak lebih daripada 30% kalori daripada lemak. Orlistat perlu diambil semasa atau 1 jam selepas makan. Jika makanan yang diambil tidak mengandungi lemak atau anda tidak mengambil makanan, anda boleh abaikan dos yang perlu diambil.

      Arahan Pemakanan Yang Penting

      Orlistat akan menghalang penyerapan beberapa jenis vitamin yang larut lemak serta beta carotene. Oleh itu, apabila mengambil orlistat, anda perlu mengambil multivitamin yang mengandungi vitamin A, E, K dan beta carotene. Ambil vitamin sekali sehari, 2 jam sebelum atau selepas mengambil orlistat atau sebelum tidur.

      Kesan Sampingan

      Kesan sampingan Orlistat yang biasa dialami adalah perubahan pergerakan usus di mana ia hanya berlaku semasa minggu pertama rawatan. Namun begitu, ia mungkin berterusan sepanjang pengambilan orlistat.

      Sila maklumkan pada doktor atau ahli farmasi jika anda mengalami gejala tersebut.

  • Ubat yang mengurangkan selera makan iaitu:
    • Sibutramine

      Apa kegunaannya?

      Sibutramine digunakan bersama diet kalori yang rendah dan senaman untuk membantu mengurangkan berat badan dan mengekalkannya.

      Bagaimana ia bertindak?

      Sibutramine dikelaskan sebagai ubat yang mengurangkan selera makan. Ia bertindak mengawal selera makan dengan mengurangkan rasa lapar.

      Bagaimana pengambilannya?

      Bentuk dos adalah kapsul dan selalunya ia diambil sekali sehari bersama atau tanpa makanan. Untuk memastikan kepatuhan pengambilan sibutramine, anda perlu mengambil ia pada waktu yang sama pada setiap hari. Sibutramine boleh menyebabkan ketagihan. Oleh itu, ia tidak boleh diambil dalam dos yang berlebihan atau kurang dan juga dalam jangka masa yang panjang.

      Arahan Pemakanan Yang Penting

      Pastikan anda mengikuti program diet dan senaman yang telah ditetapkan oleh doktor.

      Kesan sampingan

      Sibutramine boleh menyebabkan kesan sampingan seperti pening kepala, sembelit, pedih ulu hati, mulut kering, lemah badan, sakit belakang, cemas, perubahan selera makan, muka menjadi merah, gejala selesema dan kesakitan semasa datang haid.

    • Phentermine

      Apa kegunaannya?

      Phentermine digunakan bersama diet dan senaman untuk membantu mengurangkan berat badan .

      Bagaimana ia bertindak?

      Ia dikelaskan sebagai ubat yang mengurangkan selera makan di mana ia bertindak dengan mengawal selera makan dengan mengurangkan rasa lapar.

      Bagaimana pengambilannya?

      Phentermin adalah dalam bentuk tablet dan kapsul “perlepasan berlanjutan” (extended –release capsules). Ia diambil dalam bentuk dos tunggal pada waktu pagi atau 3 kali sehari iaitu 30 minit sebelum makan.

      Jangkamasa rawatan bergantung kepada tindakbalas individu terhadap ubat walaupun kebanyakan pesakit mengambil ubat ini selama 3-6 minggu. Phentermine juga boleh menyebabkan ketagihan. Oleh itu, ianya perlu diambil dalam dos yang disyorkan dalam tempoh masa yang ditetapkan sahaja.

      Untuk mengelakkan kesan sampingan, pentermine perlu diambil bersama makanan. Jika anda mengambil ubat dalam bentuk dos “extended –release”, jangan kunyah atau hancurkan ubat tersebut.

      Arahan Pemakanan Yang Penting

      Pastikan anda mengikuti program diet dan senaman yang telah ditetapkan oleh doktor.

      Kesan sampingan

      Phentermine boleh menyebabkan kesan sampingan seperti mulut kering, rasa yang tidak menyenangkan, sembelit dan muntah . Sila beritahu doktor jika anda mengalami gejala di atas.

      Sila hubungi doktor dengan segera jika anda pengalami kesan sampingan seperti peningkatan tekanan darah, jantung berdebar, gelisah, pening, menggeletar, gangguan tidur, sukar untuk bernafas atau sakit dada.

Obesiti dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan dan perubatan. Ini termasuk penyakit kencing manis (diabetes mellitus), sakit sendi dan penyakit kardiovaskular. Rawatan utama obesiti adalah pemakanan atau diet yang bersesuaian dan meningkatkan aktiviti fizikal .

Ubat antiobesiti hanya dicadangkan untuk individu yang mempunyai jisim berat badan BMI (Body mass index ) 30 kg/m2 atau lebih. Penggunaan ubat ini juga adalah bersesuaian jika BMI adalah 27 kg/m2 atau mempunyai faktor risiko seperti penyakit kencing manis, darah tinggi serta penyakit jantung dan ini bergantung kepada saranan daripada doktor.

Pemantauan perlu dilakukan pada individu yang mengambil ubat untuk menurunkan berat badan. Rawatan perlu dihentikan jika berat badan berkurangan sebanyak 5% selepas 12 minggu atau individu mengalami kenaikan berat badan semasa rawatan.

Maklumat Am

Ambil ubat seperti yang telah diarahkan. Jangan ambil dos yang melebihi atau kurang dari yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Sila ikuti arahan pada label ubat dan bertanya pada doktor atau ahli farmasi jika terdapat sebarang masalah.

Kaedah Penyimpanan

Simpan ubat di dalam bekas asal dan tutup dengan ketat. Simpan pada suhu bilik, jauhkan daripada kanak-kanak, suhu dan kelembapan yang tinggi, Buang ubat yang telah rosak dan tamat tarikh luput. Sila bertanya pada ahli farmasi bagaimana untuk membuang ubat dengan cara yang betul.

Semakan Akhir : 25 Mei 2007
Penulis : Norhayati bt. Musa
Akreditor : Dr. Nour Hanah bt. Othman

 

Artikel Berkaitan

Ubat Steroid Topikal

Pengenalan Ubat steroid topikal ataupun lebih dikenali sebagai ‘corticosteroids’ ialah

Bolehkah ubat dihancurkan?

Pengambilan ubat biji secara oral merupakan kaedah rawatan yang paling kerap dan paling mudah dilakukan. Namun begitu, masalah akan timbul apabila pesakit tidak berupaya menelan makanan pepejal dan menyebabkan pengambilan ubat biji secara oral turut terjejas.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,238,735

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia