Home > Kesihatan Pergigian > Penjagaan Luka Di Bahagian Muka

Penjagaan Luka Di Bahagian Muka

Pengenalan

Kecederaan di muka sering berlaku di dalam setiap kemalangan seperti kemalangan jalan raya, serangan daripada manusia atau haiwan, kebakaran, letupan dan tembakan. Aktiviti harian juga terdedah kepada kejadian kecederaan pada bahagian muka seperti memanjat, bermain sukan, bekerja, mengendalikan mesin, peralatan tajam dan barang berat.

Luka boleh dikategorikan sebagai:

  1. Luka yang tidak tertembus – Luka ini terjadi akibat  geseran pada sesuatu permukaan yang mengakibatkan kecederaan pada permukaan kulit tetapi tidak menembusi bahagian dalam kulit. Contoh luka jenis ini adalah  lelasan (abrasion), calar (superficial laceration), kontusi (contusion) dan konkusi (concussion).
    Gambar 1: Luka tidak tertembus (calar) di bahagian dalam bibir atas.
  2. Luka yang tertembus – Luka yang melibatkan penembusan keseluruhan ketebalan kulit melibatkan tisu dan organ dalaman. Contoh seperti, luka akibat tusukan benda tajam (stab wound), kulit terpotong, luka pembedahan dan luka akibat tembakan.
    Gambar 2: Luka tertembus yang dalam.
  3. Lain-lain jenis luka – Luka di bahagian muka juga boleh terjadi akibat haba atau suhu yang terlampau seperti kebakaran atau frost bite; luka akibat bahan kimia seperti asid; luka akibat gigitan atau sengatan  dan luka akibat terkena renjatan elektrik.
    Gambar 3: Luka tertembus di bahagian muka yang sangat dalam sehingga mendedahkan tulang rahang bawah.  Kecederaan begini perlu dirawat di hospital.

Luka yang tidak tertembus adakalanya boleh dirawat dengan mudah menggunakan rawatan pertolongan cemas (first-aid kit). Walau bagaimanapun, bagi luka yang kompleks seperti luka yang tertembus dan lain-lain jenis luka, rawatan yang lebih spesifik daripada seorang doktor diperlukan.

Rawatan bagi Luka yang Tidak Tertembus di bahagian Muka

  • Tekan luka dengan menggunakan kain bersih atau pembalut  selama beberapa minit sehingga pendarahan berhenti.
  • Cuci luka di muka dengan menggunakan sabun dan air tetapi tidak menggosok luka tersebut. Pastikan tangan bersih daripada segala kotoran.
  • Buangkan partikel kotor pada bahagian luka dengan mengalirkan air pada bahagian luka
  • Sapukan antiseptik krim atau losyen pada bahagian luka. Elakkan daripada terkena mata
  • Penggunaan plaster surgikal seperti Steri strip pada luka yang sangat kecil dapat menguatkan lagi tautan luka agar tidak terbuka. Plaster surgikal perlu ditukar jika perlu.
  • Tutupkan luka dengan plaster atau pad kasa (gauze pad). Tukarkan ia dengan kerap jika perlu.
  • Periksa luka setiap hari dan pastikan ia kering dan bersih.
  • Lebam, luka melepuh dan bengkak pada kulit boleh dirawat dengan mendemahkan luka menggunakan pek sejuk setiap 1-2 jam selama 10-15 minit. Elakkan daripada meletakkan ais terus ke permukaan kulit.
  • Penggunaan krim pelindung cahaya matahari (SPF 15 ke atas) pada luka di bahagian muka (selepas 72 jam rawatan) dapat mengelakkan daripada terjadinya parut yang gelap.

Dapatkan rawatan segera di klinik berdekatan sekiranya mendapati:

  1. Luka berdarah tanpa henti walaupun tekanan pada luka telah diberikan lebih dari lima belas minit.
  2. Luka melibatkan mata dan persekitaran mata.
  3. Luka akibat tusukan benda tajam, berkarat ataupun kotor.
  4. Luka yang dipenuhi dengan kekotoran seperti pasir, batu dan lain-lain.
  5. Luka dalam atau panjang melebihi setengah inci.
  6. Luka yang besar dan tidak rata.
  7. Luka akibat gigitan binatang dan manusia.
  8. Luka yang tersangat sakit dan didapati melibatkan patah tulang muka atau kecederaan pada kepala.
  9. Luka yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan kuman seperti panas, merah, bengkak dan berair.
  10. Tidak pernah atau tidak pasti telah menerima vaksin tetanus dalam jangka masa 5 tahun.

Rawatan Luka yang  Kompleks di Muka

Rawatan luka yang dalam dan kompleks harus dirujuk ke klinik berdekatan dengan segera agar tidak menjadi bertambah teruk. Rawatan luka yang kompleks ini boleh dilakukan di bawah bius setempat atau bius seluruh badan. Ketelitian dan juga kepakaran diperlukan untuk merawat kecederaan pada muka samada kecederaan pada tisu lembut atau tisu keras (tulang). Oleh itu, pesakit perlulah mematuhi arahan penjagaan luka yang telah dirawat agar mendapat hasil rawatan yang optimum. Sila rujuk arahan di bawah:

  1. Balutan pada luka hendaklah dibiarkan selama 24 jam. Sekiranya balutan luka didapati basah atau kotor, ia perlu digantikan dengan segera. Kebiasaannya, balutan ini akan dibuka selepas 24 jam ia diletakkan dan seterusnya luka akan dibiarkan tidak berbalut sehingga sembuh.
  2. Anda dibolehkan mandi 24 jam selepas pembedahan. Tiada masalah jika luka pada muka terkena air, tetapi sekiranya berasa tidak selesa, luka bolehlah di balut dengan kain kasa (gauze pad) yang steril dan kain kasa yang basah tersebut dibuang selepas mandi.
  3. Penggunaan plaster surgikal seperti Steri strip pada luka jahitan dapat menguatkan lagi tautan luka agar tidak terbuka. Plaster surgikal perlu ditukar jika perlu.
  4. Luka hendaklah dibersihkan dua kali sehari menggunakan saline normal (normal saline) untuk mengurangkan koping kulit.
  5. Ubat salap antibiotik seperti Chloramphenicol 1%, bacitracin zinc ointment or neomycin sulphate boleh disapu ke atas luka yang telah dibersihkan.
  6. Untuk luka di dalam mulut, kumur mulut 4 hingga 6 kali sehari dengan menggunakan saline normal atau ubat kumur yang mengandungi Chlorhexidine gluconate 0.12% seperti Difflam C. Mulut yang bersih akan mempercepatkan penyembuhan luka di dalam mulut.
  7. Ubat antibiotik yang dibekalkan oleh doktor anda hendaklah diambil mengikut dos, masa dan frekuensi yang telah ditetapkan. Sekiranya anda mendapat kesan sampingan  atau tindakbalas yang buruk  selepas mengambil ubat tersebut, hendaklah dengan segera bejumpa doktor kamu atau pergi ke klinik berdekatan.
  8. Benang jahitan pada luka di muka perlu dibuka pada 5-7 hari selepas rawatan. Pastikan anda mengikut tarikh temujanji yang telah diberikan.
  9. Luka pada kulit muka sama ada daripada kecederaan atau luka pembedahan akan mengambil masa beberapa bulan untuk sembuh sepenuhnya. Pada awal penyembuhan, tisu kulit adalah lemah dan luka boleh terbuka semula dibawah tekanan tertentu. Oleh yang demikian, anda perlu memastikan agar luka ini dijaga dengan baik.
  10. Seperti yang telah disebut di atas, penggunaan krim pelindung cahaya matahari (SPF 15 ke atas) pada luka di bahagian muka (selepas 72 jam rawatan) dapat mengelakkan daripada terjadinya parut yang gelap. Lindungi luka di muka daripada terkena cahaya matahari dengan menggunakan topi atau payung.
  11. Hendaklah segera berjumpa doktor anda atau pergi ke klinik berdekatan sekiranya mendapati luka yang telah dirawat menunjukkan tanda-tanda jangkitan kuman seperti bengkak dan sakit yang tidak berkurangan, permukaan luka berasa panas, merah dan berair.

Sila patuhi arahan tentang cara penjagaan luka di muka yang telah dirawat. Sekiranya anda menghadapi sebarang masalah, sila rujuk pada doktor anda atau klinik yang berdekatan.

Rujukan

  1. Medel N, Neeraj P and Ellis E. Postoperative care of the facial laceration. Craniomaxillofacial Trauma & Reconstruction 2010; 3(4):189-200
  2. Nicks BA, Ayello EA, Woo K, George DN and Sibbald RG. Acute wound management:revisiting the approach to assessment, irrigation and closure considerations. International Journal of Emergency Medicine 2010; 3:399-407
Semakan Akhir : 8 Julai 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Farah Aliya bt. Mohamed Azahar
Akreditor : Dr. Nur Ikram Hanim bt. Abd. Rahim

 

(Visited 866 times, 7 visits today)