A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Penyakit Gusi Bagi Ibu Mengandung

Tahukah anda, mengandung merupakan proses perubahan  fisiologi  badan seseorang wanita? Apabila mengandung, wanita akan mengalami perubahan ketara daripada aspek fizikal dan rohaninya,  termasuklah kesihatan secara menyeluruh. Di dalam konteks ini, kesihatan mulut  juga tidak terkecuali.

Apabila mengandung, perubahan paras hormon estrogen dan progesteron meningkat. Peningkatan paras hormon-hormon ini mengakibatkan kesihatan gusi terjejas di mana pengumpulan plak (sisa-sisa makanan yang melekat di celah-celah gusi dan gigi akibat daripada tidak memberus gigi dengan berkesan) menyebabkan keradangan gusi (gingivitis). Jika tidak dirawat, penyakit ini akan menjadi peringkat yang lebih serius iaitu periodontitis.

Gingivitis dan Periodontitis

Gingivitis merupakan penyakit gusi berbalik bermakna apabila rawatan dilakukan, keadaan gusi kembali normal. Punca penyakit ini ialah plak. Plak mengandungi bakteria yang mengeluarkan toksin dan merosakkan struktur tisu yang menyokong gigi termasuklah gusi. Tanda-tandanya termasuklah gusi berdarah ketika memberus gigi, gusi membengkak dan warna gusi kemerah-merahan tanda keradangan. Keadaan ini menjadi lebih teruk jika sudah mempunyai penyakit ini sebelum mengandung. Dengan perkataan lain, wanita mengandung mengalami keradangan gusi yang lebih serius jika dibiarkan tanpa rawatan.


(A)
 

(B)

Gambar A menunjukkan penyakit gusi peringkat awal (“gingivitis”).Gusi berwarna merah dan bengkak. Setelah menerima rawatan tunjuk ajar higin mulut dan penskaleran, gusi kembali normal (Gambar B).

Jika lambat menerima rawatan, gingivitis akan menjadi penyakit gusi yang lebih teruk iaitu ‘periodontitis’. Periodontitis  mengakibatkan  kehilangan tulang yang menyokong gigi dan merupakan proses yang tidak berbalik. (Apabila rawatan dilakukan, gusi dan tulang tidak menjadi seperti asal). Ciri-cirinya ialah gigi kelihatan panjang, gusi menyurut, gigi menjadi jarang, bau mulut, gigi ngilu (sensitive) dan gigi menjadi semakin longgar.


(C)
 

(D)

Gambar C menunjukkan keadaan mulut pesakit yang mengandung di dalam trimester kedua. Perhatikan gusi yang menyurut dan membengkak. Warna gusi kemerah-merahan pada gigi depan bawah. Pesakit ini mengalami “periodontitis.”

Wanita mengandung juga terdedah mengalami keradangan gusi yang lebih serius iaitu epulis (ketumbuhan) gusi ketika mengandung (pregnancy epulis). (Gambar D). Tanda-tandanya ialah kebengkakan pada permukaan gusi dan bersaiz besar (boleh mencecah sehingga 1 cm jika dibiarkan tanpa rawatan). Ianya mudah berdarah dengan banyak terutama ketika memberus gigi. Ia berkait rapat dengan tahap kebersihan mulut yang tidak memuaskan di mana terdapatnya mendapan karang dan plak yang banyak di bawah gusi. Epulis ini tidaklah berbahaya seperti penyakit barah kerana ianya bersifat benign (bukan kanser).

Penyakit Gusi dan Risiko untuk melahirkan bayi pra-matang dan bayi kurang berat.

Kajian menunjukkan wanita mengandung mungkin terdedah kepada risiko-risiko seperti melahirkan bayi pra-matang (bayi tidak cukup bulan) iaitu melahirkan anak sebelum minggu ke 37 kandungan dan berat bayi lebih rendah daripada normal/kebiasaan. Ini mungkin terjadi daripada jangkitan bakteria yang memasuki ke dalam aliran darah melalui gusi dan bergerak ke dalam rahim. Setibanya di rahim, bakteria ini akan menyebabkan pengeluaran sejenis bahan perantara kimia iaitu prostaglandin yang mempercepatkan pengecutan rahim dan kelahiran bayi pada masa yang lebih awal dari yang sepatutnya.

Risiko mendapat Diabetes dan Penyakit Gusi

Wanita mengandung juga berisiko untuk mendapat “Gestational Diabetes” iaitu Kencing Manis ketika mengandung. Kencing Manis adalah faktor risiko untuk menjadikan penyakit gusi bertambah teruk akibat daripada sistem pertahanan badan yang rendah dan lemah.

Rawatan  dan Pencegahan

Wanita mengandung dinasihati untuk berjumpa doktor gigi pada fasa trimester pertama (usia kandungan satu hingga tiga bulan) bagi memeriksa status kesihatan mulut. Di Malaysia, setiap ibu mengandung dikehendaki untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mulut sebagai langkah pencegahan bagi mengelak masalah yang mungkin akan timbul ketika mereka mengandung.

Kerjasama daripada Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) dan Bahagian Perkhidmatan Pergigian di Peringkat Primer sangat baik dan harus dipuji. Setiap bulan terdapat jadual khas untuk pemeriksaan ibu mengandung di klinik-klinik kerajaan. Bagaimana pun ianya masih bergantung kepada  kerjasama dan motivasi pesakit itu sendiri untuk datang menjalankan pemeriksaan dan rawatan  ke klinik-klinik pergigian kerajaan. Diharapkan bagi wanita mengandung di luar sana akan memberi kerjasama yang baik  untuk datang membuat pemeriksaan kesihatan mulut demi memastikan keadaan kesihatan mulut mereka terjamin.

Wanita mengandung seharusnya mengamalkan cara penjagaan kesihatan mulut yang betul dan berkesan. Apabila datang ke klinik, doktor akan memberi tunjuk ajar higin mulut yang bersesuaian dengan keperluan pesakit (customized oral hygiene instruction). Dinasihatkan wanita mengandung perlu memberus gigi dengan berkesan sekurang-kurangnya 2 atau 3 kali sehari, memflos gigi dan mengamalkan pemakanan yang seimbang.

Rawatan-rawatan seperti penskaleran (rawatan membuang karang dan plak) dan pendebridmen akar (rawatan membuang karang di permukaan akar di bawah gusi) boleh dilakukan pada fasa trimester kedua (usia kandungan 4 hingga 6 bulan). Bagaimanapun sekiranya usia kandungan mencecah 7 hingga 9 bulan (fasa trimester ketiga), hanya rawatan kecemasan sahaja (contohnya seperti kesakitan gigi atau gusi bernanah) yang  dilakukan.
 


(E)
 

(F)

Gambar E menunjukkan penyakit gusi “Periodontitis” di peringkat lanjut. Gusi berwarna merah darah, bengkak dan mudah berdarah. Selepas penskaleran, gigi kelihatan panjang dan gusi  menyurut akibat kehilangan tulang yang menyokong gigi. (Gambar F)

Pengambilan x-ray seboleh-bolehnya dielakkan kecuali bagi kes-kes kecemasan yang memerlukan penyiasatan lanjut. Bagi yang mengalami “pregnancy epulis”, doktor akan menasihatkan pesakit agar menjaga kebersihan mulut. Biasanya bengkak ini akan mengecil sesudah melahirkan anak. Pembedahan akan dilakukan jika bengkak semakin membesar dan mengganggu pengunyahan atau mengalami kesukaran ketika memberus gigi.

Kesimpulan

Wanita mengandung tidak boleh mengambil mudah dengan kesihatan mulut. Mereka perlulah menjalani pemeriksaan yang berkala bagi mengelakkan sebarang masalah pergigian daripada terjadi ketika mengandung. Kesedaran dan pengetahuan yang tinggi tentang bagaimana untuk menjaga kebersihan mulut dengan berkesan adalah penting. Diet yang seimbang juga haruslah diamalkan. Mereka bolehlah mengambil zat-zat tambahan seperti Vitamin C, asid folik dan Vitamin B12 seperti yang disarankan oleh doktor.

Kebersihan mulut yang baik adalah salah satu kunci kepada kesihatan menyeluruh!!!  

Rujukan

  1. http://www.perioimplant.com/periodontal_education/women.html
  2. http://www.knowyourteeth.com/infobites/abc/article
  3. http://www.pregnancy.org/article/dont-get-saddled-periodontal-disease-during-pregnancy
  4. http://www.hindawi.com/journals/jp/2010/293439/

 

Semakan Akhir : 7 Mac 2014
Penulis : Dr. Rusmizan b. Yahaya
Akreditor : Datin Dr. Sorayah bt. Sidek

 

Artikel Berkaitan

Autisma Dan Kesihatan Pergigian

Individu dengan autisma memerlukan pendekatan khas untuk penjagaan kesihatan mulut. Pencegahan masalah pergigian adalah isu penting disebabkan oleh beberapa faktor

Gigi Tidak Tersusun

Gigi tidak tersusun atau maloklusi ialah suatu keadaan di mana gigi-gigi dalam mulut tidak tersusun dengan baik atau jongang.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,451

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia