A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Penyakit Kelamin

Penyakit kelamin boleh disebarkan melalui hubungan seks. Ia juga dikenali sebagai SexuallyTransmitted Infections (STI's).

Apakah penyakit kelamin?

Penyakit kelamin boleh disebarkan melalui hubungan seks. Ia juga dikenali sebagai SexuallyTransmitted Infections (STI’s). Organisma yang menyebabkan penyakit kelamin adalah terdiri daripada bakteria, virus atau fungus.

Apakah jenis-jenis penyakit kelamin?

Berikut adalah jenis-jenis dan organisma yang terlibat

STD
Organisma
Gonorea bacteria Neisseria gonorrhoeae
Sifilis bacteria Treponema pallidum
Non-gonococcal urethritis (NGU) Chlamydia trachomatis
Vaginal candidiasis Candida albicans (fungus)
Genital herpes Herpes simplex virus type 1 & 2
Genital warts (Ketuat kemaluan) Human papilloma virus
HIV/AIDS Human immunodeficiency virus
Hepatitis B Hepatitis B virus
Trichomoniasis Trichomonas vaginalis

Bagaimanakah penyakit kelamin merebak?

Penyakit kelamin merebak melalui:

  • Hubungan seks
  • Berdampingan secara fizikal pada bahagian kemaluan dengan individu yang telah dijangkiti

Beberapa jenis penyakit kelamin boleh merebak melalui pemindahan cecair badan (air mani dan cecair dari faraj) daripada individu yang telah dijangkiti contohnya HIV, Hepatitis B, NGU dan gonorea.

Sementara itu, jangkitan penyakit kelamin seperti sifilis, herpes dan warts boleh merebak melalui sentuhan kulit. Penyakit sifilis, hepatitis B dan HIV juga boleh merebak melalui ibu yang telah dijangkiti virus tersebut kepada bayinya ketika dalam rahim atau sewaktu dilahirkan, penagih berkongsi jarum atau pemindahan darah yang dijangkiti.

Tanda dan Gejala

Apakah tanda-tanda dan gejala-gejala penyakit kelamin?

Ia bergantung kepada jenis dan peringkat jangkitan tersebut. Kadang-kala, pesakit tidak mempunyai sebarang tanda-tanda atau gejala (dikenali sebagai asymptomatic infection).

Tanda-tanda jangkitan ini ialah:

  • Lelehan daripada kemaluan
  • Sakit semasa kencing
  • Luka atau ulser di bahagian kemaluan
  • Ketumbuhan di bahagian kemaluan
  • Bengkak kelenjar limfa di bahagian pangkal peha
  • Ruam di bahagian kemaluan dan anggota badan
  • Mata berair bagi bayi yang dijangkiti

Diagnosis penyakit kelamin

Bagaimanakah diagnosis atau pengesahan penyakit kelamin dilakukan?

Ujian darah dapat mengesahkan beberapa penyakit kelamin termasuk sifilis, hepatitis B dan HIV. Ada juga yang dapat disahkan melalui lelehan atau sampel cecair daripada kulit atau membran mukus.

Komplikasi

Sekiranya tidak dirawat awal, jangkitan kuman akan merebak ke organ lain dan menyebabkan komplikasi:

  • Bagi lelaki, boleh merebak ke bahagian testis, vesikel semen dan kelenjar prostat lalu menyebabkan kesakitan dan kemandulan.
  • Bagi wanita, ia boleh mengakibatkan kemandulan, mengandung luar rahim atau jangkitan pelvis.
  • Bagi bayi, jangkitan herpes boleh menyebabkan buta atau terencat akal. ‘Congenital syphilis’ di kalangan bayi menyebabkan kecacatan semasa kelahiran.

Terdapat beberapa jenis ketuat kemaluan menyebabkan kanser. Sebanyak 5-10 peratus penghidap hepatitis B menjadi pesakit kronik dan berisiko tinggi untuk mendapat kanser hati.

Rawatan

Adakah penyakit kelamin boleh dirawat dan disembuh?

Penyakit kelamin boleh dirawat dengan antibiotik, ubat anti-virus atau anti-fungus. Satu atau lebih ubat mungkin diperlukan untuk merawat dan menyembuh penyakit kelamin. Tidak semua penyakit kelamin dapat disembuh.

Sesetengah penyakit kelamin boleh dirawat berdasarkan gejala-gejala seperti ulser di kemaluan, lelehan dari uretra dan faraj. Ia dipanggil sebagai ‘Modified Syndromic Approach'(MSA) yang terdapat di klinik kesihatan kerajaan.

Rawatan awal boleh mencegah jangkitan daripada merebak dan komplikasi :

  • Dapatkan rawatan segera daripada doktor berdekatan bagi antibiotik yang bersesuaian
  • Jauhkan diri daripada hubungan seks sebelum mendapatkan pengesahan doktor bahawa anda telah sembuh
  • Jangan ambil rawatan sendiri kerana ia dapat merencatkan gejala jangkitan dan menyebabkan komplikasi akibat rawatan tidak lengkap
  • Pastikan pasangan anda mendapatkan pemeriksaan lanjut supaya rawatan awal dapat diberikan sekiranya dia dijangkiti.

Pencegahan

Amalkan hubungan seks yang selamat

  • Penyebaran jangkitan penyakit kelamin dapat dielakkan melalui langkah berikut:
    • Jauhi diri, jika boleh, daripada mengadakan hubungan seks
    • Setia kepada pasangan anda.
    • Amalkan hubungan seks yang selamat seperti menggunakan kondom
    • Jauhi diri daripada alkohol sebelum atau selepas hubungan seks kerana ia menyebabkan anda hilang pertimbangan

Suntikan pelalian

Suntikan pelalian hepatitis B dapat memberikan perlindungan sepanjang hayat.

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad
Penyemak : Dr. Nor Faizah bt. Ghazali

Artikel Berkaitan

SARS

Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) adalah penyakit paru-paru yang teruk. Ia boleh menyebabkan kesukaran bernafas dan menyebabkan kematian. SARS disebabkan oleh virus baru dalam kumpulan virus corona (dari kumpulan yang sama penyebab selesema biasa).

Terapi HIV

Rawatan ditawarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah ubat ’highly active antiretroviral therapy’ (HAART). Ini adalah merupakan kombinasi sekurang-kurangnya 3 jenis ubat anti-HIV yang dapat mengurangkan jumlah virus HIV dalam badan dan keterukan penyakit HIV. Rawatan ini terdapat di klinik kesihatan dan hospital KKM.

Influenza Pandemik

Influenza Pandemik berlaku apabila virus selesema baru muncul dan sebelum ini tidak pernah beredar di dalam badan manusia. Kebimbangan sekarang adalah selesema burung yang akan bertukar kepada bentuk jangkitan yang berisiko tinggi kepada manusia dan mudah merebak di antara satu sama lain.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,394,907

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia