A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Penjagaan Mata Semasa Di...

Penjagaan Mata Semasa Di Pra Sekolah Dan Sekolah

Pengenalan

Pancaindera yang sempurna penyumbang kepada perkembangan kanak-kanak yang sihat dan cerdas. Mata merupakan salah satu pancaindera yang sangat penting untuk dijaga dimana ramai ibu bapa terlupa tentangnya.

Pada masa yang sama, guru-guru perlu memainkan peranan dan tanggungjawab yang besar memandangkan seawal umur empat tahun kanak-kanak telah dihantar ke pra-sekolah.

Jadi pentingnya penjagaan mata semasa di sekolah memandangkan hampir keseluruhan masa kanak-kanak dihabiskan di sekolah. Ibu bapa perlu sedar dan percaya bahawa guru adalah individu yang paling rapat dan kenal anak-anak mereka.

Pernahkah anda terfikir kenapa penjagaan mata semasa di sekolah amat penting. Ia penting memandangkan kemalangan boleh berlaku di:

  • bilik darjah
  • padang sekolah
  • persekitaran sekolah (sewaktu bermain)
  • kantin
  • makmal atau bengkel kemahiran hidup
  • luar pagar sekolah dan sewaktu menaiki kenderaan

 

Rajah 1: Antara Aktiviti Membawa Faktor Kecederaan Mata Semasa Di Sekolah

Berdasarkan statistik kemalangan dari Januari  hingga Mei 2008 yang dilaporkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang, sebanyak 12% kes kemalangan dilaporkan di sekolah manakala baki 88 peratus berlaku di luar sekolah.

Sekolah yang berkesan dan efektif adalah sekolah yang berupaya untuk mengekalkan persekitaran yang selamat dan teratur untuk persekitaran pembelajaran (Murphy et al.1985).

Punca kemalangan saling berhubung kait dengan faktor manusia, faktor persekitaran dan faktor semulajadi. Sebagai contoh di makmal sains atau di bengkel pertukangan tidak dipaparkan dengan jelas peraturan-peraturan keselamatan yang perlu dipatuhi.

Pihak sekolah berjaya membentuk persekitaran yang selamat dengan menyediakan program-program atau polisi-polisi yang positif melalui kerjasama yang erat antara komuniti sekolah, ibu bapa, badan-badan kerajaan dan pertubuhan sukarelawan

Apakah Perkara-Perkara Yang Perlu Dilakukan Untuk Mengurangkan Kemalangan

  • Pentadbir atau guru perlu bertugas  mengawasi di pintu masuk dan kawasan bangunan sebelum dan selepas persekolahan.
  • Guru perlu hadir bersama pelajar pada setiap program dan aktiviti di setiap tempat atau bilik khas
  • Meletakkan petugas bagi membantu mengawal trafik di dalam dan di luar sekolah semasa dan selepas sekolah.
  • Guru menerangkan aspek keselamatan yang perlu dipatuhi dan menganjurkan program dalam menerap kesedaran dan keselamatan di sekolah.
  • Pihak sekolah bertanggungjawab melaksanakan polisi untuk menentukan keselamatan dalam setiap aktiviti kokurikulum sepanjang masa persekolahan.
  • Menyediakan ruangan khas menunggu yang selamat bagi murid terutama yang sampai terlalu awal atau terpaksa pulang lewat.

Kemalangan yang berlaku boleh menyebabkan fungsi penglihatan terganggu dan boleh menjejaskan perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak. Ini berlaku kerana deria penglihatan tidak hanya berfungsi untuk melihat malah penting untuk mobiliti dan koordinasi.

Pepatah melayu ada menyebut mencegah lebih baik daripada mengubati. Selain daripada kepentingan untuk mengelakkan kemalangan berlaku, saringan penglihatan merupakan langkah pencegahan yang paling efektif yang boleh dilakukan oleh  guru  dalam mengesan masalah penglihatan pada kanak-kanak.

Tanda-tanda dan simptom-simptom masalah penglihatan perlu diawasi kerana kanak-kanak ini tidak akan mengadu mengenai masalah penglihatan mereka sehingga peringkat yang sangat kritikal.

Apakah Tujuan Saringan Penglihatan Dibuat Sebelum Sesi Pembelajaran Bermula?

  • Untuk mengenalpasti tahap ketajaman penglihatan
  • Untuk mengesan masalah penglihatan pada peringkat awal
  • Untuk rujukan dan rawatan susulan
  • Untuk memudahkan guru membuat sususan kedudukan murid di dalam kelas ketika sesi pembelajaran
  • Untuk memastikan pelajaran tidak terjejas akibat daripada masalah penglihatan

Apakah Tanda-Tanda Masalah Penglihatan Pada Kanak-Kanak?

  • mengecilkan kelopak mata apabila melihat papan tanda atau menonton tv
  • suka mengelip dan menggosok mata secara terlampau terutama dalam kelas
  • meneleng atau menjeling ke satu arah untuk fokus
  • mata merah atau berair dalam keadaan normal
  • suka meniru kawan semasa menyalin dari papan hitam

Saringan penglihatan dapat membantu guru sekolah mengenalpasti kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan dan perlu dirujuk kepada Optometris atau Pakar Oftalmologi untuk mendapatkan pemeriksaan yang lengkap.

Masalah rabun merupakan antara penyebab utama masalah penglihatan dikalangan kanak-kanak sekolah dan merupakan penyebab kedua tertinggi kebutaan selepas masalah katarak (Dandona & Dandona, 2001).

Kenapa Kanak-Kanak Perlu Disaring Tahap Penglihatannya?

  • Kanak-kanak dengan masalah penglihatan kebiasaannya tidak tahu apa yang kanak-kanak normal lihat.
  • Kebanyakan masalah penglihatan hanya dapat dikesan melalui saringan penglihatan.
  • 40% penyebab kebutaan pada kanak-kanak boleh dielak dan dirawat.
  • Tanpa penglihatan yang baik, kebolehan kanak-kanak akan terbatas.
  • Masalah penglihatan terdapat dalam setiap seorang daripada 20 orang kanak-kanak prasekolah dan seorang daripada empat orang kanak-kanak sekolah.
  • Masalah penglihatan yang tidak dirawat akan menyumbang kepada permasalahan yang lebih serius dimana boleh menggangu proses pembelajaran, personaliti dan menyebabkan kerosakan mata kekal sepanjang hayat.

Rajah 2: Ujian saringan penglihatan oleh Guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di Sekolah

Rabun yang tidak dibetulkan terutamanya rabun jauh atau “myopia” meninggalkan  impak yang besar terhadap proses pembelajaran dan potensi pembelajaran kanak-kanak (He M. et al, 2004). 

Saringan penglihatan primer oleh guru-guru sekolah sangat efektif dalam membantu proses pengesanan awal masalah rabun dan masalah penglihatan yang lain sekaligus dapat mengurangkan masalah penglihatan dikalangan kanak-kanak sekolah.  (Gupta A et al, 2012).

Kesimpulannya, penjagaan mata kanak-kanak sekolah melibatkan semua pihak iaitu ibu bapa dan guru dan dikukuhkan lagi dengan jaringan yang baik dengan pusat kesihatan dan optometris dimana aktiviti saringan penglihatan boleh dijadikan aktiviti tahunan selain acara sukan tahunan dan lain-lain.

Rujukan

  1. Dandona, R., & Dandona, L. (2001). Refractive error blindness. Bulletin World Health Organization 79: 237-43.
  2. He M. Zeng J. Liu Y. Xu J. Pokharel GP. Ellwein LB. Refractive error and visual in urban children in Southern China. Invest Opthalmol Vis Sci 2004:45:793-9
  3. Anmol Gupta, Ram Lal, S.R.Mazta, Deepak Sharma(2012). Prevalens of Refractive Errors, Color Vision Defects and Other Ocular Disorders in School –going Chilldren: Primary Screening by School Teacher.JIMSA October-December 2012 Vol.25 No.4
Semakan Akhir : 19 September 2014
Penulis : Pn. Syarmilla bt. Che Shamsudin
Akreditor : Pn. Rosmawati bt. Uthman

Artikel Berkaitan

Latihan Auditori

Latihan auditori ialah proses mengajar otak untuk mendengar. Ia merupakan proses mengajar individu bermasalah pendengaran.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,238,735

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia