A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Pergigian Umum
  6. /
  7. Peranan Ibu Dalam Penjagaan...

Peranan Ibu Dalam Penjagaan Kesihatan Pergigian Kanak-Kanak

Setiap ibubapa harus faham bahawa adalah tugas mereka untuk membersihkan gigi anak mereka dan perlu meluangkan masa untuk berbuat demikian.

Kerosakan gigi (karies) merupakan salah satu penyakit yang biasa ditemui dalam kalangan kanak-kanak. Di Malaysia, hampir 73% kanak-kanak prasekolah mengalami karies dan sebahagiannya juga mengalami karies botol susu. Namun, karies boleh dicegah melalui amalan penjagaan oral yang baik, pengambilan diet yang kurang kariogenik (potensi menyebabkan karies) dan kesedaran mengenai cara-cara penjagaan kesihatan mulut di kalangan penjaga mereka.

Seperti pepatah Melayu, ‘Melentur buluh biar dari rebungnya’ bermaksud bagi menyemai tabiat-tabiat yang baik, haruslah bermula dari usia muda. Kanak-kanak memerlukan bimbingan dan ibubapa, sama ada ibu, bapa atau penjaga mereka memainkan peranan penting dalam membentuk, membimbing dan menyokong tabiat-tabiat yang baik.

Penjagaan mulut untuk bayi dan todler (0-5 tahun)

Setiap ibubapa harus faham bahawa adalah tugas mereka untuk membersihkan gigi anak mereka dan perlu meluangkan masa untuk berbuat demikian. Pada usia ini, kanak-kanak tidak mempunyai ketangkasan atau kefahaman mengenai keperluan menggosok gigi. Bantuan daripada ibubapa diperlukan untuk melakukan demikian. Ini juga akan membantu membiasakan kanak-kanak kepada pembersihan gigi sebagai rutin harian.


Gambar rajah 1: Berus gigi yang dilekatkan pada jari

Gambar rajah 2: Berus gigi untuk kanak-kanak

Bayi dilahirkan tanpa gigi, namun demikian adalah disyorkan untuk membersihkan lidah dan gusi mereka daripada sisa-sisa susu. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan kain kasa atau sapu tangan bersih yang dibalut di sekeliling jari telunjuk. Ibu-ibu juga boleh menggunakan berus gigi jari yang dijual secara meluas di kedai barangan bayi dan pusat membeli-belah (Gambar rajah 1). Ubat gigi tidak diperlukan pada peringkat ini.

Lebih mudah untuk membersihkan gigi bayi jika kepala bayi dipeluk dan letakkannya di hadapan anda. Apabila bilangan gigi bayi semakin bertambah, berus gigi kanak-kanak mungkin diperlukan (Gambar rajah 2). Walaupun kanak-kanak semakin membesar, mereka masih memerlukan pengawasan semasa memberus gigi. Umumnya, ubat gigi boleh diperkenalkan apabila kanak-kanak berumur 2-3 tahun. Ibu bertanggungjawab untuk hanya meletakkan calitan ubat gigi ke berus kerana penginjesan ubat gigi berfluorida yang berlebihan mungkin menyebabkan fluorosis pada gigi kekal.

Ibu juga harus berjumpa dengan doktor gigi apabila gigi pertama kanak-kanak tumbuh pada umur antara 6 bulan hingga satu tahun. Ini akan membiasakan anak mereka dengan pemeriksaan gigi secara berkala.

Amalan pemakanan yang baik juga penting untuk menghindari kerosakan gigi. Ibu harus elakkan dari memberi makanan yang menandungi gula kepada anak mereka sebagai ganjaran supaya mereka tidak terbiasa dengan makanan manis. Jika susu atau minuman diperlukan sebelum tidur, penjaga haruslah memastikan agar kanak-kanak tidak tidur bersama-sama dengan botol tersebut. Sekiranya puting tiruan digunakan, jangan sekalipun celupkan puting kedalam cecair bergula.

Penjagaan mulut untuk kanak-kanak prasekolah (5-7 tahun)

Kanak-kanak pada usia ini sering mengalami kehilangan gigi susu di bahagian hadapan atau tumbuhnya gigi geraham yang pertama. Jika kanak-kanak ini telah biasa dengan makanan manis dan mengambilnya dengan kerap, ini akan meningkatkan risiko karies kepada gigi kekal. Justeru, ibu perlu mengurangkan pembelian makanan ringan bergula dan menggantikannya dengan makanan lain yang memberi kurang risiko karies seperti kekacang, keropok beras dan buah-buahan.

Pada peringkat ini, ramai ibu menganggap anak-anak mereka boleh memberus gigi sendiri. Namun, ibu harus sentiasa membantu kerana kemungkinan sisa makanan tidak disingkirkan dengan berkesan. Oleh kerana gigi diberus dua kali sehari pada waktu pagi dan malam, penjaga boleh membantu di waktu malam dan benarkan anak untuk memberus sendiri di waktu pagi. Ini membolehkan ibu memantau keberkesanan anak-anak mereka memberus gigi dan melatih mereka untuk melakukannya sendiri apabila mereka semakin membesar.

 

Gambar rajah 3:
Berus gigi kanak-kanak

  • Kepala yang kecil
  • Pemegang yang pendek
  • Cengkaman yang lebar

Pada umur ini, berus gigi kanak-kanak masih digunakan sebagai alat penjagaan kebersihan mulut (Gambar rajah 3), namun jenis ubat gigi yang digunakan mungkin berbeza mengikut syor daripada doktor gigi kanak-kanak tersebut.

Kesimpulannya, walaupun karies merupakan penyakit yang biasa dalam kalangan kanak-kanak, namun ianya boleh dicegah. Kanak-kanak pada usia yang masih muda tidak mempunyai ketangkasan, pengetahuan dan kesedaran untuk menjaga gigi mereka sendiri. Bimbingan daripada ibu diperlukan untuk mencapai kesihatan oral yang baik.

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Leslie S. Geoffrey
Penterjemah   Dr. Suzana bt. Sharif
Akreditor : Dr. Savithri a/p Vengadasalam
Penyemak : Dr. Sharol Lail bin Sujak

Artikel Berkaitan

Tanda – Tanda Bukan Verbal Sakit Gigi

Kemahiran berkomunikasi merupakan asas untuk berhubung secara inter-personal. Walau bagaimanapun, komunikasi bukan verbal merupakan cara utama yang digunakan oleh golongan yang tidak boleh bercakap.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 224,691,302

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia