A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Ubat Umum
  6. /
  7. Perlukah antibiotik dalam rawatan...

Perlukah antibiotik dalam rawatan cirit-birit?

Cirit-birit merupakan masalah kesihatan yang kerap dihidapi oleh masyarakat umum . Ia boleh berlaku kepada semua tanpa mengira umur dan jantina.

Cirit-birit merupakan masalah kesihatan yang kerap dihidapi oleh masyarakat umum . Ia boleh berlaku kepada semua tanpa mengira umur dan jantina. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), cirit-birit merupakan antara penyebab tertinggi kematian dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Kebanyakan kematian ini disebabkan dehidrasi badan yang teruk berpunca daripada cirit-birit yang berpanjangan dan tidak diuruskan dengan sebaiknya.

Definisi Cirit-birit

Menurut definisi WHO, cirit-birit merujuk kepada pembuangan najis lembut dan berair tiga kali atau lebih dalam tempoh sehari (atau pembuangan najis yang lebih kerap berbanding keadaan normal seseorang). Oleh demikian, pembuangan najis yang agak berbentuk atau keras tetapi kerap tidak dianggap sebagai cirit-birit. Selain itu, najis kanak-kanak yang masih menyusu badan juga tidak dikategorikan sebagai cirit-birit walaupun najis tersebut bersifat berair.

Jangkitan salur pencernaan yang disebabkan oleh bakteria, virus atau parasit kebiasaanya akan menyebabkan cirit-birit. Pesakit yang mengalami cirit-birit akibat jangkitan akan mengalami rasa loya, muntah-muntah dan kekejangan otot perut.

Pengkelasan Cirit-birit

Cirit-birit boleh dibahagikan kepada tiga jenis yang utama iaitu:

  1. Cirit-birit berair akut (berlaku dalam beberapa jam sehingga beberapa hari, tetapi kurang daripada 14 hari. Peyakit kolera tergolong dalam jenis ini.
  2. Cirit-birit berdarah akut (disenteri)
  3. Cirit-birit berterusan yang boleh mencecah 14 hari atau lebih. Ada pendapat pakar mengkategorikan cirit-birit yang berterusan lebih 30 hari sebagai cirit-birit kronik.

Punca-punca Berlakunya Cirit-birit

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan cirit-birit seperti:

  1. Jangkitan virus, bakteria dan parasit
  2. Kesan sampingan ubat seperti antibiotik, laksatif dan ubat rawatan kanser
  3. Gejala penyakit
  4. Alahan makanan

Namun begitu kebiasaannya, kebersihan sering dikaitkan dengan masalah cirit-birit. . Kebanyakan kes, terutamanya di negara yang membangun, amalan minum air yang tidak bersih merupakan faktor utama menyebabkan cirit-birit. Selain itu, sistem sanitasi yang tidak sistematik dan memuaskan juga mendedahkan manusia kepada risiko terkena cirit-birit.

Bekalan air domestik yang tidak terawat dikhuatiri tercemar dengan mikroorganisme penyebab cirit-birit. Bakteria seperti Escherichia coli, Vibrio cholera, Shigella spp, Salmonella spp dan Campylobacter spp antara bakteria yang diketahui boleh menyebabkan jangkitan salur pencernaan.

Penggunaan Antibiotik untuk Merawat Cirit-birit

Penggunaan antibiotik untuk merawat cirit-birit merupakan isu yang sering dibincangkan oleh pengamal perubatan. Kebanyakan pendapat menyatakan bahawa penggunaan antibiotik tidak diperlukan dalam kebanyakan kes cirit-birit. Umumnya, pesakit yang mengalami gejala yang ringan tidak perlu dimulakan dengan antibiotik. Doktor akan memulakan antibiotik hanya dalam kes cirit-birit yang lebih serius dan berpanjangan.

Penggunaan antibiotik yang rasional perlu dititik beratkan. Peningkatan kekebalan atau kerintangan bakteria kepada antibiotik dan kejadian jangkitan berganda (suprainfection) merupakan satu petanda yang membimbangkan. Oleh itu, keputusan memberikan antibiotik untuk pesakit cirit-birit perlu berdasarkan pemerhatian dan pemeriksaan menyeluruh oleh doktor. Selain itu, jenis mikroorganisme yang menyebabkan jangkitan salur pencernaan juga menentukan keperluan antibiotik.

Penggunaan antibiotik dalam rawatan cirit-birit, jika bersesuaian, sangat membantu dalam mengurangkan keterukan penyakit dan mempercepat penyembuhan. Walau bagaimanapun, rawatan dengan antibiotik ini perlulah secara rasional berdasarkan pemeriksaan oleh doktor untuk mengelakkan penggunaan yang tidak wajar.

Kepentingan Rehidrasi Badan

Dehidrasi merupakan satu perkara yang membimbangkan apabila cirit-birit berlaku. Seseorang yang mengalami cirit-birit akan kehilangan cecair badan dan elektrolit utama (natrium, klorida, kalium dan bikarbonat) melalui najis, muntah, peluh, air kencing dan pernafasan. Apabila kehilangan ini berterusan tetapi tidak digantikan, dehidrasi akan berlaku.

Selain penggunaan antibiotik, WHO juga telah menggariskan beberapa langkah penting dalam rawatan cirit-birit. Utama sekali ialah mengembalikan status hidrasi pesakit. Garam rehidrasi (oral rehydration salt) atau lebih dikenali dengan singkatan ORS digunakan untuk tujuan ini.

ORS mengandungi eletrolit utama dan gula berkepekatan yang rendah. Elektrolit berfungsi mengekalkan cecair dalam badan manakala sukros yang terdapat dalam minuman ini boleh membantu menambah tenaga. Kebanyakan produk komersil ORS di Malaysia dipasarkan dalam saiz pek 55g dan perlu dibancuh dalam 250 mililiter air.

WHO menyarankan supaya kanak-kanak bawah umur 2 tahun diberi minum sebanyak satu per empat hingga setengah cawan bancuhan ORS. Kanak-kanak yang lebih berusia pula diberi sebanyak setengah hingga satu cawan bancuhan ORS. Bancuhan ORS digalakkan diberi kepada pesakit setiap kali membuang air besar atau muntah.

ORS seharusnya diberikan seawal mungkin apabila pesakit mula menunjukkan gejala cirit-birit. Namun begitu, dalam kes cirit-birit yang agak serius, ORS sahaja tidak mencukupi untuk mengembalikan status hidrasi. Pesakit perlu dimasukan ke dalam wad dan dipantau dengan rapi.

Ubat-ubatan Lain untuk Rawatan Cirit-birit

Ubat-ubatan lain seperti ubat menghentikan cirit-birit iaitu diphenoxylate-atropine dan loperamide juga boleh diambil oleh pesakit. Ubat jenis ini bertindak dengan mengurangkan pergerakan usus supaya lebih banyak cecair dapat diserap semula daripada najis sekaligus mengelakkan cirit-birit berpanjangan. Ubat-ubatan ini boleh dibeli di kedai farmasi. Namun begitu, penggunaan kendiri ubat-ubatan jenis ini haruslah dengan berhati-hati.

Suplemen mengandungi zink juga adalah baik untuk kanak-kanak yang mengalami cirit-birit. WHO menyatakan bahawa kekurangan zink dalam badan mendedahkan kanak-kanak kepada risiko yang lebih tinggi terkena jangkitan salur pencernaan. Selain itu, zink diperlukan dalam proses penghasilan protein dan sistem ketahanan badan.

Di samping itu, baru-baru ini terdapat kajian yang menunjukkan pengambilan probiotik dalam dos yang tertentu memberi manfaat kepada pesakit cirit-birit terutamanya kanak-kanak. Probiotik yang mengandungi strain seperti Lactobacillus GG dan Saccharomyces boulardi didapati dapat membantu dalam rawatan cirit-birit berair akut dalam kalangan kanak-kanak dan bayi. Walau bagaimanapun, pakar berpendapat keberkesanan probiotik ini masih perlu dikaji dan probiotik bukanlah pilihan utama untuk rawatan antibiotik.

Kepentingan Mengekalkan Pemakanan Bernutrisi

Pesakit yang mengalami cirit-birit juga hendaklan dipastikan mengambil makanan berkhasiat dan bernutrisi tinggi. Makanan yang berkhasiat membekalkan tenaga dan nutrien yang diperlukan untuk badan pesakit lebih cepat sembuh terutamanya selepas kehilangannya melalui najis semasa cirit-birit. Bayi yang masih menyusu pula sangat digalakkan untuk diberikan susu ibu sepanjang tempoh cirit-birit.

Kesimpulan

Penggunaan antibiotik bukanlah pilihan utama dalam rawatan cirit-birit. Doktor akan menentukan sama ada pesakit memerlukan antibiotik berdasarkan pemeriksaan dan ujian tertentu.

Pesakit perlu dipastikan mengekalkan hidrasi badan dan dalam masa yang sama mengurangkan pergerakan usus untuk mengurangkan pembuangan cecair dan nutrient daripada badan. Bukan itu sahaja, pesakit perlu mendapatkan makanan yang seimbang untuk mempercepatkan penyembuhan. Suplemen lain seperti probiotik dan zink pula boleh diambil untuk membantu meningkatkan keberkesanan rawatan yang diberikan.

Cirit-birit harus diuruskan dengan baik supaya pesakit dapat sembuh dengan segera dan terhindar daripada sebarang komplikasi.

Rujukan

  1. Guidelines on The Management of Acute Diarrhoea in Children; Academy of Medicine Malaysia; 2011
  2. Diarrhoea: Why Children Are Still Dying and What Can We Done; UNICEF, World Health Organisation; 2009
  3. Management of Infectious Diarrhoea; A. C. Casburn-Jones et. al; 2004; http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC1774945/
  4. Diarrhoea; World Health Organisation; http://www.who.int/topics/diarrhoea/en/; 2016
  5. Diarrhoeal disease; World Health Organisation; http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs330/en/; 2016
  6. Diarrhoea-Treatment; NHS; http://www.nhs.uk/Conditions/Diarrhoea/Pages/Treatment.aspx
    Diarrhoea Meciation; Medscape; http://emedicine.medscape.com/article/928598-medication
Semakan Akhir : 30 Jun 2016
Penulis : Mohd Shahiri bin Abd. Ghapar
Akreditor : Munira bt. Muhammad

Artikel Berkaitan

Mas Cotek

Daun dan buah Mas cotek (Sumber: Foto daripada http://www.majalahsains.com/mas-cotek-tumbuhan-herba-ajaib/) Pengenalan

Penyakit Bawaan Virus Varicella-Zoster

Virus Varicella-Zoster (VZV) adalah virus yang mengakibatkan dua jenis penyakit iaitu varicella (demam campak) dan herpes zoster (kayap). Demam campak kebiasaanya dijangkiti pada zaman kanak-kanak,manakala kayap pula adalah jangkitan lanjut demam campak yang mungkin berlaku pada usia tua.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,337

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia