A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Sistem Respiratori
  8. /
  9. Penyakit Ruang/Rongga Paru-paru

Penyakit Ruang/Rongga Paru-paru

Pengenalan

Penyakit ruang/rongga pleura melibatkan membran nipis yang dipanggil pleura yang melapisi paru-paru luar dan lapisan bahagian dalam dinding paru-paru. Antara lapisan tisu adalah ruang yang sangat nipis dipanggil ruang/rongga pleura. Biasanya ruang ini dipenuhi dengan sedikit cecair kira-kira 4 sudu teh penuh. Cecair ini membantu kedua-dua lapisan pleura bergerak dengan lancar antara satu sama lain semasa anda menarik dan menghembus nafas.

Pleura boleh menjadi terangsang, radang (radang selaput paru-paru) dan dijangkiti. Cecair tambahan (lelehan pleura), udara (pneumothorax), atau darah (hemothorax) boleh berkumpul di dalam rongga selaput paru-paru dan mengakibatkan sebahagian daripada pengempisan paru-paru.

Penyebab Dan Gejala Penyakit Ruang/Rongga Paru-Paru

1. “Pneumothorax”

Udara atau angin boleh terbentuk di dalam ruang pleura/rongga paru-paru. Apabila ini berlaku, ia dipanggil pneumothorax. Penyakit paru-paru atau kecederaan paru-paru akut boleh menyebabkan pneumothorax.

Penyebab Pneumothorax

Beberapa prosedur paru-paru juga boleh menyebabkan pneumothorax. Contohnya seperti pembedahan paru-paru, prosedur mengeluarkan  cecair paru-paru dengan menggunakan  jarum, prosedur bronkoskopi dan bantuan mesin pernafasan (mechanical ventilation).

Kadang-kadang, punca pneumothorax tidak diketahui. Ini dipanggil pneumothorax spontan. Merokok meningkatkan risiko pneumothorax spontan. Sejarah keluarga juga meningkatkan risiko.

Penyakit paru-paru yang boleh menyebabkan pneumothorax adalah penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), tuberculosis (batuk kering) dan lymphangioleiomyomatosis (LAM).

Gejala pneumothorax termasuk:

  • Sakit dada menusuk secara tiba-tiba yang menjadi lebih teruk apabila anda bernafas dalam-dalam atau batuk
  • Sesak nafas
  • Sesak dada
  • Mudah letih
  • Kadar jantung yang cepat
  • Kebiruan pada kulit (yang disebabkan oleh kekurangan oksigen)

Gejala-gejala lain pneumothorax termasuklah perasaan kebimbangan, tekanan, ketegangan dan hypotension. (tekanan darah rendah).

2. “Pleural Efusi”

Dalam beberapa kes-kes radang selaput paru-paru, cecair berlebihan terbina dalam ruang/rongga pleura. Ini dipanggil pengaliran cairan pleural atau pleural efusi. Banyak cecair di dalam rongga paru-paru boleh menguncupkan paru-paru. Ini boleh membuat  sukar bagi anda untuk bernafas.

Kadang-kadang cecair tambahan dijangkiti dan bertukar menjadi bernanah.  Apabila ini berlaku, ia dipanggil “empyema” .

Punca Pleural Efusi

Ini termasuk jangkitan dada atau radang paru-paru, tuberculosis (batuk kering), kanser paru-paru dan lymphangioleiomyomatosis (LAM).

Kegagalan jantung, buah pinggang dan kegagalan hati adalah juga sebab-sebab yang diketahui.

Asbestosis dan tindak balas kepada beberapa ubat-ubatan juga boleh menyebabkan pleural efusi.

Gejala Pleural Efusi

Penyakit ini boleh menyebabkan sesak nafas atau ketidakselesaan dada.

3. “Haemothorax”

Darah juga boleh terkumpul di dalam ruang/rongga pleura. Keadaan ini dipanggil “haemothorax”.

Punca haemothorax

Kecederaan ke bahagian dada, pembedahan dada atau jantung, kanser pleura.

Gejala haemothorax

Gejala haemothorax adalah sama dengan orang-orang yang mendapat pneumothorax. Ini  termasuklah:

  • Sakit dada
  • Sesak nafas
  • Kegagalan pernafasan
  • Kadar jantung yang cepat
  • Kebimbangan  dan rasa gelisah

4. Radang selaput paru-paru (“Pleurisy”)

“Pleurisy” adalah apabila selaput paru-paru berada di dalam keadaan radangan.

Punca radang selaput dada

Banyak keadaan boleh menyebabkan radang selaput paru-paru. Jangkitan virus punca yang paling biasa. Sebab-sebab lain termasuk:

  • Jangkitan bakteria seperti radang paru-paru dan tuberculosis (batuk kering) dan jangkitan daripada kulat atau parasit
  • Embolisme Pulmonari (salur darah pada paru-paru tersumbat secara tiba-tiba, biasanya disebabkan oleh darah beku)
  • Penyakit autoimun, seperti lupus dan artritis reumatoid
  • Kanser seperti kanser paru-paru, limfoma dan mesothelioma
  • Pembedahan dada dan jantung terutamanya pembedahan pintasan jantung koronari.
  • Penyakit paru-paru, seperti lymphangioleiomyomatosis (LAM) atau asbestosis
  • Penyakit Radang Usus
  • Demam Familial Mediterranean (satu keadaan yang diwarisi yang sering menyebabkan demam dan bengkak di bahagian abdomen atau paru-paru)

Sebab-sebab lain termasuk kecederaan selaput paru-paru, pankreatitis (radang pankreas), dan tindak balas kepada beberapa ubat-ubatan.

Kadang-kadang punca radang selaput paru-paru tidak diketahui.

Gejala radang selaput dada

Gejala utama adalah rasa tajam atau menikam sakit dada. Kesakitan menjadi lebih teruk apabila anda menarik nafas secara mendalam, batuk atau bersin.

Kesakitan boleh berada di satu tempat atau merebak ke bahu atau belakang. Kadang-kadang sakit tidak hilang lansung.

Bergantung kepada punca radang selaput dada, anda mungkin mempunyai tanda-tanda lain seperti:

  • Sesak nafas atau pernafasan cetek
  • Batuk
  • Demam dan menggigil
  • Penurunan berat badan yang tidak diketahui puncanya

Rawatan

Rawatan yang boleh diberikan adalah seperti berikut:

Prosedur, ubat-ubatan dan kaedah lain. Matlamat rawatan termasuk:

  • Melegakan gejala
  • Mengeluarkan cecair, udara atau darah dari ruang pleura (jika terdapat dalam jumlah yang besar)
  • Merawat penyebab keadaan-keadaan (pneumothorax, pleural effusion, haemothorax, pleurisy) tersebut

Melegakan Gejala

Untuk melegakan gejala radang selaput paru-paru , doktor anda mungkin mencadangkan:

  • Paracetamol atau ubat-ubatan anti-radang (seperti ibuprofen) untuk mengawal kesakitan.
  • Ubat batuk berasaskan codeine untuk mengawal batuk
  • Berbaring di sebelah bahagian yang lebih sakit. Ini mungkin membuat anda lebih selesa.
  • Pernafasan secara mendalam dan batuk untuk mengeluarkan lendir bila sakit sudah berkurangan. Jika tidak, anda boleh dijangkiti pneumonia.
  • Mendapatkan banyak rehat.

Mengeluarkan Bendalir, Angin atau Darah Dari Ruang/Rongga Pleura

Doktor anda mungkin mencadangkan mengeluarkan cecair, udara atau darah dari ruang/rongga pleura anda untuk mengelakkan paru-paru mengecut.

Prosidur yang digunakan untuk mengeluarkan cecair, udara atau darah dari ruang/rongga pleura adalah sama.

  • Doktor akan memasukkan jarum halus atau tiub plastik ke dalam ruang/rongga pleura. Picagari digunakan untuk menarik bendalir keluar dari dada anda. Prosidur ini boleh mengeluarkan lebih daripada 6 cawan cecair pada satu masa.
  • Jika doktor anda perlu mengeluarkan banyak cecair, dia boleh menggunakan tiub dada. Doktor anda akan menyuntik ubat penahan sakit ke bahagian dada anda di mana cecair itu berada. Beliau kemudian akan memasukkan tiub plastik ke dalam dada di antara dua tulang rusuk. Tiub akan disambungkan kepada bekas yang akan menakung cecair keluar. Doktor anda akan menggunakan X ray dada untuk memeriksa kedudukan tiub ini.
  • Doktor anda juga boleh menggunakan tiub dada untuk mengalirkan darah dan udara dari ruang pleura. Proses ini boleh mengambil masa beberapa hari. Tiub akan ditinggalkan di ruang pleura dan anda mungkin akan tinggal di hospital untuk beberapa hari.

Kadang-kadang, cecair di dalam ruang/rongga pleura mengandungi nanah tebal atau pembekuan darah. Ia boleh menjadi seperti kulit yang keras yang menjadikan cecair lebih sukar untuk dikeluarkan. Untuk membantu memecahkan nanah atau darah beku, doktor anda boleh menggunakan tiub dada untuk memasukkan ubat-ubatan yang dipanggil “fibrinolytics” (pencair) ke dalam ruang/rongga pleura. Jika bendalir masih tidak keluar, anda mungkin perlu pembedahan.

Jika terdapat kebocoran kecil, udara boleh keluar secara berterusan ke dalam ruang/rongga pleura. Doktor anda boleh meletakkan suatu injap sehala ke tiub dada. Injap membolehkan udara untuk keluar dari ruang pleura tetapi tidak kembali semula. Menggunakan injap membolehkan anda untuk meneruskan rawatan dari rumah.

Merawat Penyebab keadaan-keadaan (pneumothorax, pleural effusion, haemothorax, pleurisy) tersebut

Sampel cecair yang telah dikeluarkan akan diperiksa di bawah mikroskop. Ini boleh memberitahu doktor penyebab cairan yang dihasilkan dan juga boleh memutuskan cara terbaik untuk merawatnya.

Jika cecair mengesahkan jangkitan, rawatan akan melibatkan antibiotik dan mengeluarkan cecair. Jika anda mempunyai tuberculosis (batuk kering) atau jangkitan kulat, rawatan akan melibatkan penggunaan anti-tuberkulosis atau ubat-ubatan antikulat.

Jika tumor dalam pleura yang menyebabkan pembentukan cecair, cecair boleh dirembeskan oleh sel-sel tumor dan berkumpul semula dengan cepat. Ubat-ubatan anti-tumor boleh menghalang cairan daripada dihasilkan lagi. Jika tidak, doktor anda boleh menampal ruang/rongga pleura. Penampalan  ruang/rongga pleura dipanggil pleurodesis.

Bagi prosedur ini, doktor akan mengeluarkan semua bendalir daripada ruang/rongga pleura anda melalui tiub dada. Doktor kemudian akan memasukkan bahan pelekap melalui tiub dada. Bahan ini akan meransang permukaan pleura. Ini akan menyebabkan kedua-dua lapisan pleura melekat bersama-sama dan menghalang cecair lebih daripada terbentuk semula.

Kemoterapi atau rawatan radiasi juga boleh digunakan untuk mengurangkan saiz tumor.

Jika kegagalan jantung yang menyebabkan cairan dihasilkan, rawatan lazimnya adalah diuretik (ubat yang membantu mengurangkan pembentukan cecair) dan ubat-ubatan lain.

Pencegahan

Penyakit ruang/rongga pleura dan radang selaput paru-paru (pleurisy) boleh dicegah dengan mengelakkan faktor-faktor penyebab. Peranan berhenti merokok perlu ditekankan.

Rujukan

  1. Mediline plus
  2. Pubmed
  3. National Heart , Lung and Blood Institute

 

Semakan Akhir : 16 Januari 2015
Penulis/Penterjemah : Dr. Norhaya bt. Mohd Razali
Akreditor : Dr. Jamalul Azizi b. Abdul Rahman

 

Artikel Berkaitan

Mitos Pendermaan Darah

Terdapat berbagai mitos berkaitan pendermaan darah yang menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat. Oleh itu, ramai orang mengelakkan diri dari menderma darah.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,416,171

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia