A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Penyusuan Susu Ibu
  6. /
  7. Penyusuan Susu Ibu dan...

Penyusuan Susu Ibu dan HIV

Kajian awal yang dijalankan menunjukkan bahawa ? daripada bayi yang dilahirkan oleh ibu-ibu yang HIV positif dijangkiti virus HIV semasa penyusuan susu ibu, di mana penyusuan susu ibu dalam jangka masa yang panjang akan lebih mendedahkan bayi kepada jangkitan

Semua ibu digalakkan menyusui anaknya dengan susu ibu sahaja dari lahir sehingga berumur 6 bulan dan meneruskannya sehingga mencapai umur 2 tahun.

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi kerana ia mengandungi kesemua nutrien yang diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan bayi. Ia juga mudah dihadam dan sentiasa tersedia pada suhu yang tetap malah bayi yang menyusu susu ibu sepenuhnya dari lahir sehingga 6 bulan yang pertama mempunyai tumbesaran yang baik dan sihat.

Susu ibu mengandungi antibodi yang berfungsi sebagai imunisasi pertama melindungi bayi terhadap alahan (alergi) dan jangkitan bakteria yang berbahaya. Di samping itu juga, penyusuan susu ibu dapat membantu mengurangkan kematian bayi melalui pengurangan insiden cirit-birit dan penyakit berjangkit.

Kebaikan susu ibu juga memberikan kesan yang sangat baik kepada ibu di mana ibu dapat mengurangkan risiko kanser payudara dan beberapa jenis kanser ovari. Dengan penyusuan juga, ia dapat membakar lemak badan yang terkumpul semasa hamil dan seterusnya akan mengembalikan bentuk badan asal sebelum hamil. Ia juga dapat mempercepatkan pengecutan rahim selepas bersalin dan melewatkan kedatangan haid.

(Sumber gambar : missjennybird.files.wordpress.com)

Namun, terdapat beberapa keadaan perubatan di mana bayi tidak boleh disusukan oleh ibu mereka termasuklah bayi yang dilahirkan oleh ibu yang HIV positif. Perkara ini telah diputuskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kebangsaan HIV/AIDS Bil. 1/2001 yang telah diadakan pada 17 Julai 2001 (rujukan Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil. 5 Tahun 2002 dan  Polisi Penyusuan Susu Ibu Bagi Bayi-Bayi Yang Dilahirkan Oleh Ibu-Ibu Yang HIV Positif, KKM).

Mengapa Bayi Yang Dilahirkan Oleh Ibu HIV Positif Tidak Boleh Disusukan Oleh Ibu Mereka?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organization (WHO), di negara-negara membangun, risiko bayi untuk mendapat jangkitan daripada ibu kepada bayi yang dilahirkan adalah sekitar 30% – 35% dan bayi yang disusukan dengan susu ibu mempunyai risiko tambahan sebanyak 15%.

Kajian awal yang dijalankan menunjukkan bahawa ? daripada bayi yang dilahirkan oleh ibu-ibu yang HIV positif dijangkiti virus HIV semasa penyusuan susu ibu, di mana penyusuan susu ibu dalam jangka masa yang panjang akan lebih mendedahkan bayi kepada jangkitan.

Terdapat beberapa faktor yang mungkin meningkatkan risiko bayi mendapat jangkitan, iaitu :

  1. kekurangan vitamin A, dan
  2. keadaan payudara, seperti :
    • puting merekah
    • mastitis
    • abses payudara

(Sumber gambar : neighborhooduu.org)

Bagaimana Jangkitan Virus HIV Daripada Ibu Kepada Bayi Boleh Terjadi?

Kanak-kanak yang dijangkiti HIV biasanya mendapat virus ini daripada ibunya yang dikenali sebagai “Jangkitan Ibu ke Anak atau Mother to Child Transmission (MTCT)” iaitu jangkitan melalui :

  1. uri semasa kehamilan.
  2. darah dan cecair semasa proses kelahiran, dan
  3. penyusuan susu ibu.

Namun, tidak semua bayi yang dilahirkan oleh ibu HIV positif akan dijangkiti oleh virus ini. Dianggarkan ? bayi yang dilahirkan oleh ibu HIV positif tidak dijangkiti oleh virus ini walaupun tanpa sebarang rawatan. Sebanyak 5 – 20% bayi akan mendapat HIV melalui penyusuan susu ibu dan risiko akan berterusan selagi ibu masih meneruskan penyusuan.

Jadual 1 di bawah menunjukkan anggaran risiko dan tempoh jangkitan virus HIV apabila tiada rawatan dijalankan.

Jadual 1: Anggaran risiko dan tempoh jangkitan virus HIV apabila ibu tidak diberi rawatan.

Tempoh Jangkitan Virus HIV

Anggaran Risiko Jangkitan (%)

Sewaktu mengandung

5-10%

Sewaktu kelahiran

5-10%

Sewaktu penyusuan susu ibu

5-20%

Risiko keseluruhan dengan penyusuan  sehingga 6 bulan

20-35%

Risko keseluruhan dengan penyusuan 18-24 bulan

30-45%

Apakah Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Jangkitan Virus HIV Daripada Ibu Kepada Bayi?

Antara faktor-faktor yang boleh mempengaruhi jangkitan virus HIV daripada ibu kepada bayi adalah :

  1. tempoh penyusuan susu ibu.
  2. penyusuan susu ibu bercampur dengan susu lain (mixed feeding).
  3. keadaan kesihatan payudara dan kesihatan mulut bayi.

Jika seorang ibu mendapat jangkitan HIV semasa mengandung atau semasa menyusu, akan terdapat tahap virus yang tinggi di dalam badan. Dalam keadaan ini, bayi menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti. Manakala jika ibu menghidapi penyakit tersebut pada tahap yang serius dan tidak mendapat apa-apa rawatan didapati tahap virus yang lebih tinggi di dalam badan dan akan lebih mudah menjangkiti bayi.

Virus HIV juga boleh menjangkiti bayi pada bila-bila masa dalam tempoh penyusuan. Secara amnya, lebih lama penyusuan susu ibu dijalankan, lebih tinggi risiko bayi untuk mendapat HIV positif.

Terdapat bukti-bukti saintifik yang menunjukkan bahawa risiko jangkitan virus adalah lebih tinggi jika bayi diberi makanan atau minuman lain dalam tempoh penyusuan susu ibu. Walau bagaimanapun, risiko jangkitan berkurangan jika penyusuan susu ibu diberi secara eksklusif.

Makanan atau minuman lain boleh menyebabkan cirit-birit dan melukakan lapisan dalaman usus lalu memudahkan virus menembusi masuk ke dalam badan bayi. Luka atau rekahan puting susu, radang payudara atau abses payudara boleh meningkatkan risiko jangkitan HIV melalui penyusuan ibu.

Teknik penyusuan yang baik dapat mengurangkan risiko terhadap keadaan-keadaan tersebut dan seterusnya mengurangkan jangkitan HIV. Luka atau jangkitan Candida di dalam mulut bayi memudahkan virus HIV untuk masuk ke dalam badan bayi melalui mukosa yang cedera.

Bagaimana Susu Gantian Boleh Membantu Bayi?

Penyusuan susu gantian adalah pemberian susu lain yang mengandungi semua jenis nutrien  kepada bayi yang tidak menyusu susu ibu sehingga bayi tersebut boleh menerima makanan keluarga sepenuhnya.

Ini bermaksud dalam tempoh 6 bulan pertama, susu gantian yang diberi hendaklah bersesuaian dengan keperluan bayi. Selepas bayi berumur 6 bulan, susu gantian diberi bersama makanan pelengkap yang lain. Di Malaysia, susu gantian bagi bayi yang ibunya HIV positif  adalah Rumusan Bayi.  

Apabila membuat keputusan untuk memberi susu gantian, ibu bapa atau penjaga hendaklah memastikan mereka :

  1. Boleh mendapat kemudahan bekalan air yang bersih dan selamat  (air paip atau sumber perigi yang bertutup).
  2. Menyediakan susu gantian yang mengandungi nutrien yang mencukupi dan bebas daripada kuman.
  3. Berupaya membersihkan tangan dan juga peralatan dengan menggunakan sabun, dan dapat merebus peralatan dengan kerap untuk menyah kuman (sterilize).
  4. Boleh mendidihkan air pada setiap kali menyediakan susu  gantian untuk  bayi.
  5. Boleh menyimpan dan menyediakan susu gantian dengan cara yang bersih, dalam bekas yang bertutup dan dilindungi daripada tikus, serangga dan binatang-binatang lain.

Dalam keadaan di mana ibu bapa atau penjaga tidak dapat melakukan perkara-perkara di atas dengan sempurna, beberapa pilihan makanan/minuman lain boleh dicadangkan kepada mereka untuk dibuat pilihan. Contoh : ibu susuan atau susu ibu perahan daripada ibu lain. Adalah menjadi tanggungjawab anggota kesihatan atau kaunselor laktasi untuk membantu ibu memilih cara pemberian penyusuan berdasarkan keadaan mereka.

Sekiranya seorang ibu yang HIV positif memperolehi rumusan bayi atau susu gantian percuma atau dengan harga yang murah, mestilah dipastikan bekalan adalah berterusan selagi kanak-kanak itu memerlukannya.

(Sumber gambar : en.wikipedia.org)

Bagaimana Sokongan Berterusan Dapat Membantu Ibu Dan Bayi?

Semua ibu perlu diberi maklumat dan bantuan berkaitan penjagaan dan penyusuan bayi selepas kelahiran. Ibu-ibu yang tidak mahu atau tidak boleh memberi susu ibu juga perlu diberi sokongan dan bantuan daripada segi pengurusan penyusuan atau pemakanan bayi mereka. Sokongan atau bantuan ini adalah untuk memastikan bayi mendapat penyusuan atau pemakanan yang optimum dan selamat.

Ibu-ibu perlu diberitahu tentang cara untuk mendapat bantuan berterusan sekiranya menghadapi kesulitan setelah pulang ke rumah. Sokongan ini boleh diperolehi dengan cara-cara berikut :

  1. Menghubungi hospital tempat ibu melahirkan.
  2. Menghubungi Hospital Rakan Bayi berdekatan.
  3. Menghubungi klinik kesihatan yang berdekatan.
  4. Menghubungi Kaunselor Laktasi berpandukan risalah yang diberikan.
  5. Menghubungi kumpulan sokongan terlatih.

Rujukan

  1. Module of Breastfeeding Promotion and Support: A Training Course For Health Professionals, Ministry Of Health Malaysia 2009.
  2. The Baby Friendly Hospital Initiative: Revised, Updated and Expanded for Integrated Care, WHO/ UNICEF 2006.
Semakan Akhir : 28 Februari 2018
Penulis : Norsyamlina Che Abd Halim
Akreditor : Fatimah binti Salim

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,202,938

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia