A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pertuturan Anak Bermasalah Pendengaran

Salah satu kesan utama akibat daripada masalah pendengaran sejak lahir ialah perkembangan pertuturan dan bahasa anak ini akan terganggu.

Anak bermasalah pendengaran boleh bertutur? Pasti ibu bapa berasa kecewa dan tertanya-tanya adakah anak mereka boleh bertutur walaupun telah didiagnos mengalami masalah pendengaran.

Masalah Pendengaran Sejak Lahir

Salah satu kesan utama akibat daripada masalah pendengaran sejak lahir ialah perkembangan pertuturan dan bahasa anak ini akan terganggu. Hal ini demikian kerana otak mereka tidak dirangsang dengan bunyi pertuturan atau bunyi persekitaran sejak dalam kandungan lagi.

Walaupun terdapat beberapa orang anak bermasalah pendengaran yang mempunyai pertuturan yang jelas, namun kebanyakannya tidak begitu. Sejak berkurun lama masyarakat di dunia mempercayai anak bermasalah pendengaran tidak mampu untuk bertutur.

 

Namun sejak beberapa dekad, kemajuan teknologi dan pemikiran telah berkembang dan mengubah sama sekali tanggapan ekstremis. Perkembangan teknologi Alat Bantu Pendengaran (ABD) dan Implan Koklea (IK)  telah membantu anak bermasalah pendengaran untuk mendengar dengan lebih jelas dan seterusnya mempelajari kemahiran pertuturan dengan menggunakan teknik terapi pertuturan yang berkesan seperti Auditori Verbal.

Adakah Tahap Keterukan Masalah Pendengaran Mempengaruhi  Pertuturan?

Jenis-jenis Masalah Pendengaran

Terdapat 3 jenis masalah pendengaran :

  1. Konduktif
  2. Sensorineural
  3. Campuran

Tahap Keterukan Masalah Pendengaran

Masalah pendengaran terbahagi kepada 4 tahap iaitu :

  1. Ringan
  2. Sederhana
  3. Teruk
  4. Sangat teruk

Bagi memahami bunyi apa yang dapat didengari mengikut tahap keterukan masalah pendengaran, bolehlah rujuk kepada gambar rajah di bawah. Gambar rajah di bawah menunjukkan bunyi-bunyi yang dapat didengar mengikut tahap keterukan masalah pendengaran.

Kesan Pertuturan Mengikut Tahap Keterukan

Anak yang mempunyai masalah pendengaran tahap RINGAN tidak boleh mendengar bunyi pertuturan yang berfrekuensi tinggi iaitu /s, f, th/.

Manakala anak yang mempunyai masalah pendengaran tahap SEDERHANA tidak boleh mendengar sebahagian bunyi pertuturan seperti rajah di atas.

Bahkan, kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran tahap TERUK dan SANGAT TERUK langsung tidak boleh mendengar bunyi pertuturan.

Amat penting untuk ibu bapa mengetahui dan memahami  graf aided audiogram di atas bagi mengetahui bunyi pertuturan yang mampu didengari oleh anak mereka. Ibu bapa boleh mendapatkan graf aided audiogram daripada Audiologis yang membuat penilaian pendengaran anak.

Faktor Yang Mempengaruhi Pertuturan Anak Bermasalah Pendengaran

Antara faktor yang terlibat :

  1. Umur ketika mula mengalami masalah pendengaran
  2. Jenis masalah pendengaran
  3. Tahap keterukan masalah pendengaran
  4. Umur ketika diagnos
  5. Umur ketika memakai alat bantuan dengar atau implan koklea
  6. Umur ketika menjalani terapi pertuturan daripada  Terapis Pertuturan-Bahasa (TPB)
  7. Kerjasama ibu bapa / penjaga dalam meneruskan terapi di rumah
  8. Stimulasi / rangsangan bahasa dan pertuturan yang diberi kepada anak
  9. Adakah menghadiri Sekolah Aliran Perdana @ Sekolah Pendidikan Khas
  10. Adakah ibu bapa mempunyai masalah pendengaran @ normal
  11. Anak membaca gerak bibir

Lihat juga Kriteria pemilihan calon Implan Koklea

Apakah Bentuk Pertuturan Anak Bermasalah Pendengaran?

Anak bermasalah pendengaran selalunya mempunyai pertuturan yang kurang jelas disebabkan oleh tahap pendengaran mereka dan kualiti bunyi yang mereka dengari. Berikut adalah beberapa kesalahan yang sering dilakukan dan juga ciri pertuturan mereka.

Kesalahan Segmental

Kesalahan segmental yang akan dibincangkan di sini hanya melibatkan bunyi vokal dan konsonan. Anak bermasalah pendengaran lebih mudah untuk menghasilkan bunyi vokal berbanding bunyi konsonan. Ini disebabkan bunyi vokal membawa banyak tenaga, jadi bunyi ini lebih mudah untuk didengari dan juga lebih mudah disebut kerana kurang pergerakan lidah yang diperlukan berbanding bunyi konsonan.

Kesalahan sebutan boleh diklasifikasikan kepada:

  1. Penambahan (contoh :/bola/kepada /boala/)
  2. Penukaran (contoh : /badan/ kepada /padan/)
  3. Pengguguran (contoh : /baju/ kepada /aju/)

Kebanyakan kajian menunjukkan anak yang mempunyai masalah pendengaran teruk melakukan kesalahan daripada segi pengguguran dan anak yang mempunyai masalah pendengaran sederhana pula melakukan kesalahan daripada segi penukaran.

Kesalahan Suprasegmental

Penghasilan suprasegmental adalah lebih utama berbanding penghasilan segmental di kalangan anak normal. Tetapi anak bermasalah pendengaran belajar meniru penghasilannya secara serentak semasa sesi terapi pertuturan.
Kesalahan daripada segi suprasegmental yang sering dilakukan ialah suara mendatar, intonasi suara yang pelbagai dan kurang sesuai serta penekanan suara yang tidak sesuai mengikut keadaan.

Kualiti Suara

Kualiti suara yang sering dihasilkan oleh anak bermasalah pendengaran ialah terlalu sengau. Mereka menghasilkan bunyi sengau tersebut bukan disebabkan oleh velofarinks yang tidak berfungsi tetapi perbuatan dilakukan tanpa sedar semasa ingin memperlahankan kadar pertuturan mereka.

Kadar pertuturan

Kadar pertuturan anak bermasalah pendengaran adalah perlahan berbanding anak normal. Anak normal menghasilkan 3.3 suku kata dalam satu saat berbanding anak bermasalah pendengaran 2.0 suku kata dalam satu saat. Antara puncanya adalah masalah pada kawalan suara dan pernafasan.

Panjang Ayat

Anak yang mempunyai masalah pendengaran sangat teruk atau teruk hanya menghasilkan ayat pendek dan mudah. Ayat mereka hanya mengandungi maklumat asas tanpa struktur ayat yang betul. Terdapat juga ujaran yang dihasilkan betul daripada segi struktur ayat tetapi pendek seperti /nak air/ berbanding /mama, kakak nak air/.

Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran tahap sederhana dan ringan pula, mereka dapat menghasilkan ayat yang lebih panjang dan lengkap. Ini memudahkan mereka untuk berinteraksi dengan kanak-kanak normal yang lain.

Kesimpulannya, kejelasan pertuturan anak bermasalah pendengaran adalah berbeza berdasarkan faktor yang disenaraikan di atas. Amat penting untuk ibu bapa mengetahui graf aided audiogram anak untuk mengetahui tahap pendengaran mereka dan seterusnya dapat mengagak pertuturan yang bakal mereka capai.

Rujukan

  1. www.haskins.yale.edu/Reprints/HL0399.pdf
  2. www.haskins.yale.edu/sr/sr069/sr069_13.pdf
  3. www.ciil-ebooks.net/html/speech/chapter3.html
  4. www.cirrie.buffalo.edu/encyclopedia/en/article/272/
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Nur Syuhada bt. Hosni
Akreditor : Wahida bt. Mohd Abd Wahab
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

Berkhatan

Berkhatan adalah istilah yang digunakan untuk pembedahan kecil di mana

Ujian Saringan Pendengaran

Pendengaran merupakan salah satu deria penting untuk perkembangan bahasa dan pertuturan. Deria pendengaran membolehkan seorang individu mendengar, mengesan, membezakan bunyi, menterjemah dan memahami bunyi-bunyi di persekitaran dan bunyi pertuturan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,234,916

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia