A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Bidang Kepakaran
  6. /
  7. Pergigian Kanak-kanak
  8. /
  9. Penjagaan Mulut Kanak-Kanak Berkeperluan...

Penjagaan Mulut Kanak-Kanak Berkeperluan Khas

Golongan ini juga memerlukan penjagaan kesihatan pergigian sebagaimana rakan sebaya mereka yang sihat dan seperti mereka memerlukan penjagaan kesihatan yang lain.

 

Latar belakang

Kanak-kanak istimewa ialah kanak-kanak yang memerlukan penjagaan khusus kerana mempunyai masalah fizikal, mental atau pun perubatan. Golongan ini juga memerlukan penjagaan kesihatan pergigian sebagaimana rakan sebaya mereka yang sihat dan seperti mereka memerlukan penjagaan kesihatan yang lain.

Kanak-kanak istimewa memerlukan penjagaan gigi khusus kerana:

  • Mereka mudah dan berisiko tinggi untuk mengidap penyakit pergigian kerana tidak berupaya menjaga kebersihan mulut sendiri.
  • Rawatan gigi mungkin sukar dilakukan dan memerlukan lebih masa bagi merawat mereka
  • Pengubahsuaian dalamrawatan diperlukanmengikut keadaan fizikal mereka
  • Penyakit pergigian dan rawatannya boleh membawa risiko kepada nyawa mereka.

Oleh yang demikian pencegahan dari masalah oral dan pergigian perlu di utamakan dalam golongan ini bagi mengelakkan dari berlakunya perkara di atas.

Masalah pergigian yang biasa di hadapi oleh kanak-kanak istimewa adalah seperti berikut :

  • Kerosakan gigi
    • Kanak-kanak berkeperluan khas lebih mudah mengalami kerosakan gigi di sebabkan tidak bekerjasama dan mempunyai kesukaran untuk menggosok gigi atau juga perlu mengambil ubat ubatan yang manis dalam tempoh jangka panjang.
  • Masalah Gusi
    • Masalah gusi kerap dialami di kalangan mereka yang kurang menjaga kebersihan mulut menyebabkan plak dan karang gigi mudah terkumpul di mulut. Keadaan sedemikian mengakibatkan gusi merah dan mudah berdarah. Setengah golongan seperti kanak-kanak Sindrom Down sering mengalami masalah seperti ini.
  • Anomali gigi dan kecacatan pembentukan gigi
    • Anomali gigi bermaksud variasi dalam saiz, bentuk, struktur dan bilangan gigi. Kanak-kanak berkeperluan khas di dapati mengalami lebih banyak anomali gigi disebabkan sesuatu sindrom yang mereka alami.
    • Anomali struktur gigi boleh di dapati dalam bentuk lekukan, kelainan warna atau kehadiran garisan di permukaan gigi. Kecacatan- kecacatan ini menyebabkan gigi susah untuk di bersihkan.
    • Anomali gigi boleh menyebabkan gigi menjadi berlapis disebabkan kelebihan bilangan atau terlalu lama berada di mulut lebih dari jangka waktunya.
  • Tingkah laku atau aktiviti tidak normal
    • Bruxism atau mengunyah gigi berterusan adalah sesuatu yang kerap berlaku di kalangan kanak-kanak bermasalah cerebral palsi. Tingkah laku sedemikian adalah berpunca dari koordinasi otot mulut yang tidak baik. Ia mengakibatkan permukaan gigi menjadi haus/ rata
    • menyimpan makanan dalam mulut untuk jangka masa tertentu baru menelan; menambah risiko kerosakan gigi
    • mencederakan diri sendiri – seperti menggigit bibir, mencabut gigi sendiri adalah tingkah laku yang sering di hadapi kanak-kanak cerebral palsi yang kurang daya fikiran. Jika keadaan sedemikian berlaku, kanak-kanak itu perlu di rujuk kepada doktor gigi.
  • Trauma gigi
    • Trauma atau kecederaan pada muka dan mulut kerap berlaku kepada kanak-kanak yang kurang daya pemikiran, kerap mendapat sawan dan bermasalah koordinasi otot. Gigi juga akan lebih berisiko untuk cedera dan berganjak dari soketnya apabila kanak-kanak ini terjatuh terutama nya bagi mereka yang berkeadaan jonggang.

Langkah langkah pencegahan pergigian

Pencegahan dari masalah pergigian di kalangan kanak-kanak berkeperluan khas mesti lebih di utamakan berbanding dengan rakan sebaya yang normal. Perkara yang perlu di tekankan adalah seperti berikut :

  • Penjagaan kebersihan mulut
    • Memberus gigi menggunakan ubat gigi berfluorida sekurang-kurangnya 2 kali sehari
      • Berus gigi elektrik / bateri, berus super dan berus gigi dengan pemegang yang diubahsuai dapat membantu penjagaan pergigian
         
         
        Berus gigi elektrik
         
        Adaptasi untuk berus gigi
         
        Berus gigi Super
      • Gunakan kuantiti ubat gigi yang minima sahaja untuk mengelakkan rasa tercekik/ loya. Pemicitan ubat gigi ke berus gigi harus di kawal oleh ibubapa atau penjaga
      • Tidak perlu berkumur selepas berus gigi – memadai sapukan buih berlebihan menggunakan tuala bersih
      • Memberus gigi boleh dilakukan di atas sofa, di pangkuan penjaga atau di tilam, jika sukar membawa mereka ke bilik air


        Gambarajah 1: Memberus gigi dalam keadaan berbaring di tilam
         

    • Berkumur kumur setiap kali lepas makan
    • Banyakkan minum air masak selepas makan
    • Bersihkan mulut dan gigi menggunakan tuala pada keadaan yang sukar menggunakan berus gigi
       
  • Pengambilan makanan seimbang yang kurang kandungan gula
    • Kawalkan pengambilan makanan dan minuman yang manis
    • Ajarkan makanan yang sihat – seperti buah-buahan dan sayuran
    • Makanan yang melekat dan manis seperti karamel dan biskut – sukar untuk dibersihkan dan perlu di kurangkan
  • Pemeriksaan awal dan berkala
    • Pemeriksaan awal membolehkan masalah pergigian di kenalpasti dengan lebih awal dan mengelakkan rawatan yang lebih kompleks.
    • Kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan rawatan berkala yang lebih kerap dari rakan sebaya yang normal. Mereka di nasehatkan melawat klinik gigi sebanyak 3 ke 4 setahun.
    • Dalam lawatan-lawatan berikut doktor gigi akan dapat melakukan rawatan aplikasi fluorida pada gigi bagi mengurangkan karies dan prosedur fisur sealan (menutup alur di permukaan atas gigi) sebelum ia berkaries

Bagaimanakah rawatan pergigian dapat dijalankan untuk kanak-kanak istimewa?

  • Sebahagian besar kanak-kanak ini dapat di rawat seperti kanak-kanak lain
  • Kekangan fizikal (seperti memegang anggota badan) kadangkala diperlukan untuk mengelakkan kecederaan kepada pesakit dan perawat
  • Ubat ubat sedatif untuk menenangkan mereka kadangkala dapat membantu
  • Sebahagian kanak-kanak ini perlu dirawat menggunakan bius am jika mereka tidak dapat bekerjasama dengan perawat ataupun jika rawatan kompleks diperlukan


    Rawatan pergigian dengan bius am

Di klinik manakah kanak-kanak istimewa ini boleh mendapatkan rawatan ?

Pemeriksaan pergigian boleh di lakukan oleh Jururawat Pergigian dan/ atau Pegawai Pergigian di klinik berhampiran rumah anda. Mereka akan merawat masalah yang berkaitan, jika pesakit perlu rawatan lanjut, mereka akan di rujuk ke hospital untuk di rawat oleh Pakar Pergigian Kanak-kanak

 

Semakan Akhir : 13 Ogos 2012
Penulis : Dr. Laila bt. Abdul Jalil
    Dr. Che Noor Aini bt. Che Omar
Penterjemah : Zainah bt. Ibrahim
Akreditor : Dr. Sharol Lail bin Sujak
Penyemak : Dr. Aminah bt. Marsom

 

Artikel Berkaitan

Kaedah Penyusuan Bayi Dengan Klef

Permasalahan yang sering berlaku adalah jangkamasa penyusuan yang berpanjangan dan pengambilan nutrisi yang tidak mencukupi. Ini menyebabkan pembakaran kalori berlebihan dan  menjejaskan kenaikan berat badan bayi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,371,509

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia