A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Perkhidmatan
  6. /
  7. Perkhidmatan Medication Therapy Adherence...

Perkhidmatan Medication Therapy Adherence Clinic (MTAC)

Perkhidmatan penjagaan ambulatori yang tawarkan oleh pegawai farmasi terlatih kepada pesakit di hospital ataupun klinik kesihatan.

Pengenalan

Medication Therapy Adherence Clinic atau MTAC ialah perkhidmatan penjagaan ambulatori yang tawarkan oleh pegawai farmasi terlatih kepada pesakit di hospital ataupun klinik kesihatan.

Objektif utama perkhidmatan ini diwujudkan ialah untuk:

  • Meningkatkan pemahaman pesakit terhadap ubat-ubatan yang diambil
  • Meningkatkan kepatuhan pesakit terhadap pengambilan ubat

Jenis-jenis Perkhidmatan MTAC

Perkhidmatan MTAC ditawarkan kepada pesakit sekiranya pesakit memerlukan penerangan dan panduan lebih terperinci berkaitan pengambilan ubat-ubatan agar penyakit dapat dikawal dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Hanya pesakit yang memenuhi kriteria tertentu akan di rekrut mengikut jenis MTAC yang bersesuaian.

Sehingga Julai 2023, terdapat 15 jenis MTAC yang telah diiktiraf di peringkat Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia dan di tawarkan kepada pesakit di fasiliti KKM. 15 jenis MTAC tersebut adalah diabetes mellitus, respiratori, antikoagulan , hemofilia, neurologi, rheumatologi, psoriasis, psikiatri, geriatrik, penyakit retroviral,dialysis nefrologi, thalassemia, hepatitis, kegagalan jantung dan rehabilitasi jantung.

Aktiviti yang dijalankan di dalam perkhidmatan MTAC merangkumi sesi pertama (pesakit direkrut) dan beberapa sesi susulan. Umumnya, pesakit perlu mengikuti sekurang-kurangnya 4 sesi MTAC untuk memastikan keberkesanan perkhidmatan ini.

Pesakit akan diberi kaunseling dan khidmat nasihat berdasarkan modul-modul tertentu yang telah ditetapkan mengikut jenis MTAC dan disesuaikan mengikut keperluan setiap pesakit.

Bagaimana Perkhidmatan MTAC dijalankan?

Pada sesi pertama:

  • Pegawai farmasi akan menemubual pesakit tentang sejarah penyakit dan sejarah pengubatan pesakit.
  • Pengetahuan umum pesakit tentang penyakit dan ubat-ubatan juga akan dinilai. Ini adalah penting bagi membolehkan pegawai farmasi mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh pesakit dan komponen yang perlu diberi perhatian semasa sesi MTAC seterusnya.

Rajah 1; Servis Medication Therapy Adherence Clinic (MTAC)

Pada sesi kedua dan seterusnya:

  • Pegawai farmasi akan memberi penerangan umum mengenai penyakit yang dihadapi, penerangan terperinci berkaitan ubat-ubatan yang dipreskrib, kepentingan mematuhi pengambilan ubatan untuk mengawal penyakit serta perkara-perkara lain yang boleh dilakukan dan diamalkan untuk mengawal penyakit.
  • Perbincangan akan dilakukan berkaitan keputusan ujian makmal dan sasaran yang perlu dicapai.
  • Pesakit juga akan dibantu dengan kaedah-kaedah yang sesuai untuk memudahkan mereka mengambil ubat-ubatan yang telah dipreskrib. Perkara ini juga merupakan salah satu elemen penting dalam memastikan ubat diambil secara berterusan.
  • Masalah berkaitan ubat-ubatan yang dihadapi oleh pesakit juga akan dikenalpasti; contohnya, kesan sampingan ubat-ubatan atau ketidaksesuaian ubat. Setelah masalah dikenalpasti, pegawai farmasi akan berbincang dengan doktor bagi menyelesaikan masalah tersebut. Ini membolehkan tindakan yang sewajarnya diambil (contohnya seperti pengubahsuaian dos ubat, pertukaran jenis ubat dan sebagainya) untuk mengelakkan masalah itu berlarutan.

Secara ringkasnya aktiviti perkhidmatan MTAC boleh digambarkan seperti di Rajah 1 .Setelah pesakit memahami tentang penyakit dan ubat-ubatan, kepatuhan terhadap pengambilan ubat-ubatan akan. dapat ditingkatkan dan seterusnya penyakit yang dialami akan terkawal sera kualiti hidup yang lebih baik dapat dinikmati. (Rajah 2)

Rajah 2: Tujuan Servis Medication Therapy Adherence Clinic (MTAC)

Bagaimana untuk mendapatkan perkhidmatan ini?

Untuk makluman, perkhidmatan ini diberikan tanpa sebarang bayaran tambahan. Hampir kesemua klinik kesihatan dan hospital di dalam Kementerian Kesihatan Malaysia ada menawarkan perkhidmatan MTAC diabetes mellitus. Manakala bagi MTAC lain, ia akan ditawarkan berdasarkan keperluan dan disiplin kepakaran di fasiliti berkenaan. Kebiasaannya doktor yang merawat akan merujuk pesakit yang layak untuk servis MTAC tertentu atau pesakit direkrut sendiri oleh pegawai farmasi yang menjaga MTAC berkenaan. Namun, pesakit boleh berhubung dengan pegawai farmasi di fasiliti masing-masing untuk mengetahui tentang perkhidmatan MTAC yang ditawarkan.

Setiap MTAC mempunyai kriteria pemilihan pesakit yang tertentu. Contohnya, kriteria pesakit bagi MTAC Diabetes adalah seperti berikut:

  • Pesakit yang mempunyai bacaan HbA1c melebihi 8%
  • Pesakit yang mempunyai masalah kepatuhan kepada pengubatan
  • Pesakit yang mempunyai masalah dengan ubat-ubatan
  • Pesakit yang mengalami banyak komplikasi penyakit

Oleh yang demikian, doktor atau anggota kesihatan lain boleh merujuk pesakit kepada perkhidmatan MTAC berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Semakan Akhir : Februari 2024
Penulis : Nik Nuradlina binti Nik Adnan
Penyemak : Syafi’ah binti Bakaruddin

 

Artikel Berkaitan

Lozenges

Apa itu lozenges dan fungsinya Lozenges merupakan sediaan berbentuk gula-gula

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,223,554

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia